Khamis, 16 September 2010

Perutusan Hari Malaysia 2010 Oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

16hb September 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak secara rasminya membentuk Malaysia. Makanya kenegaraan Federalisme yang menjadi salah satu dari tiang seri negara sewajarnya menjadi semakin kukuh dan sepatutnya lagi dihormati.

Kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa dampak yang bukan sedikit kepada negara. Malangnya semangat pembentukan Negara Malaysia dan faham Federalisme yang mendukungnya, malah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan pula, kian hari semakin terhakis.

Pemusatan kuasa kepada kerajaan persekutuan tidak terbendung lagi. Faham Federalisme, Kedaulatan Undang-Undang dan Semangat Keperlembagaan diketepikan demi mengekalkan kekuasaan elit pemerintah semata.

Justeru tidak hairan kita lihat bagaimana negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan hasil bumi serta semulajadi. Janji-janji manis ditabur di Sabah dan Sarawak misalnya, kerana ianya dianggap sebagai “deposit” kemenangan ketika mahu memenangi pilihanraya.

Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut.

Makanya Parti Keadilan Rakyat bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan negara ini dan berusaha sejajar dengan hasrat murni Perlembagaan Persekutuan. Malanglah negara ini jika pemerintahnya bertindak menyisihkan dan menafikan hak rakyat sendiri kerana berbeza fahaman politik, ras dan kebudayaan.

Kini sudah tibalah masanya seluruh rakyat dari Perlis sehingga ke Johor, dari Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak menyertai gelora menuntut Perubahan, agar sirna penindasan dan tertegaknya Keadilan. Hari Malaysia ini, bersamaan 16hb September 2010, biarlah ianya dimaknai oleh kita, untuk terus beriltizam dan berusaha mengembalikan Semangat Keperlembagaan agar negara ini “…mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.”

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16 September 2010

Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyatakan harapan tinggi agar Ketua Polis Negara yang baru,Tan Sri Ismail Omar menunjukkan ketegasan dan komitmen untuk tidak tunduk kepada pengaruh daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini,bekas Ketua Polis Negara,Tan Musa Hassan mengeluarkan kenyataan mengejutkan bahawa wujudnya campur tangan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam urusan PDRM.

Justeru,AMK Selangor berharap di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara yang baru,imej dan professionalisme PDRM dapat dipertingkatkan lantaran sebelum ini kewibawaan dan professionalisme PDRM dalam beberapa perkara dipertikaikan pelbagai pihak.

AMK Selangor menggesa rakyat dan PDRM bersama-sama memerangi jenayah yang semakin membimbangkan dan menakutkan.Kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 individu yang lain merupakan insiden tragis yang tidak patut berulang lagi.

AMK Selangor mencadangkan agar aspek pendidikan pencegahan jenayah diperluaskan dan diberi perhatian sejak bangku sekolah lagi bagi memberi penerangan agar masyarakat dapat membentuk jaringan keselamatan bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

AMK Selangor juga berharap kerajaan meneruskan komitmennya dalam aspek penurunan jenayah dengan melaksanakan dasar dan polisi berkesan menangani peningkatan kadar jenayah.

Kita yakin rakyat keseluruhannya memberikan sokongan dan dokongan padu kepada PDRM dalam usaha pembanterasan jenayah dan hubungan baik antara rakyat dan pihak polis dipertingkatkan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Rabu, 15 September 2010

Hari Malaysia : Hormati Hak dan Kuasa Kerajaan Negeri

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16 September 2010

Hari Malaysia : Hormati Hak dan Kuasa Kerajaan Negeri

Angkatan Muda Keadilan Selangor menegaskan 16 September yang merupakan Sambutan Hari Malaysia perlu memperkukuh semangat rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara yang progresif dan dinamik di peringkat antarabangsa.

Malahan 16 September perlu diingati sebagai tarikh keramat yang menyatukan negeri-negeri di Malaysia. Maka,adalah wajar kerajaan persekutuan menghormati kuasa negeri-negeri dalam beberapa hal tertentu yang telah termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Apa ertinya kita meraikan hari 16 September sebagai Hari Malaysia tetapi kerajaan persekutuan dalam perkara-perkara tertentu tidak menghormati kuasa dan hak kerajaan negeri.

Dalam hal ini, AMK Selangor menggesa agar isu air antara kerajaan persekutuan dan Selangor dapat diselesaikan segera dengan mengembalikan pengurusan air di Selangor kembali kepada kerajaan negeri Selangor. Ianya bagi memastikan kebajikan rakyat dalam bekalan air Selangor terus terbela.

Malahan kita juga menggesa agar kerajaan persekutuan mengembalikan hak dan royalti minyak kepada negeri-negeri berkenaan dengan segera dan pada kadar peratusan yang lebih adil dan munasabah.

AMK Selangor juga mendesak dalam isu peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor agar dipertingkatkan dan tiada kekangan politik untuk menyalurkan terus kepada kerajaan negeri Selangor.

Justeru,16 September akan lebih bermakna jika kerajaan persekutuan mengembalikan hak dan kuasa kerajaan negeri yang sudah termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Isnin, 13 September 2010

Perutusan Eidulfitri 2010/1431H

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan

“di hari ini kami tidak akan terkalahkan”

Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat