Selasa, 23 Jun 2009

Perkasakan Pembelajaran Bahasa Inggeris, Mansuhkan PPSMI Segera




KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

23hb JUN 2009

Untuk Edaran Media Segera

Perkasakan Pembelajaran Bahasa Inggeris, Mansuhkan PPSMI Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyuarakan kebimbangan kepada nasib para pelajar yang gagal dalam subjek bahasa Inggeris yang menduduki peperiksaan SPM kelak akibat keputusan terbaru kerajaan. AMK Selangor berharap pihak kerajaan dapat menilai semula keputusan wajib lulus dalam SPM ini serta menjalankan kajian mendalam serta mendapatkan pandangan pakar-pakar dan rakyat keseluruhannya sebelum sebarang dasar drastik ini dilaksanakan.

AMK Selangor berpendapat keputusan tersebut realitinya tidak banyak membantu pelajar dan graduan negara ini untuk menguasai dengan baik dan cemerlang dalam bahasa Inggeris. Malahan yang perlu dilakukan segera ialah bagaimanakah pihak kerajaan dan semua pihak dapat memperbaiki tahap mutu penguasaan bahasa Inggeris serta memperkenalkan pembaharuan pembelajaran yang boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris ditahap terbaik semenjak awal persekolahan sehingga ke pengajian tinggi.

AMK Selangor menggesa agar aspek pembelajaran subjek Bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan dalam semua aspek sehingga para pelajar dapat menguasainya dengan baik serta memuaskan. Keputusan mengenakan wajib lulus bahasa Inggeris untuk SPM bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menggalakkan dan mendorong minat pelajar untuk menguasai subjek bahasa Inggeris. Malahan pendekatan pembelajaran intensif serta terbaik dalam pembelajaran perlu diperkasakan dahulu.

AMK Selangor yakin para pelajar di negara ini mempunyai potensi dan berkemampuan untuk lulus dalam subjek bahasa Inggeris. Namun AMK Selangor menyuarakan kebimbangan nasib masa hadapan para pelajar yang gagal dalam subjek ini yang dikhuatiri akan menjejaskan psikologi mereka serta peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Kerajaan perlu memikirkan kos dan masa yang perlu dibelanjakan pula untuk pelajar yang gagal dalam subjek bahasa Inggeris yang perlu mengambil semula subjek ini kelak dan jumlahnya dibimbangi amat besar.

Kebimbangan ini juga diasaskan kepada tahap mutu kaedah pembelajaran bahasa Inggeris masih belum mencapai tahap di mana para pelajar boleh penguasai aspek komunikasi dan penulisan dengan baik. Masih ramai lagi pelajar yang tercicir dan memerlukan pelan tindakan khusus untuk mereka menguasai bahasa Inggeris. Para pelajar tidak wajar dijadikan mangsa keadaan akibat keputusan yang dilakukan secara terburu-buru dan tidak berpaksikan kepada sebarang kajian mendalam serta mengambil pandangan para intelek dan rakyat.

Kita amat memahami bahawa pelajar di negara ini sudah didedahkan dengan pembelajaran bahasa Inggeris bermula sejak darjah satu atau pra-persekolahan. Namun hakikatnya masih ramai pelajar di negara ini belum mencapai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam komunikasi, penulisan, tatabahasa dan pemahaman walaupun telah didedahkan dengan subjek ini lebih 10 tahun sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Justeru, apakah ada yang tidak kena dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini ?.

Malahan di peringkat pengajian tinggi juga penguasaan terhadap bahasa Inggeris masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Banyak lagi yang perlu dirancang serta dilakukan agar penguasaan bahasa Inggeris para pelajar dan graduan di negara ini meningkat dengan mendadak serta dapat bersaing pula di peringkat global.

AMK Selangor mencadangkan pihak kerajaan dan semua pihak berusaha memikirkan dan melaksanakan modul pembelajaran yang lebih terkini, menarik dan interaktif melalui perlaksanaan pembelajaran yang intensif kepada pelajar. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan wacana dan perbincangan terbuka secara intelektual yang melibatkan pakar dalaman dan luar negara untuk menghasilkan pembaharuan dalam pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini.

Kita juga mencadangkan agar penubuhan sebuah suruhanjaya penambahbaikan pembelajaran bahasa Inggeris yang akan mengkaji pelbagai sudut kelemahan sistem penyampaian dan membuat cadangan praktikal untuk dilaksanakan.Ianya perlu melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kredibiliti dan keupayaan di kalangan professional, intelek dan penggubal dasar samada dalam negara dan antarabangsa. Suruhanjaya ini diharap mampu memperkenalkan reformasi untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelajar di semua peringkat.

Sudah tiba masanya kerajaan menilai pencapaian mutu pembelajaran bahasa Inggeris di negara ini bermula daripada peringkat rendah, menengah dan universiti. Mungkin ada beberapa aspek kelemahan selama ini yang tidak di atasi segera dan baik sehingga menyebabkan dalam tempoh pembelajaran yang begitu lama masih tidak mencapai tahap yang baik serta memuaskan.

Dalam pada itu , AMK Selangor mendesak agar penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek matematik dan sains dikembalikan semula kepada Bahasa Melayu. Pelbagai pihak sudah mengutarakan bantahan ini, namun sehingga ke hari ini pihak kerajaan tidak mengambil suara bantahan dalam isu PPSMI ini.

Hasil satu kajian terhadap PPSMI ini yang dijalankan mendapati dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains pelajar tidak tercapai, bahkan kesannya adalah negatif. Ini ialah kerana kebanyakan guru sendiri lemah penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu dan Bumiputera lemah Bahasa Inggeris. Malahan kaum-kaum lain juga mengalami cabaran yang sama dalam hal ini. Kedua-dua faktor ini berganda akibatnya, menyebabkan murid sukar memahami pengajaran guru Sains dan Matematik, mereka juga tidak cekap membaca buku teks mereka dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu pelajar lemah dalam Matematik dan Sains

AMK berharap keputusan yang akan diumumkan pada awal bulan Julai ini dengan segera memansuhkan PPSMI ini. Kerajaan perlu memperbetulkan semula kesilapan besar yang dilaksanakan sebelum ini kerana banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak jelas dan konkrit menunjukkan lemah dan negatifnya dasar perlaksanaan PPSMI.

Kerajaan perlu bertindak segera dengan memansuhkan PPSMI ini sebelum satu lagi malapetaka kegagalan sistem pendidikan negara ini berlaku yang akan menentukan masa hadapan generasi pelajar era-PPSMI. Kerajaan disaran tidak terus menjadikan para pelajar negara ini mangsa kegopohan perlaksanaan sesuatu dasar baru yang tidak menilai pandangan semua pihak.

AMK Selangor menyarankan semua pihak boleh menjadikan laporan oleh The National Commission on Excellence in Education yang dikeluarkan pada 1983 bertajuk A Nation At Risk’ di Amerika Syarikat sebagai satu kajian dan perbandingan untuk membawa agenda pendidikan negara ke tahap cemerlang yang mampu bersaing di peringkat global.

Akhirnya, AMK Selangor mengulangi keyakinan bahawa hanya reformasi pendidikan negara sahaja dapat mengembalikan dan memacu kecemerlangan agenda pendidikan yang dapat membina karektor insan serba boleh,berkualiti dan cemerlang.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Jumaat, 19 Jun 2009

AMK SELANGOR ANGGAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH MANGSA KEZALIMAN EPISOD ULANGAN ALA – KONSPIRASI 1998


Kenyataan Media


ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

20hb Jun 2009

Untuk Edaran Media Segera

AMK SELANGOR ANGGAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH MANGSA KEZALIMAN EPISOD ULANGAN ALA – KONSPIRASI 1998

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap tuduhan terbaru kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah episod ulangan konspirasi ala-1998. Tuduhan tersebut jelas membuktikan untuk menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri negara ini melalui satu perancangan konspirasi yang kotor dan jijik yang membabitkan individu penting negara ini yang menggunakan jentera kerajaan Malaysia.

AMK Selangor yakin episod ulangan konspirasi ala-1998 ini hanya akan memperkukuhkan lagi kekuatan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan rejim UMNO/Barisan Nasional sedikit masa sahaja lagi. Malahan tindakan terbaru pendakwaan terbaru ini hanya akan menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan semasa khususnya parti UMNO/BN di kalangan rakyat Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Sokongan rakyat yang meningkat setiap masa kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim khususnya pasca PRU-12 telah menyebabkan beberapa individu tidak senang duduk. Justeru, mereka bimbang sokongan yang meningkat ini akan mengancam kedudukan mereka kelak. Oleh itu, satu perancangan konspirasi oleh dalang yang sama pada tahun 1998 dipercayai dilaksanakan kembali.

AMK Selangor juga yakin kini majoriti rakyat Malaysia sudah tidak lagi mempercayai tuduhan tersebut kerana ianya adalah ulangan kepada episod konspirasi lama dahulu. Malahan AMK percaya juga sebahagian besar ahli parti UMNO dan komponen BN di semua peringkat juga sudah tidak lagi mempercayai tuduhan tersebut yang jelas direka-reka untuk menjatuhkan keyakinan rakyat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan bakal Perdana Menteri Malaysia in-waiting.

AMK Selangor menaruh kepercayaan yang tinggi kepada rakyat Malaysia bahawa kini rakyat keseluruhannya sudah tidak mudah diperkotak-katikkan oleh media propaganda UMNO/BN. Malahan perpecahan besar dalam Barisan Nasional dalam isu ini akan semakin jelas terserlah dari hari ke sehari pada waktu mutakhir kini. Penolakkan rakyat Malaysia kepada dalang konspirasi ini juga akan menyebabkan sebahagian ahli UMNO/BN kini sudah berkira-kira untuk tidak sekali lagi bersengkongkol dengan kezaliman para konspirator.

Malahan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional juga perlu bertindak menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Semakin lama mereka berdiam diri akan menyebabkan mereka juga dianggap sebagai sebahagian komponen konspirator yang zalim. Yang jelas PRU-13, rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai peneraju baru kerajaan Malaysia di masa hadapan.

AMK Selangor bertegas dan berharap agar badan perundangan dan kehakiman negara tidak diperkudakan sekali lagi untuk menjayakan perancangan konspirasi tersebut. Sebenarnya keyakinan dunia antarabangsa terhadap badan perundangan dan kehakiman negara sejak 1998 belum lagi pulih sehingga kini. Justeru membiarkan badan kehakiman untuk bertindak secara professional adalah langkah segera dan terbaik untuk mengembalikan keyakinan dunia antarabangsa terhadap badan perundangan dan kehakiman negara.

AMK Selangor juga yakin kini sudah wujud gerakan secara senyap protes rakyat keseluruhannya terhadap dalang konspirasi terbaru ini. Protes secara senyap ini akan sampai ke kemuncaknya pada PRU-13 ini yang akan terus menobatkan Pakatan Rakyat yang kini selaku government in waiting.

Kita juga yakin gelombang rakyat yang lebih besar daripada gerakan reformasi 1998 akan muncul yang akan mendokong penuh semangat dan aspirasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membawa harapan baru untuk Malaysia. Rakyat Malaysia era kini semakin bijak dan pintar dalam gerakan siasah. Mereka juga sudah tidak mudah diperkotak-katikkan oleh media-media propaganda UMNO/BN.

Justeru, AMK Selangor mengingatkan agar parti-parti komponen dalam Barisan Nasional menilai kembali kerjasamanya dengan UMNO. Semakin lama mereka merestui konspirasi ini, semakin jelas juga rakyat akan terus menolak parti-parti dalam komponen Barisan Nasional ini sehingga di Sabah dan Sarawak. Rakyat Malaysia tidak akan merestui mana-mana pihak yang sama-sama terlibat dalam konspirasi yang jelas jijik dan terkutuk itu.

AMK Selangor akan terus bersama-sama dengan perjuangan dan aspirasi yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dan juga dunia antarabangsa akan menjadi azimat keramat oleh anak muda AMK untuk berhadapan sebarang kemungkinan yang mungkin dikenakan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semua pihak sentiasa mendoakan agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan keluarga sentiasa dilindungi daripada apa-apa cubaan dan dugaan.

Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi mengulangi keyakinan bersama-sama rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa konspirasi ala-1998 yang cuba diulang kembali pada tahun 2009 ini.

AMK menggesa agar rakyat sekali lagi menunjukkan sokongan padu mereka untuk menghentikan satu lagi kezaliman yang cuba diulang pada masa kini. Merestui satu lagi kezaliman ini adalah tindakan yang zalim yang dosanya akan dikongsi secara bersama juga dengan konpirator yang zalim tersebut.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Khamis, 11 Jun 2009

AMK Selangor Gesa Semua Pihak Perkasakan Institusi Masjid


KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

11hb JUN 2009 / 17 Jamadil Akhir 1430

AMK Selangor Gesa Semua Pihak Perkasakan Institusi Masjid

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak agar menghentikan perbalahan dan polemik negatif berkaitan dengan isu pemilihan Ahli Jawatan Kuasa Masjid bagi sesi 2009-2012 ini dengan segera. Perkembangan mutakhir kini dikhuatiri boleh membawa perpecahan kepada masyarakat Islam di negeri ini.

AMK Selangor juga membidas pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram dikalangan masyarakat dengan mengapi-apikan rasa tidak puas hati ini sehingga kepada membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM. AMK Selangor merasakan tindakan ini hanya mencemarkan nama baik institusi masjid yang sewajarnya dipelihara oleh semua pihak.

AMK Selangor menggesa agar semua pihak menumpukan kepada usaha-usaha kepada pemerkasaan dan pengimarahan institusi masjid agar dapat menjadi institusi yang mendidik masyarakat ke arah kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan.

AMK Selangor merasakan adalah lebih baik jika usaha ditumpukan kepada bagaimana masjid boleh memainkan peranan yang penting dalam agenda amar makruf dan nahi munkar. Malahan usaha giat perlu dirancang dan dilaksanakan untuk menarik golongan muda dan masyarakat ramai.

AMK Selangor yakin soal tidak puas hati berkenaan pemilihan AJK Masjid adalah soal kecil yang boleh diselesaikan dengan cara berhemat dan terpuji. Malahan jawatan sebagai makmum yang sebenarnya perlu diisi dengan segera memandangkan jawatan ini sentiasa kosong khususnya pada waktu Solat Subuh. Kita yakin kekuatan ummah akan kembali berpadu dan kuat jika suasana Solat Subuh berjemaah ini menyamai suasana ketika Solat Jumaat ,Solat Sunat Aidil Adha dan juga Aidil Fitri.

Dalam pada itu, AMK Selangor berharap barisan kepimpinan baru masjid di seluruh negeri Selangor dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan komited. Barisan kepimpinan baru ini diharap membawa satu sinar baru terhadap keupayaan institusi masjid menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani dan rabbani.

Suasana perbalahan berkenaan pemilihan ini tidak wajar berpanjangan sehingga ada tindakan boikot-memboikot dan bermasam muka. Tetapi suasana ini dapat dijernihkan dengan semangat berkasih sayang dan kekitaan kerana semuanya berkiblatkan yang satu di mana sewajarnya falsafah ini dapat dihayati bersama oleh semua pihak.

AMK Selangor juga mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menimbulkan suasana keruh daripada isu ini. Masyarakat juga tidak perlu terjebak dengan permainan pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram ini sehingga bertindak tanpa memikirkan agenda besar ummah di masa hadapan yang perlu diperjuangkan.

Akhirnya, sudah tiba dan ketikanya suasana masjid yang meriah dengan tradisi ilmu dan kerohanian kembali rancak sepertimana suasana pada bulan Ramadan. Pastinya, masjid adalah untuk semua yang menuntut setiap kita menyumbang kepada pengimarahan masjid dalam membina kesatuan ummah sejagat.

Mohd Ezli Bin Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Rabu, 10 Jun 2009

AMK Selangor Mengutuk Keras Tindakan Kejam Pembunuhan Beramai-ramai Penduduk Islam di Narathiwat,Thailand


KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

Untuk Edaran Segera

10hb JUN 2009 / 16hb Jamadil Akhir 1430 H

AMK Selangor Mengutuk Keras Tindakan Kejam Pembunuhan Beramai-ramai Penduduk Islam di Narathiwat,Thailand

AMK Selangor membantah tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam yang sedang melaksanakan Solat Isyak di Masjid Al-Furqan,Kampung Air Tempayan di Wilayah Narathiwat,Thailand. Serangan bersenjata yang mengorbankan 12 orang dan 11 orang parah itu merupakan tindakan kejam dan zalim yang tidak boleh diterima memandangkan mangsa sedang beribadah di dalam masjid yang merupakan tempat aman dan tanpa sebarang unsur gangguan keganasan.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak NGO,parti politik,pertubuhan,kerajaan dan orang ramai agar bersama-sama menyatakan bantahan keras ini yang merentas sempadan fahaman politik,agama. Dan bangsa Tindakan tidak berperikemanusiaan ini merupakan tragedi hitam yang sepatutnya tidak berlaku di era zaman bertamadun ini.

Pihak AMK Selangor mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden serangan pembunuhan kejam bersenjata. Ini. AMK Selangor juga mendoakan dan berharap agar masyarakat Islam dan masyarakat lain juga di sana dapat menikmati suasana keadilan dan keamanan semula selepas melalui konflik bersenjata yang berpanjangan.

Dalam pada itu, AMK Selangor menggesa pihak kerajaan Malaysia menyampaikan mesej bantahan keras ini kepada pihak Kerajaan Thailand. Malahan pihak Thailand perlu menubuhkan siasatan bebas antarabangsa bagi menyiasat keganasan ini dan membawa pihak-pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.

AMK Selangor amat prihatin dengan insiden pembunuhan kejam ini yang berlaku di jiran negara ini yang mencintai suasana aman damai dan berkasih-sayang antara semua agama dan bangsa. Diharap kejadian ini merupakan yang terakhir berlaku dan semoga keamanan dapat dipulihkan dengan segera di wilayah bergolak tersebut.

Akhirnya, AMK Selangor berharap kerajaan Malaysia dapat berbuat sesuatu selaku salah sebuah negara berpengaruh di Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan NAM. Isu ini adalah isu kemanusian sejagat yang merentas sempadan agama,bangsa dan negara, Satu tindakan konkrit perlu dilakukan di peringkat antarabangsa agar insiden kejam pembunuhan bersenjata beramai-ramai ini tidak berulang kembali.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Sabtu, 6 Jun 2009

AMK SELANGOR DESAK AGAR DALANG SKANDAL PKFZ DI BAWA KE MUKA PENGADILAN





KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT 

06hb JUN 2009

AMK SELANGOR DESAK AGAR DALANG SKANDAL PKFZ DI BAWA KE MUKA PENGADILAN

 

          Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar pihak berkuasa bukan sekadar menyiasat tetapi segera membawa ke muka pengadilan dalang disebalik skandal projek Port Klang Free Zone (PKFZ). Kenyataan yang tegas ini berikutan penggunaan wang rakyat yang amat besar digunakan dalam projek ini.

        AMK Selangor juga bertegas agar satu Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ditubuhkan yang mempunyai kuasa untuk menyiasat skandal PKFZ ini secara menyeluruh dan bebas. Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ini boleh memanggil semua pihak yang terlibat dengan bebas dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

        AMK Selangor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertindak pantas sepertimana ketegasannya menyiasat kes Lembu dan Lexus sebelum ini. Kita mahu SPRM menunjukkan professionalisme dan kredibilitinya yang sebelum ini teruk dikecam daripada pelbagai pihak. AMK Selangor mempersoalkan pihak SPRM apakah tidak berminat untuk membuat siasatan skandal PKFZ ini yang jumlah mencecah Billion Ringgit Malaysia?.

        AMK Selangor juga menggesa agar isu ‘conflicts of interest’ pihak-pihak tertentu juga disiasat segera. Kita mahu pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan tegas dan bertindak mendakwa pihak-pihak berkenaan jika bukti yang diperolehi mencukupi untuk membawa kes ini ke pihak mahkamah.

        Akhirnya, AMK Selangor berharap agar Skandal PKFZ ini dibongkar dan disiasat dengan menyeluruh. Kita mahu wang rakyat dan negara diselamatkan daripada terus menjadi mangsa kerakusan beberapa pihak tertentu.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Rabu, 3 Jun 2009

AMK SELANGOR GESA SEMUA PIHAK SEGERA PANTAU SEMULA PROJEK PEMBINAAN DAN STRUKTUR BANGUNAN



Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

03hb JUN 2009 / 09hb JAMADIL AKHIR 1430

UNTUK SEBARAN SEGERA

AMK SELANGOR GESA SEMUA PIHAK SEGERA  PANTAU SEMULA PROJEK PEMBINAAN DAN STRUKTUR BANGUNAN 

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak seluruh agensi kerajaan atau swasta agar memantau dan memeriksa kembali segala projek pembangunan dan struktur bangunan yang dalam proses pembinaan dan siap. Perkembangan terkini kejadian struktur bangunan Jaya Supermarket dan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin runtuh mengundang situasi cemas dan panik kepada seluruh rakyat. Mujur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu runtuh berlaku bukan pada waktu sebarang acara temasya dan sukan diadakan jika tidak ribuan nyawa dikhuatiri melayang.

AMK Selangor amat prihatin dengan perkembangan terkini ini dan mendesak semua pihak agar segera meneliti kembali segala prosedur pembinaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan dalam sebarang pembinaan bangunan, rumah, jejantas, jambatan dan segala struktur projek pembangunan. Malaysia yang berada di luar lingkaran api pasifik yang tidak menyaksikan sebarang gegaran gempa yang luar biasa sewajarnya tidak mengalpakan semua pihak dalam merangka dan melaksanakan sebarang pembangunan agar ianya kukuh dan stabil untuh tempoh masa yang panjang.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak mengambil pendekataan proaktif dan pantas untuk memastikan rentetan struktur bangunan runtuh di negara ini tidak berpanjangan :

Pertama : Prosedur pembinaan bangunan perlu diteliti semula. AMK Selangor merasakan seluruh agensi yang bertanggungjawab perlu meneliti semula prosedur sedia ada dan memastikan segala prosedur tersebut dipatuhi dengan ketat dan dipatuhi oleh semua pihak yang melaksanakan sesuatu projek tersebut.

Kedua : Segala projek yang telah dijalankan perlu dipantau oleh sebuah agensi bebas yang mempunyai kredibiliti dan kepakaran agar segala kecacatan dan ketidakpatuhan terhadap sebarang aspek pembinaan yang tidak menepati spesifikasi dapat dikesan dan diperbaiki dengan lebih awal dan pantas.

Ketiga : Pemberian projek perlu memenuhi standart dan kelulusan yang ketat disamping segala unsur rasuah dan penyelewangan dapat dibanteras. Pihak SPRM perlu proaktif dan bertindak pantas dalam sebarang laporan rasuah yang dibuat dan juga menyiasat daripada semua aspek jika berlaku lagi sebarang kejadian yang tidak diingini ini berlaku.

Keempat : Latihan dan pendidikan semula kepada semua kontraktor-kontraktor dan pekerja di sektor pembinaan sedia ada agar segala aspek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kelak menggunakan teknologi terkini serta mamahami amanah yang dipikul dalam melaksanakan sebarang projek. Malahan dalam aspek pengurusan budget pembangunan projek perlu dipantau agar tidak mengalami ketirisan perbelanjaan akibat unsur rasuah, penyelewangan dan mengambil kadar untung pada kadar yang tidak munasabah.

Kelima : Kerajaan perlu mengarahkan agensi perlaksananya dengan segera mengeluarkan arahan untuk memeriksa semua struktur bangunan, premis , jambatan, jejambat , lebuhraya, lapangan terbang dan lain-lain diperiksa dengan segera kembali. Kita tidak mahu kejadian bangunan runtuh akibat kelemahan manusia ini berlaku kembali. Malahan ianya menjejaskan imej negara apabila projek Ringgit Malaysia ratusan juta berhadapan dengan masalah serius. Kini rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan mereka akibat rentetan kejadian struktur bangunan runtuh tersebut.

AMK Selangor berharap selepas kejadian yang berlaku, masyarakat dan kerajaan agar lebih prihatin terhadap isu-isu berkenaan sebarang projek pembangunan di negera ini. Kejadian ini juga perlu mencelikkan semua pihak agar tidak duduk diam dalam menangani isu ini. Undang-undang dan peraturan sedia ada tidak akan berguna jika sekadar menjadi hiasan dan tiada sebarang tindakan tegas untuk melaksanakan dan penguatkuasaan.

AMK Selangor juga menggesa aspek penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam dijalankan dengan lebih komited , sistematik dan bersepadu. Tiada gunanya jika projek berbillion-billion dilaksanakan tetapi dalam aspek penyelenggaraan tidak diambil kira untuk survival dalam waktu yang panjang.

Akhirnya, AMK Selangor berharap kejadian yang berlaku ini menjadi yang terakhir akibat faktor kecuaian manusia. Semua pihak khususnya kerajaan perlu proaktif dalam isu ini. Kegagalan bertindak pantas pasti mengundang kecelakaan yang sukar dijangka di masa hadapan. Kini adalah masa untuk bertindak menyelesaikan masalah dan bukan hanya menjalankan siasatan dan akhirnya ditutup tanpa sebarang penambahbaikan dan penguatkuasaan.

 

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

 

Selasa, 2 Jun 2009

AMK SELANGOR TOLAK AGENDA POLITIK WAYANG


KENYATAAN AKHBAR

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

02hb JUN 2009

AMK SELANGOR TOLAK AGENDA POLITIK WAYANG

          Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak tindakan politik wayang terbaru oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Lawatannya ke China dilihat hanya mencari populariti dan mengambil hati masyarakat kaum Cina di negara ini. Malahan lawatan mengejutnya ke beberapa tempat di negara ini juga sekadar gimik politik untuk memulihkan imejnya yang tercalar teruk sebelum ini.

        AMK Selangor yakin rakyat hari ini kian bijak dan cerdik untuk membuat penilaian antara agenda politik wayang dan agenda politik yang memperjuangkan nasib rakyat. Rakyat pada ketika ini berkehendakan kepada agenda politik yang jelas dan jitu dalam melaksanakan agenda membela dan mengutamakan kepentingan rakyat. Malahan reformasi yang lebih konkrit diperlukan khususnya mewujudkan sistem ekonomi yang adil, kebebasan badan kehakiman, professionalisme pasukan PDRM,SPRM dan SPR serta pembaharuan dalam pentadbiran negara.

        AMK Selangor menganggap lawatan beliau ke negara Tembok Besar China itu hanya bersifat gimik dan wayang politik semata-mata. Justeru lawatan ke negara China sewajarnya memberi erti kepada Perdana Menteri untuk mempelajari sesuatu.Reformasi yang giat dilaksanakan beberapa dekad kini dalam pelbagai bidang menjadikan Negara China  bakal kuasa besar dunia pada masa akan datang.

        AMK Selangor juga bertanggapan lawatan ini tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat dan negara jika tindakan politiknya selepas ini tidak mengutamakan agenda konkrit untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Justeru kembalinya beliau daripada China,kita mahu satu harapan baru untuk hubungan antara kaum yang lebih mesra dan berkasih sayang sepertimana yang dilaungkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam agenda memupuk persaudaraan antara kaum dengan kata-kata ‘empat lautan terbentang luas, semua manusia adalah bersaudara.’

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor