Khamis, 25 Februari 2010

AMK Selangor Pertahan Kerajaan Selangor Dalam Isu Air


Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

25hb Februari 2010

AMK Selangor Pertahan Kerajaan Selangor Dalam Isu Air

Angkatan Muda Keadilan Selangor bertegas mempertahankan pendirian Kerajaan Selangor berhubung tindakan SYABAS membawa kes ke mahkamah apabila tuntutan kenaikan tarif air ditolak. Syabas bulan lalu menghatar notis undang-undang menuntut Selangor membayar pampasan Ringgit Malaysia : tiga ratus tiga puluh sembilan juta kerana tidak membenarkan kenaikan harga itu tahun lalu.


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan bahawa Syabas mendesak supaya harga air dinaikan 30 peratus pada tahun lalu, namun tuntutan itu di tolak oleh kerajaan negeri. Sehubungan dengan itu, AMK Selangor menuntut dan mendesak pihak SYABAS agar mengutamakan rakyat dan memikirkan kebajikan rakyat sebelum menaikkan tarif air.

Tindakan Kerajaan Selangor yang menolak tuntutan ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan rakyat yang perlu diutamakan.AMK Selangor amat memuji tindakan bijak dan prihatin kerajaan Selangor dalam isu ini yang tidak sekali-kali berkompromi dan tunduk atas nama kepentingan rakyat Selangor.

AMK Selangor juga mengulangi desakan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor sebelum ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan pusat mengembalikan aset air dan pengurusan air kepada kerajaan Selangor semula. Atas tindakan SYABAS untuk menaikkan tarif air ini maka AMK Selangor tampil mempertahankan pendirian kerajaan Selangor yang komited mempertahankan kebajikan rakyat.

Kita tidak mahu SYABAS menaikkan tarif air kerana jelas ia akan membebankan pengguna tatkala perkembangan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya. Malahan ia akan menjejaskan kualiti hidup rakyat yang perlu membayar lebih tatkala ura-ura kenaikan tarif elektrik,kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta perlaksanaan sistem cukai GST yang masih dipertikaikan akan dilaksanakan kelak.

Kesungguhan dan komiten kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu air ini dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor akan terus dipertahankan bersama-sama oleh AMK Selangor dengan sokongan dan dokongan mantap rakyat. Kita mahu rakyat Selangor menikmati kualiti hidup yang baik serta mendapat mutu serta kualiti perkhidmatan bekalan air pada tahap yang terbaik dan pada harga yang rendah .

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor



Selasa, 23 Februari 2010

CERAMAH PERDANA PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT

CERAMAH PERDANA

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT

Tarikh : 24hb Februari 2010

Hari : Rabu

Masa : 8.30 Malam

Tempat : Stadium Tertutup Kuala Selangor,

Kuala Selangor,Selangor Darul Ehsan

Penceramah :

1.) YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Ketua Umum PKR

2) Y.A.B Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim

Dato’ Menteri Besar Selangor

3) Y.A.B Lim Guan Eng

(Ketua Menteri Pulau Pinang)

4) YB Dr. Dzulkefly Ahmad

Ahli Parlimen Kuala Selangor

5) YB Tuan Dr Abd Rani Bin Osman

ADUN Meru

6) Sdr Shamsul Iskandar Md. Akin

Ketua AMK PKR Malaysia

SELAMATKAN MALAYSIA !!!

Ahad, 21 Februari 2010

RM 5 Billion Pulih Rumah Terbengkalai,Bukti Kerajaan Selangor Komited Membela Nasib Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadian Rakyat

21hb Februari 2010

RM 5 Billion Pulih Rumah Terbengkalai,Bukti Kerajaan Selangor Komited Membela Nasib Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan RM5 bilion bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai.Manfaat ini akan dinikmati oleh lebih 50,000 buah rumah dan ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Selangor.

AMK Selangor menyakini pakej rangsangan ekonomi kerajaan negeri Selangor yang kian rancak dilaksanakan mampu membawa Selangor berhadapan dengan cabaran ekonomi yang masih malap dan samar-samar. Malahan dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor ini masalah warisan daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang gagal menangani masalah perumahan rakyat terbengkalai dapat diatasi dengan segera.

Kita percaya selepas ini kerajaan negeri Selangor mempunyai pelan rancangan mereka sendiri untuk menarik pelaburan ke negeri di mana Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan magnet yang mampu menarik pelaburan luar negara. Suasana iklim seperti ini diharap tidak cuba disabotaj oleh pihak-pihak lain yang merasa mereka cemburu dengan keupayaan dan prestasi mengkagumkan kerajaan Pakatan Rakyat memacu dan membawa pembaharuan ekonomi yang lebih merakyatkan dan adil untuk semua.

AMK Selangor mohon mempertimbangkan kepada kerajaan negeri Selangor agar memberi perhatian dan fokus kepada pemilikan rumah mampu milik kepada generasi muda. Ia amat perlu kerana generasi muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga berhadapan dengan situasi sukar untuk memiliki rumah kerana faktor-faktor ekonomi keluarga yang belum mantap dan stabil. Kita yakin jika usaha ini dilaksanakan kelak, generasi muda mampu membina kehidupan awalnya dengan lebih bahagia disamping membentuk keluarga yang harmoni.

AMK Selangor yakin pembelaan rakyat seperti ini yang ditunggu rakyat keseluruhannya. Program yang memberi nilai tambah kepada kualiti hidup rakyat perlu menjadi keutamaan penting dalam menjana kemakmuran ekonomi untuk kesejahteraan semua.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Rabu, 17 Februari 2010

AMK Selangor Pertikai Pembelaan PERKASA Untuk Apa Dan Siapa ?

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

17hb Februari 2010

AMK Selangor Pertikai Pembelaan PERKASA Untuk Apa Dan Siapa ?

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu. Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan. Malahan sasaran terpilih PERKASA yang hanya dilihat vokal dan lantang hanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjadi suatu misteri.

Demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan adalah sekadar gimik politik murahan yang dipimpin oleh ahli politik yang semakin dipinggirkan. Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.

AMK Selangor juga mempertikaikan untuk apa adanya PERKASA sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun.

PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir. Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri. Adalah ditegaskan jika benar PERKASA mahu membela nasib orang Melayu desakan kuat dan tuntutan perlu disasarkan kepada parti pemerintah negara ini yang mana gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi,sahsiah,minda dan politik sejak 50 tahun lepas.

Generasi muda kini melihat agenda politik berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu. Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang. Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Kewujudan PERKASA itu sendiri yang cuba menjadi alternatif kepada perjuangan UMNO apabila parti itu gagal memainkan peranan utamanya semakin banyak kelihatan. Rasa muak rakyat kepada politik UMNO yang ditunjangi oleh gejala politik wang dan kelemahan idea gagasan besar menyebabkan agenda pembaharuan negara tidak berjalan dengan lancarnya. Yang pasti,PERKASA adalah perkakas kepada UMNO jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan. Justeru rakyat diharap tidak mudah terperangkap dengan agenda mereka kerana tujuan dan motif perjuangan mereka amat kabur dan mengelirukan.

Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu,lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan ?. Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah di anggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil ?. Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa?.

Justeru,AMK Selangor sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang di bawa oleh PERKASA dari masa ke semasa. Mereka berjuang kerana apa dan untuk apa sedangkan sudah sekian lama hak dan keistimewaan orang-orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat berpunca antara lain kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau ‘Ad-Deen’ serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.

Akhirnya, kita menggesa agar suara-suara vokal dan lantang PERKASA juga hebat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional. Isu pembelaan Melayu tidak boleh bersifat selektif yang didakwa kononnya hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malahan perlu hebat dan gah juga suara-suara pembelaan kepada bangsa-bangsa lain. Ingatlah jika Melayu dan Islam adalah asas kepada hubungan akrab persaudaraan sebangsa dan seagama, berlainan agama dan bangsa adalah asas hubungan akrab persaudaraan sesama manusia pula.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Selasa, 16 Februari 2010

UMNO/BN Gagal Hormati Kedaulatan Perundangan Dan Kebebasan Kehakiman

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Februari 2010

UMNO/BN Gagal Hormati Kedaulatan Perundangan Dan Kebebasan Kehakiman

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar pemimpin UMNO/BN mencermin diri dahulu sebelum membidas negara luar dan pihak antarabangsa agar tidak mencampuri urusan perundangan negara ini. Tindakan 50 orang Ahli Parlimen Australia daripada pelbagai parti yang mendesak agar perbicaraan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes terbaru yang dibicarakan agar digugur serta-merta. Ia sebenarnya adalah reaksi spontan masyarakat antarabangsa yang melihat perbicaraan tersebut melanggar standart prinsip perundangan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa seluruh masyarakat dan dunia antarabangsa mengecam konspirasi Fitnah 2 ini. Ulama tersohor antarabangsa seperti Al-Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi dan Al-Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menyatakan kecaman terhadap tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka menganggap ia adalah suatu fitnah yang amat besar.

Malahan pemimpin-pemimpin serantau dan dunia juga menyatakan pendirian tegas berkenaan fitnah rekaan ini. Dijangka selepas ini semakin banyak pihak , pertubuhan-pertubuhan antarabangsa serta pemimpin dunia senada dan sekata mengecam tuduhan fitnah dan konspirasi jijik ini. Reaksi masyarakat antarabangsa amat tinggi kerana para konspirator menggunakan skrip lama untuk memusnahkan agenda pembaharuan di negara ini yang semakin mendapat sokongan rakyat.

UMNO/BN telah banyak melakukan kerosakan dan pencemaran terhadap kedaulatan undang-undang negara dan kebebasan kehakiman. Campurtangan yang keterlaluan dalam perjalanan perundangan negara mencemar imej dan integriti badan perundangan dan kehakiman negara. Justeru UMNO/BN tidak perlu mengecam tindakan pihak negara luar dan antarabangsa kerana kerosakan yang dibawa UMNO/BN menyebabkan kecelaruan dalam sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia.

UMNO/BN perlu sedar bahawa masyarakat dan dunia antarabangsa melihat perbicaraan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersifat konspirasi tertinggi untuk menghalang beliau membawa pembaharuan siasah di Malaysia. Rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa tidak mudah diperbodohkan oleh siaran media kuno milikan UMNO/BN. Era kini maklumat tepat dan sahih semakin mudah diperolehi dan dicapai di seluruh dunia.

AMK Selangor juga menggesa agar komponen parti dalam Barisan Nasional bertindak bijak untuk keluar daripada bersekongkol dengan konspirasi jijik pemimpin UMNO ini. Protes senyap rakyat lebih hebat daripada ledakan reformasi era 1998 dahulu. Malahan jika dibuat kajian rambang, rakyat yakin bahawa perbicaraan politik ini adalah usaha terakhir pemimpin UMNO yang semakin merasakan kebangkitan rakyat semakin memuncah khususnya mutakhir ini.

AMK Selangor mencabar Ahli Parlimen pihak Barisan Nasional jika masih mempunyai harga diri dan maruah perjuangan agar tidak menjadi dayus dan berdiam diri dengan membiarkan bersama-sama berkomplot dalam fitnah besar tersebut. Rakyat dan dunia antarabangsa sedang menghakimi sistem perundangan dan kehakiman negara. Dan rakyat sudah bersedia melakukan perubahan besar untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Gelombang kebangkitan rakyat kini adalah era Reformasi 2.0. Capaian maklumat semakin pantas dan meluas. Jika reformasi 1998 lebih kepada sentimen emosi tetapi kini rakyat semakin bijak dan penuh informasi. Desakan perubahan ini akan semakin terus berjalan dan bersemarak.

AMK Selangor bersama-sama rakyat akan terus menggerakkan perubahan total di negara ini. Masa semakin suntuk, jika negara tidak diselamatkan maka kita semakin jauh tercicir daripada persaingan dunia sejagat.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Desak Kerajaan Pusat Kembalikan Aset Dan Pengurusan Air Selangor Segera

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Februari 2010

Desak Kerajaan Pusat Kembalikan Aset Dan Pengurusan Air Selangor Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengulangi desakan kepada kerajaan pusat untuk berlaku adil dan professional dengan mengembalikan aset dan pengurusan air kepada kerajaan negeri Selangor semula. Perlaksanaan ini perlu disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor keseluruhannya.

AMK Selangor mengulangi ketegasan agar kerajaan pusat tidak berdolak-dalik dan melambat-lambatkan kerana air adalah keperluan untuk semua. Rakyat Selangor menyedari bahawa pengurusan aset dan air perlu dilaksanakan dengan bijak, telus dan professional. AMK Selangor mahu pengurusan aset dan air di Selangor dikembalikan semula untuk memastikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terjamin.

AMK Selangor yakin dengan kerajaan negeri Selangor yang mempunyai halatuju jelas dan mantap bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin khususnya untuk menikmati air percuma 20ml padu dan pada harga yang munasabah. Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional tidak mempunyai perancangan besar agar harga air terus stabil malahan bertindak menyebabkan harga semakin meningkat dari masa ke semasa.

Justeru,kerajaan pusat perlu bertindak adil dan mementingkan kebajikan rakyat Selangor serta fokus ke arah mewujudkan industri air yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor dan tidak kepada segelintir korporat sahaja. Pengurusan air perlu dimantapkan dan diterus dipertingkatkan kerana air adalah nadi kepada kehidupan dan kemakmuran ekonomi negara.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Rabu, 3 Februari 2010

5 Cara Terpantas Untuk Dapatkan Info Terkini Kes Fitnah 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim:


5 Fastest Ways to follow Conspiracy Case on Datuk Seri Anwar Ibrahim:

1. FaceBook Fan Page DSAI

2. Twitter @AnwarIbrahim

3. TV Selangor

4. Sistem SMS Parti Keadilan Rakyat
How to subscribe?
Type: REG ADIL
sms to: 32300

5. Blog DSAI