Jumaat, 16 Julai 2010

BANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK DAN BARANG

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Julai 2010

BANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK DAN BARANG

Angkatan Muda Keadilan Selangor ‘mengalu-alukan’ kenaikan harga petrol dan barang oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ‘amat prihatin’ dengan kesengsaraan rakyat. Kenaikan atas nama pemotongan subsidi akan membuatkan rakyat lebih marah,benci dan meluat terhadap tindakan UMNO-Barisan Nasional yang membuktikan rakyat didahulukan dalam segala segi tatkala pemborosan perbelanjaan kerajaan masih berlaku.

AMK Selangor yakin kenaikan minyak dan barang ini hanya akan menambahkan kebencian dan meluat rakyat kepada pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang seringkali melaungkan slogan ‘rakyat agar didahulukan’ dan ‘juara rakyat’. Tindakan kenaikan ini akan lebih memudahkan Pakatan Rakyat dalam usaha menawan Putrajaya semasa PRU-13 kerana rakyat semakin yakin BN adalah sinonim dengan ‘Barang Naik’.

Dalam situasi kuasa beli rakyat semakin menurun dengan kenaikan harga barangan sebelum ini,kesengsaraan rakyat bagaikan dilupakan oleh kerajaan yang perlu bergelut saban hari dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.Apakah ini hasil liberalisasi ekonomi dan program rakyat berpendapatan tinggi oleh Perdana Menteri ? ,tatkala pada realitinya rakyat terus berhadapan dengan alasan pemotongan subsidi untuk kononnya penjimatan wang negara tetapi kerajaan terus boros dalam menguruskan perbelanjaannya.

AMK Selangor mempersoalkan jika untuk mengurangkan subsidi yang kononnya membebankan negara,mengapa tidak membuat pemotongan subsidi kepada pihak Independent Power Producers –IPP yang jumlah angka kos amat besar dan tinggi ?. Apakah ini terjemahan rakyat didahulukan dengan menjadikan rakyat ‘dikorbankan’ dalam polisi baru kerajaan pusat ?. Bagaimanakah pula dengan jumlah kos mendapatkan khidmat perunding APCO yang wang ratusan juta tersebut boleh dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat ?.

Kita menggesa agar rakyat tidak terpengaruh dengan istilah pengurangan subsidi kerana realitinya adalah kenaikan kos yang perlu ditanggung rakyat. Suara rakyat perlu digemakan di seluruh negara tatkala UMNO-BN akan terus menaikkan harga barang dan petrol diambang pengenalan cukai GST.

Akhirnya,AMK Selangor yakin rakyat sudah membuka minda dan hati siapakah yang memperjuangkan nasib dan kesengsaraan rakyat serta memikirkan masa depan rakyat negara ini sebenarnya. Lakonan pimpinan UMNO-BN yang kononnya mendabik dada juara rakyat ini adalah hasilnya dengan akan berlaku berterusan kenaikan barang dan perkhidmatan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

AMK Selangor Hargai Kerajaan Selangor Bentang Akta Kebebasan Maklumat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Julai 2010

AMK Selangor Hargai Kerajaan Selangor Bentang Akta Kebebasan Maklumat

Angkatan Muda Keadilan Selangor menghargai usaha kerajaan Selangor membentangkan Akta Kebebasan Maklumat yang pertama di negara ini. Ianya satu sejarah negara kerana akta seumpama ini masih belum dibentangkan di peringkat Parlimen.

Kesungguhan kerajaan Selangor ini wajar diikuti negeri-negeri lain dalam usaha mewujudkan kerajaan telus dan terbuka. Langkah besar ini menunjukkan kesungguhan dan iltizam kerajaan Selangor menghargai kebebasan rakyat mendapatkan maklumat.

AMK Selangor yakin usaha ini memberikan peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap kerajaan negeri agar ada ‘check and balance’ daripada rakyat. Justeru,Akta Kebebasan Maklumat ini diharap memberikan manfaat kepada rakyat Selangor seterusnya menjadikan negeri ini lebih baik pentadbirannya.

Dalam pada itu juga,AMK Selangor mengalu-alukan pelantikan Adun Sungai Burong,Shamsuddin Lias sebagai Pengerusi PAC Selangor yang merupakan langkah berani kerajaan Pakatan Rakyat dalam usaha mewujudkan kerajaan yang sedia diperiksa perbelanjaannya daripada parti berbeza.

Malahan perkara ini di peringkat pusat belum berlaku dan usaha langkah ini diharap mampu menjadikan Selangor contoh terbaik daripada segi ketelusan perbelanjaan kewangannya.

Kita berkeyakinan usaha-usaha kerajaan Selangor mampu menjadikannya contoh negeri yang matang dan mampu mengangkat suara dan kehendak rakyat.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Ahad, 11 Julai 2010

Mansuhkan Permit Penerbitan Akhbar

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

12hb Julai 2010

Mansuhkan Permit Penerbitan Akhbar

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa kerajaan memansuhkan permit penerbitan akhbar yang tidak lagi relevan. Permit penerbitan akhbar menghalang kebebasan media dan kebebasan maklumat di negara ini. Era globalisasi,permit mengekang hak rakyat mendapatkan maklumat sudah ketinggalan zaman tatkala dunia media sudah berubah.

AMK Selangor membidas perlunya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Negara. Tidak ada keperluan untuk adanya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya tidak akan menjejaskan keselamatan negara.Malahan,kita yakin media lebih akan meriah dengan kepelbagaian akhbar-akhbar yang wujud dan ia terpulang kepada kuasa pengguna untuk membuat pilihan.

Malahan kita berkeyakinan kuasa pengguna pembaca akhbar sudah bijak untuk membuat pilihan kerana kecanggihan teknologi maklumat kini lebih pantas dan meluas. AMK Selangor juga menggesa kerajaan tidak lagi menggunakan alasan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar setiap tahun untuk dijadikan asas mengekang penerbitan sesuatu akhbar.

Kewujudan undang-undang sedia ada masa kini sudah cukup untuk mengenakan tindakan perundangan kepada media-media cetak jika membawa berita berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara. Justeru permit penerbitan akhbar hanya akan mengekang perkembangan budaya fikir dan kritis rakyat. Tatkala peranan media cetak menjadi jurubicara rakyat dan pengimbang kepada pihak pemerintah.

AMK Selangor yakin jika permit penerbitan akhbar ini dimansuhkan,rakyat akan lebih berfikiran kritis dan terbuka tatkala kini jumlah akhbar di negara masih kurang di pasaran berbanding negara-negara maju lain. Akhirnya, Malaysia akan lebih maju dan inovatif kerana mempunyai akhbar yang berkualiti yang membentuk budaya fikir rakyat ke arah kecemerlangan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Khamis, 1 Julai 2010

AMK Selangor Gesa Penasihat Undang-Undang,Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dilantik Sendiri Oleh Kerajaan Pakatan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

01hb Julai 2010

AMK Selangor Gesa Penasihat Undang-Undang,Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dilantik Sendiri Oleh Kerajaan Pakatan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengalu-alukan cadangan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat melantik Penasihat Undang-Undang sendiri bagi memastikan pegawai yang dilantik lebih memahami hasrat dan aspirasi agenda kerajaan Pakatan Rakyat.

Malahan AMK Selangor menggesa agar saranan Professor Dr Aziz Bari agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga melantik Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kerajaan Negeri dilantik sendiri oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat diambil perhatian serius. Justeru, kita menggesa kerajaan negeri merombak jawatan-jawatan penting lain agar keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri lebih telus, tiada karenah birokrasi serta mendokong hasrat kerajaan negeri.

AMK Selangor menggesa ini adalah masa yang terbaik untuk membuat perubahan drastik selepas lebih 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri khususnya Selangor,Kedah dan Pulau Pinang. Masa untuk perubahan sekarang dan tiada alasan wajar diberikan lagi bagi agenda perubahan besar negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Kita yakin perubahan drastik ini mampu memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat di negeri dan kerajaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi pentadbiran agar lebih berkesan serta memahami agenda perjuangan Pakatan Rakyat.

Perubahan ini amat penting, kerana selama ini jawatan tersebut dari segi professionalisme dan ketaatannya kepada agenda kerajaan negeri dipersoalkan dan dipertikaikan. Ini kerana mereka adalah lantikan daripada kerajaan Persekutuan yang berbeza dengan hasrat dan agenda yang di bawa oleh kerajaan negeri.

AMK Selangor mengulangi ketegasan agar perubahan drastik ini dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan lagi. Kita mendesak perubahan jawatan tersebut kerana kita semakin suntuk untuk melaksanakan agenda perubahan pentadbiran yang lebih dinamik, professional dan memahami hasrat dan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat.

Kita yakin jika perubahan ini dilaksanakan, rakyat akan memberikan dokongan dan sokongan kerana inilah yang menjadi harapan kepada perubahan yang diidamkan rakyat. Kerajaan negeri pentadbiran Pakatan Rakyat akan lebih menonjol dan komited kepada agenda perubahan yang diperjuang selama ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor