Khamis, 28 Mei 2009

Generasi Anak Muda Disaran Menghayati Karisma Dan Kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh.


Kenyataan Akhbar

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

 

28hb Mei 2009

 

Generasi Anak Muda Disaran Menghayati Karisma Dan Kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh.

            

             Angkatan Muda Keadilan Selangor menyarankan agar generasi anak muda menghayati kembali kehidupan dan perjuangan Sultan Muhammad Al-Fateh. 29hb Mei 2009 ini,genap 556 tahun kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinapol atau Istanbul pada 29hb Mei 1453 masihi selepas hampir 800 tahun peristiwa penting ini diucapkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

             AMK Selangor menggesa ahli AMK  serta generasi muda tanpa mengira agama dan bangsa  menghayati kisah perjuangan besar  dan karismatik Sultan Muhammad Al-Fateh melalui pembacaan dan diskusi ilmiah.  Kejayaanya membuka Kota Konstantinapol ketika usianya 23 tahun wajar menjadi iktibar dan pencetus inspirasi kepada generasi anak muda masa kini dalam membawa harapan baru untuk masa hadapan negara ini.

             Banyak kisah dan tauladan yang boleh diambil dalam membina karektor kepimpinan dan membina rakyatnya yang mempunyai akhlak yang tinggi dan hebat sehingga menjadi sebuah satu pasukan pembina negara yang hebat dan menjadi bualan sehingga kini. Belum pernah berlaku dalam sejarah bagaimana 70 buah kapal laut boleh belayar di daratan melalui bukit-bukau sejauh 5 kilometer. Generasi muda Malaysia wajar belajar budaya inovasi dan kreativiti untuk memimpin negara dan dunia.

             Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Contoh kepimpinan ini wajar dihayati oleh semua lapisan generasi muda masa kini.

             AMK Selangor menyarankan agar kisah kepimpinan hebat Sultan Muhammad Al-Fateh ini dapat dibaca,diulas dan dibincangkan untuk membina keperibadian dan kepimpinan yang unggul kepada seluruh ahli AMK dan generasi muda. ‘Menjadi pemimpin terbaik dan memimpin rakyat dan tentera terbaik’ merupakan satu cabaran generasi kepimpinan muda masa kini untuk membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang hebat di masa hadapan.

             Dengan menghayati dan menyemai nilai-nilai yang hebat ini. Maka diharap generasi anak muda masa kini yang disempitkan dengan isu ‘Mat Rempit’ dan kepincangan sosial dapat membawa satu anjakan paradigma baru dalam konteks membawa kecemerlangan Malaysia. AMK Selangor amat mengalu-alukan penyertaan aktif generasi anak muda dalam denyut nadi perubahan siasah di negara ini. Malahan penyertaan generasi muda khususnya lepasan institusi pengajian tinggi dan sekolah amat penting dalam membawa kesinambungan kepimpinan ke arah kecemerlangan negara.

AMK Selangor juga berharap penglibatan aktif generasi muda dalam semangat membawa kecemerlangan negara mendapat suntikan dan semangat daripada kepimpinan negara dan negeri. Justeru generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mereka menunjukkan skil dan daya inovasi dan kreativiti dalam semua bidang di negara ini. Malahan dengan ruang dan suasana positif ini generasi muda boleh melangkah jauh sehingga ke peringkat global.

AMK Selangor berharap media massa memberi imej positif kepada generasi muda di negara ini. Imej seperti Mat Rempit yang disinonimkan dengan generasi muda masa kini hanya imej tempelan negatif dan tidak banyak membantu satu gerakan baru generasi muda di negara ini.

AMK Selangor menggesa kerajaan pusat dan negeri melaksanakan pelan pembangunan insan generasi muda dengan lebih giat dan komited. Kerajaan juga wajar memberi perhatian kepada pembangunan insan kepada anak muda yang keciciran pendidikan sekolah dan tinggi serta yang berada di kilang-kilang dan bekerja sendiri. AMK Selangor yakin jika aset penting ini dibangunkan dengan baik maka kita dapat melihat masa hadapan negara yang lebih cemerlang dan hebat dapat direalisasikan.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa agar generasi anak muda menghayati kembali sejarah hidup pemimpin hebat Sultan Muhammad Al-Fateh dan pemimpin besar lain  agar inspirasi ini mampu membawa negara untuk menjadi pencetus tamadun baru di masa hadapan. Generasi anak muda adalah pencetus dan pembaharuan kepada harapan baru Malaysia di masa hadapan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

 

AMK SELANGOR GESA KERAJAN UNTUK BAWA BALIK SEGERA PENYIASAT PERSENDIRIAN BALASUBRAMANIAM A/L PERUMAL

KENYATAAN AKHBAR

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

28hb Mei 2009 

AMK SELANGOR GESA KERAJAN UNTUK BAWA BALIK SEGERA PENYIASAT PERSENDIRIAN BALASUBRAMANIAM A/L PERUMAL

        Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan PDRM membawa seberapa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara. Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.

        AMK Selangor juga mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sedangkan dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.

        AMK Selangor juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia. AMK menganggap isu ini ditumbulkan hanya strategi politik desperado sesetengah pihak UMNO/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali UMNO/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia.

        Malahan AMK Selangor melihat perkembangan ini hanya mainan politik pihak-pihak tertentu untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah isu-isu berkenaan ketuanan Melayu, DEB, sensitiviti umat Islam,liberalisasi perdagangan dan konsep Satu Malaysia jelas gagal untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada pihak UMNO/BN.

        AMK Selangor menggesa kerajaan semasa agar memberikan penumpuan dan fokus khas kepada pemulihan dan pembaharuan ekonomi. Laporan terkini berkenaan KDNK negara serta data dan statistik ekonomi negara yang tidak memberangsangkan perlu diambil perhatian dan tindakan perlaksanaan yang pantas.

        Dalam isu untuk siapa yang perlu dibawa pulang dengan segera pada ketika ini. AMK Selangor berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini. Justeru AMK menganggap semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

        Akhirnya, AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dan sokongan rakyat. Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global.


Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

       

 

         

Sabtu, 23 Mei 2009

AMK Selangor Gesa Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Negara -Negara Islam Sedunia (OIC) Bertindak Pantas Menyelamatkan Masjid Al-Aqsa.

Kenyataan Akhbar

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

Untuk Edaran Segera

AMK Selangor Gesa Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Negara -Negara Islam Sedunia (OIC) Bertindak Pantas  Menyelamatkan Masjid Al-Aqsa.

            Angkatan Muda Keadilan Selangor merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionist Israel. Berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa. Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionist Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya.

AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini.

AMK Selangor juga berharap Perdana Menteri Malaysia agar memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara. Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan  tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini.

AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini. Perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionist Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.

AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama  dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini. Dunia pastinya tidak mahu melihat  peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionist Israel ini daripada berlaku. Malahan resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionist Israel ini mencapai kejayaan.

Akhirnya, AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga. Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionist Israel.

 

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Sinar Harian : 23Mei 2009 : Sembang Interaktif AMK Selangor

Selasa, 12 Mei 2009

`MAHKAMAH RAKYAT’ PENENTU KERAJAAN SAH DI PERAK

Oleh : Mohd Ezli Mashut

LL.B (Hons) UIAM

Email : ezli007@hotmail.com / Blog : www.ezli007.blogspot.com

            Berita terbaru yang diperolehi jam 1.30 tengahari daripada beberapa laman sesawang berita mengenai arahan Mahkamah Rayuan yang memberikan kebenaran untuk Dr Zambry Abdul Kadir menjalankan tugas Menteri Besar Perak pastinya mengundang sekali lagi berita sensasi dan kontroversi.

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 membuat keputusan bahawa Dato’ Seri Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah disisi undang-undang dan perlembagaan. Kini sekali lagi bangunan SUK Perak dalam tempoh tidak kurang 24 jam kembali menjadi perhatian umum. Pasukan FRU untuk kali ke berapa ditugaskan berkawal di sekitar kawasan yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri Perak ini.

            Umumnya pasti tidak menjangkakan begitu pantas sekali Mahkamah Rayuan bersedia mendengar permohonan dan juga mengeluarkan arahan atau stay of execution. Ianya juga mengundang pelbagai persepsi negatif rakyat terhadap badan kehakiman dan mahkamah di mana pendengaran kes ini dijalankan dengan begitu cepat sekali. Seolah-olah bagaikan mengikut skrip yang telah dirancang oleh konspirator dalang rampasan kuasa di Perak ini.

            Di atas sebab ini mengapa saya secara peribadi tidak terlalu teruja dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Ianya pasti babak kemelut politik di Perak ini akan mengambil masa yang panjang untuk kembali stabil.

            Justeru, `Mahkamah Rakyat’ yang berhak menentukan pihak mana yang sewajarnya membuat penghakiman dalam kes menentukan kerajaan yang sah memerintah Perak dalam Kes : Pakatan Rakyat Lawan Barisan Nasional (2009). Dijangkakan selepas Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya. Kes ini akan didengar pula ke Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi dalam hierarki mahkamah di Malaysia. Di Mahkamah Persekutuan inilah segala penghakiman akan mengatasi segala keputusan hakim-hakim yang sudah dibuat oleh mahkamah yang terdahulu.

            Proses ini akan memakan masa dan kos yang panjang dan tinggi juga. Jika kes ini dibawa ke `Mahkamah Rakyat’ , kes ini akan dihakimi oleh 1 juta hakim  pengundi sah yang berhak menentukan siapa yang mendapat pilihan majoriti untuk menjadi kerajaan  di Perak. Oleh itu, pembubaran DUN adalah satu-satunya pilihan yang terbaik untuk melaksanakan keadilan kepada yang sepatutnya menjadi kerajaan selepas rampasan kuasa  oleh pihak UMNO/BN.

            Rakyat berhak menjadi ‘Hakim Negara’ dalam pertikaian legitamasi kerajaan di Perak ini. Hanya dengan mengembalikan ke pilihan rakyat sahaja dapat memberikan keputusan yang dilihat lebih adil dan saksama. Ini disebabkan rakyat itu adalah kerajaan dan kerajaan itu sendiri adalah rakyat.

            Kini timbul persoalan apakah arahan Mahkamah Rayuan itu boleh dilaksanakan atau dicabar dengan sebarang tindakan undang-undang lain seperti injuksi ? Timbul juga persoalan lain mengenai arahan Mahkamah Rayuan ini yang mengiktiraf Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak sedangkan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin adalah MB Perak yang sah terdahulu sebelum rampasan kuasa berlaku. Justeru sepatutnya memandangkan perbicaraan masih berjalan di Mahkamah Rayuan maka arahan yang tepat adalah mengiktiraf Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah.

            Oleh itu isu kini ialah apakah arahan Mahkamah Rayuan itu boleh dikuatkuasakan sekarang memandangkan penghakiman sudah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Timbul pula persoalan apakah arahan Mahkamah Rayuan boleh mengatasi Keputusan Mahkamah Tinggi sedangkan perbicaraan belum lagi bermula di Mahkamah Rayuan ?.

            Apa dia stay of execution ?. Merujuk Wikipedia ia bermaksud :

A stay of execution is a court order to temporarily suspend the execution of a court judgment or other court order. The word "execution" does not mean the death penalty in this context; it refers to the imposition of whatever judgment is being stayed.

A stay can be granted automatically by law or can be conventional, when the parties in a civil or criminal case agree that no execution shall occur for a certain period.[1] If a party appeals a decision, any judgment issued by the original court may be stayed until the appeal is resolved.

            Justeru kini penangguhan perlaksanaan penghakiman yang diperolehi Zambry hanya membuktikan beliau sebenarnya pada persepsi rakyat bukan lagi sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Ianya kelihatan sebegitu rupa kerana propaganda media arus lapuk seperti televisyen dan surat khabar milik pemerintah berusaha keras memutar belitkan situasi dan keadaan.

            Penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi merupakan petanda bahawa rakyat dapat mengetahui kini siapa sebenarnya MB Perak yang sah. Kini di media Zambry Kadir bukan menjawat MB Perak tetapi sudah bertukar kepada MB BN pula.

            Mengikut kenyataan SUHAKAM yang dikeluarkan pengerusinya berpendapat :

“Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.

            Jelas kini, hak rakyat Perak untuk menjadi ‘Hakim’ dalam kemelut ini merupakan satu keperluan dalam menyantuni Hak Asasi Manusia. Justeru hanya dengan membawa kes ini ke ‘Mahkamah Rakyat’ merupakan jalan terbaik untuk merungkaikan kemelut politik Perak yang kini umpama cerita kartun.


Mohd Ezli Mashut

www.ezli007.blogspot.com

Zambry berjaya tangguh keputusan mahkamah

Zambry berjaya tangguh keputusan mahkamah
May 12, 09 10:00am
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. 

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Kredit : Malaysiakini
--------------------------------------------------------------

Di harap semua AMK Selangor mendapat maklumat yang terkini. Pastikan semangat perjuangan kita terus mantap dan kukuh. Pertingkatkan amalan kerohanian semoga kita terus konsisten dalam perjuangan yang sangat panjang ini.

AMK Selangor

Akhbar Sinar Harian :12 Mei 2009 : AMK Selangor Tolak Liberalisasi Ala Penjajah Asing

Klik di sini untuk paparan lebih jelas

Isnin, 11 Mei 2009

AMK SELANGOR TOLAK LIBERALISASI ALA PENJAJAHAN ASING

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

11hb MEI 2009

AMK SELANGOR TOLAK LIBERALISASI ALA PENJAJAHAN ASING 

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak sebarang usaha penjajahan asing menggunakan konsep baru melalui sistem liberalisasi. AMK Selangor bertegas bahawa rakyat negara ini perlu mempertahankan hak dan kedaulatan negara daripada sebarang percubaan penjajahan asing yang hanya akan mengaut segala keuntungan daripada negara ini dibawa keluar.

AMK Selangor memohon agar pihak kerajaan agar memastikan bahawa dasar liberalisasi perdagangan, kewangan, guaman dan dasar-dasar liberalisasi lain yang akan dikemukan. Perlunya kepentingan dan kedaulatan negara dipertahankan. AMK Selangor tidak mahu dasar ini bersifat umpama memberikan satu lesen besar untuk syarikat-syarikat gergasi asing memasuki negara ini seumpama melakukan penjajahan ekonomi dan rakus mengaut keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosial kepada rakyat negara ini.

AMK Selangor inginkan penjelasan kerajaan terhadap dasar liberalisasi yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ini. Apakah jaminan kerajaan bahawa nasib rakyat dan syarikat di negara ini dapat menikmati kebersamaan hasil keuntungan daripada dasar ini. Kita tidak mahu melihat ianya hanya memberikan keuntungan kepada syarikat asing sahaja.

AMK Selangor juga ingin melontarkan persoalan apakah rakyat di negara ini dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat luar ini dengan kos yang lebih baik dan munasabah. Kita juga mempersoalkan nasib dan kepentingan pengguna dan pekerja akan dilindungi jika berlaku sebarang masalah kelak.

AMK Selangor juga meminta kajian mendalam dan ilmiah dapat dijalankan oleh pakar-pakar ekonomi dan undang-undang berkenaan kesan liberalisasi ini kesan jangka pendek dan panjang. Malahan kita meminta pakar-pakar ekonomi diberi peluang dan ruang untuk memberikan sebarang idea, penambahbaikan dan kritikan yang membina agar liberalisasi yang diumumkan memberi manfaat kepada negara ini.

AMK Selangor juga menyatakan kebimbangan terhadap kesan kemasukan syarikat gergasi asing dengan dana yang besar yang akan memberikan kesan kepada ekonomi negara pada masa hadapan. Dengan penguasaannya yang berskala besar dibimbangi banyak entiti perniagaan, perbankan, insurans, guaman dan sektor-sektor terlibat menjadi mangsa kepada kerakusan monopoli pasaran dan keuntungan yang akan berlaku kelak.

 

Ini dapat dilihat sebagai perbandingan kajian kes apabila kemasukan pasaraya-pasaraya mega ke negara ini di sesuatu tempat. Kita menyaksikan berlakunya kesan ketara kepada peniaga-peniaga kecil di sesuatu kawasan tersebut. Malahan nasib IKS-IKS juga bagaikan perumpamaan `mentimun dengan durian’ . Ini yang dibimbangi bakal terjadi kepada sektor-sektor lain yang mengalami liberalisasi terbaru ini.

Malahan apakah kesannya jika syarikat-syarikat besar ini mengalami masalah dalaman mereka sendiri seperti yang berlaku kepada AIG, Citibank, Lehman Brothers, Freddie Mac dan syarikat multinasional yang mencetuskan suasana tidak menentu terhadap pasaran bursa saham , kewangan dan ekonomi global. Ketidaktentuan yang disebabkan hanya beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat ini telah mencetuskan ketidaktentuan kepada ekonomi dunia.

Ini yang menjadi kebimbangan besar jika liberalisasi yang dikemukakan akan menjadi `bom jangka ekonomi’ negara yang boleh menghuru-harakan sistem ekonomi negara masa hadapan. Kesan ini pasti mencetuskan suasana panik dan gawat terhadap pasaran bursa saham negara, kewangan, insuran dan juga ekonomi negara. Justeru penjelasan dan kajian ilmiah pakar-pakar ekonomi negara dan antarabangsa perlu untuk menjelaskan situasi masa hadapan ekonomi negara kelak di era liberalisasi ini.

AMK Selangor juga meminta penjelasan kerajaan, apakah mekanisma perlaksanaan dasar liberalisasi ini menguntungkan negara kelak. Agensi manakah yang akan memastikan perlaksanaan dasar liberalisasi ini bagi memastikan syarikat-syarikat besar asing ini mematuhi perundangan , standart dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kita tidak mahu kelak syarikat gergasi asing ini bersikap tidak memahami kehidupan rakyat negara ini dan juga bersikap seumpama penjajah baru di era globalisasi.

AMK Selangor berharap situasi menang-menang dapat diwujudkan kelak dan berlaku juga perkongsian bijak dalam mempertingkatkan prestasi anak tempatan, tahap kemahiran dan professionalisma. Dengan ini anak tempatan juga mampu menerajui syarikat gergasi tersebut kelak dan dapat memberikan khidmat di peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu anak tempatan hanya diambil bekerja sebagai pekerja bawahan dan kurang penting walaupun anak tempatan ini mempunyai kelulusan dan kemahiran yang tinggi serta memenuhi merit.

Dalam konteks kebenaran sesebuah syarikat gergasi asing ini dapat beroperasi di negara ini, apakah ia akan bebas daripada sebarang unsur rasuah. Justeru AMK Selangor berpendapat pemantauan dalam soal memberikan kelulusan ini perlu ketat dan mendapat perhatian daripada agensi-agensi berkenaan. Kita mahu dasar liberalisasi ini dilaksanakan dengan telus dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Akhirnya, AMK Selangor berharap dasar liberalisasi ini bukan kunci kepada penjajahan asing bentuk baru di era ini. AMK Selangor sekali-kali tidak rela mahu melihat kedaulatan negara terancam daripada dasar baru yang diperkenalkan Dato’ Seri Najib Tun Razak ini. Jelas bahawa rakyat kini memerlukan satu reformasi ekonomi negara bukannya liberalisasi ekonomi yang hanya akan mengundang kepada penjajahan asing.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Ahad, 10 Mei 2009

AMK SELANGOR GESA ANAK MUDA BERSAMA-SAMA BUAT PERUBAHAN BESAR PADA PRU-13

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

UNTUK SIARAN SEGERA

10hb MEI 2009

AMK SELANGOR GESA ANAK MUDA BERSAMA-SAMA BUAT PERUBAHAN BESAR PADA PRU-13

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa anak-anak muda di seluruh negara untuk menjadi penentu perubahan siasah pada PRU-13 kelak. Suasana siasah masa hadapan di negara ini perlu diselamatkan daripada menjadi lebih teruk dan buruk.

Perkembangan situasi siasah di Perak terkini menyaksikan sikap dan perangai sebenar pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang terus menerus meragut demokrasi di negara ini. Justeru anak-anak muda yang akan menjadi pengundi pada PRU-13 kelak perlu menterjemahkan satu perubahan situasi politik di masa hadapan.

AMK Selangor mengajak anak-anak muda di negara ini untuk bersama-sama aktif dalam membawa masa hadapan negara yang lebih baik dan cemerlang. Oleh itu sumbangan tenaga dan fikrah anak muda akan menjadi pemangkin yang paling efektif untuk membawa perubahan total di negara ini.

AMK Selangor yakin keterlibatan aktif generasi anak muda di negara ini mampu membina Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat di pentas dunia. Anak-anak muda yang majoritinya mempunyai semangat perjuangan yang kental merupakan aset penting yang perlu disepadukan untuk perubahan arus politik di negara ini.

AMK Selangor juga menggesa anak-anak muda untuk bersama-sama dengan denyut nadi arus perubahan dunia yang semakin hebat. Perubahan siasah di seluruh dunia juga perlu dijadikan aspirasi dan inspirasi untuk memastikan negara kita juga seiring dengan arus perubahan global. Sudah tiba masanya anak-anak muda berperanan secara aktif di pentas glokal dan global dan tidak hanya menjadi pemerhati kepada proses perubahan besar ini.

AMK Selangor berkeyakinan generasi anak muda masa kini semakin celik dan bijak politik. Malahan mereka juga semakin terdedah dengan maklumat yang pantas dan tepat serta tidak bergantung kepada hanya maklumat yang bersifat sensasi dan mengelirukan. Kehadiran generasi anak muda berinformasi pasti mampu diterjemahkan dalam satu kerangka besar perubahan politik di negara ini.

Suasana politik di Perak telah banyak mengajar dan memberi erti kepada generasi muda erti demokrasi,keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Pencemaran demokrasi yang diaksikan oleh ADUN-ADUN UMNO/BN Perak semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang lepas hanya menyerlahkan lagi siapakah menjadi dalang kepada pencemaran demokrasi yang telah menggelapkan ruang lingkup sistem demokrasi di negara ini.

AMK Selangor akan terus memastikan agenda generasi muda membawa perubahan siasah di negara ini akan disambut dengan semangat perjuangan yang ikhlas,kental dan bersemangat. Kita juga yakin semakin ramai pejuang-pejuang muda yang akan terus menyumbangkan bakti,idea dan tenaga bagi menjayakan agenda besar arus perubahan di negara ini. 

AMK Selangor juga menggesa generasi muda mendaftar sebagai pengundi dengan dengan segera. Mulakan langkah besar ini dengan generasi muda menjadi pemilih yang bijak dan bermaklumat untuk membawa perubahan siasah di negara ini. Tekanan, ancaman dan ugutan yang semakin hebat dikenakan mutakhir ini hanya menjadi penguat dan iltizam kepada generasi muda untuk merealisasikan perubahan besar ini.

Akhirnya, PRU-13 adalah detik yang cukup penting untuk generasi muda. Ini dan saat ketikanya generasi muda menjadi gelombang besar baru dan mampu menjadi penyelamat kepada negara ini dengan membawa sistem siasah dan harapan baru untuk Malaysia yang lebih demokratik. 

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

MALAYSIA LEBIH AMAN DAMAI TANPA I.S.A DAN AKTA HASUTAN 1948

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT 

10hb MEI 2009 

MALAYSIA LEBIH AMAN DAMAI TANPA I.S.A DAN AKTA HASUTAN 1948

Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin Malaysia lebih aman damai dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Akta Hasutan 1948. Tindakan terbaru kerajaan dengan melepaskan tahanan ISA menjadi autoriti terkuat untuk membuktikan bahawa Malaysia akan lebih aman dan demokratik tanpa akta ISA ini.

AMK Selangor juga menyatakan harapan penutupan segera Kem Tahanan ISA di Kamunting akan dapat dilaksanakan segera. Semua tahanan yang masih ditahan juga digesa dibebaskan segera atau dibawa ke mahkamah untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama. Penutupan Kem Kamunting akan menaikkan nama dan imej negara di peringkat antarabangsa. Selagimana ianya tidak ditutup ia akan terus menerima kecaman keras dan negatif daripada masyarakat antarabangsa dan pertubuhan dunia.

AMK Selangor juga mendesak agar ruang lingkup dan perbincangan yang baik dan berhemah dapat berjalan di negara ini. Justeru Akta Hasutan 1948 tidak wajar menjadi alternatif kepada pihak tertentu mutakhir kini untuk terus menakut-nakutkan rakyat dan menekan pihak-pihak yang menuntut keadilan dan kebebasan.

Akta Hasutan 1948  merupakan suatu  akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.

AMK Selangor melihat kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakan Akta Hasutan 1948 ini untuk hanya bertujuan menutup suara-suara rakyat dan perbincangan yang baik untuk negara ini. Justeru AMK menggesa semua pihak membuat desakan kuat kepada pihak kerajaan agar akta yang sudah lagi tidak relevan masa kini dimansuhkan sahaja.

AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi segala isu-isu yang sensitif ini dapat dibincangkan dengan suasana kasih sayang, ilmiah dan berfikiran terbuka. Malahan dengan wujudnya suasana ini negara akan lebih aman sentosa. Penggunaan ISA dan Akta Hasutan 1948 hanya akan menjadikan suasana siasah dan perbincangan isu-isu sensitif semakin sukar diselesaikan dan dirungkaikan. Ianya juga akan menjadi ‘api dalam sekam’ dalam masyarakat Malaysia untuk membina suasana siasah negara ini yang lebih kepada sifat berkasih sayang dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.

AMK Selangor juga menggesa agar kita semua mempelajari kebangkitan tamadun-tamadun besar dunia masa silam dalam melaksanakan dan membawa  negara yang hebat. Kita perlu mempelajari suasana Tamadun Andalusia yang menangani dengan baik serta berhemah suasana perbezaan masyarakat pelbagai agama,bangsa dan ras pada ketika itu. Akhirnya tamadun Andalusia menjadi obor sinar kepada masyarakat di benua Eropah yang berada dalam suasana gelap-gelita pada ketika itu.

AMK Selangor menaruh keyakinan ini kerana masyarakat Malaysia yang mendapat didikan tinggi semakin meningkat dan jumlahnya amat besar. Revolusi maklumat dan informasi yang bergerak pantas juga menjadi pemangkin kesedaran ilmiah yang semakin tinggi di kalangan masyarakat di negara ini.

AMK Selangor berkeyakinan segala isu-isu sensitif yang timbul di negara ini mampu diselesaikan dalam semua peringkat. Kita perlu mewujudkan suasana perbincangan isu-isu sensitif ini dengan semangat kasih sayang,mesra dan berfikiran positif serta terbuka. Malaysia  sudah mengecapi nikmat kemerdekaan lebih 50 tahun,justeru dengan umur yang matang ini menuntut juga semua lapisan kepimpinan dan masyarakat menuju perubahan minda yang lebih dinamik dan sejajar dengan perubahan besar dunia.

Akhirnya, AMK Selangor menaruh harapan dan sinar baru untuk Malaysia yang lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan 1948 ini. Suasana perbincangan isu-isu sensitif yang tidak pernah selesai semenjak Malaysia merdeka akan menjadi lebih mudah dirungkaikan dan dimuktamadkan segera tanpa adanya lagi ISA dan Akta Hasutan 1948.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

 

 

Program Keadilan Terus Diganggu!

Saya kesal dengan tindakan rakus pihak keselamatan yang bertindak mengganggu perjalanan program Sambutan 10 Tahun Keadilan Bandar Tasik Puteri yang berlangsung sebentar tadi.

Permit telahpun diperolehi sebelumnya oleh pihak penganjur pada 5 Mei 2009, tetapi dibatalkan pada saat akhir tanpa sebarang alasan munasabah. Pun begitu maklumat sahih mengesahkan ada arahan ‘politik atasan’ di sebalik tindakan rakus pihak keselamatan ini.

Apa yang dikesalkan ialah manipulasi instrumen kerajaan termasuklah FRU dan Pihak Berkuasa Tempatan yang bertindak menggagalkan sambutan program ini semenjak jam 2 petang.

Alhamdulillah majlis diteruskan juga di Masjid Tasik Puteri, Rawang bermula dengan solat maghrib berjamaah diikuti solat hajat dan tazkirah. Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada ahli jawatankuasa masjid yang berani walaupun jelas tekanan serta gangguan dikenakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Saya dan pimpinan Keadilan lainnya membantah keras tindakan pihak berkuasa yang jelas bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat untuk berhimpun dan bersuara.

Jika pihak berkuasa berterusan dimanipulasi sebegini rupa hanya demi melampiaskan nawaitu politik Umno-BN, janganlah sesekali kita pelik dan hairan kenapa jenayah ragut terus berleluasa, jenayah culik gagal dibanteras. Keselamatan politik Umno-BN nampaknya lebih penting daripada keselamatan rakyat terbanyak!

ANWAR IBRAHIM

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

AMK Selangor semakin yakin dengan tekanan dan ugutan yang kian hebat dengan rasa rendah hatinya Pakatan Rakyat semakin hampir berada di Putrajaya. Kuatkan usaha,tingkatkan gerakan rakyat,perkasakan perjuangan,ikhlaskan matlamat. Kita kini berhadapan dengan Diktator Terakhir Najib Tun Razak. Justeru kita perlu lebih pintar dan bijaksana untuk mengatasi segala kemungkinan. KEMENANGAN ADALAH SEBUAH PERJALANAN PANJANG...

AMK SELANGOR

Khamis, 7 Mei 2009

‘1 Malaysia Gelita Demokrasi’


Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

Untuk Sebaran Segera 

07hb MEI 2009

‘1 Malaysia Gelita Demokrasi’ 

        Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengatasi Keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang oleh ADUN-ADUN UMNO Perak semasa Persidangan DUN Perak. Malahan tragedi demokrasi hitam ini hanya menyerlahkan sikap sebenar gaya kepimpinan Perdana Menteri,Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dr Zambry Abdul Kadir yang semakin rakus untuk meragut hak dan demokrasi rakyat di Perak.

        AMK Selangor menganggap tindakan mengemukakan usul untuk memecat Speaker yang sah sebelum Ucapan Perasmian Sessi Pembukaan Sidang DUN merupakan tindakan tidak hormat dan biadap kepada Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Tindakan ini jelas memperlihatkan ADUN-ADUN UMNO membelakangi pihak Istana yang selama ini sibuk mengecam pihak Pakatan Rakyat atas isu ini.

        AMK Selangor menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang mengarahkan segelintir kecil pasukan PDRM untuk membuat tangkapan rambang dan tindakan tidak professional sepanjang mengendalikan kemelut politik di Perak. Malahan AMK Selangor juga mempertikaikan kehadiran segerombolan besar ‘lelaki-lelaki misteri’ yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri Perak apabila mengheret Speaker DUN yang sah YB Sivakumar dengan ganas daripada tempat duduk kerusinya.

 

        AMK Selangor juga menyatakan tindakan Dr Zambry Kadir dan ADUN-ADUN UMNO ini membawa imej yang negatif dan buruk kepada politik Malaysia di peringkat antarabangsa. Malahan tindakan beliau cuba melantik Speaker yang baru semasa Speaker yang sah masih duduk dikerusinya dan juga sebelum Sidang DUN dirasmikan oleh Raja Muda Nazrin Shah seolah-olah mempermainkan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Tindakan ini adalah tidak bertamadun dan belum pernah terjadi dalam sejarah negara ini semenjak merdeka.

        AMK Selangor  mengharapkan agar DUN Perak ini dibubarkan segera untuk memberi peluang hanya satu-satunya jalan untuk menyelesaikan kemelut politik ini daripada terus berpanjangan sehingga satu tempoh yang cukup panjang. Sehingga kini situasi politiknya seperti ‘Satu Malaysia Dua Perak’.

        AMK Selangor yakin kini rakyat ‘Satu Malaysia’ dapat membuka minda dengan tragedi hitam demokrasi di Perak. Malahan AMK Selangor dengan rasa rendah hatinya semakin kuat keyakinan bahawa Pakatan Rakyat kini semakin hampir di Putrajaya.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

        

Selasa, 5 Mei 2009

Pendekatan Khas Pembangunan Sosio-ekonomi Untuk Masyarakat India Di Selangor

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

05hb Mei 2009 

Pendekatan Khas Pembangunan Sosio-ekonomi Untuk Masyarakat India Di Selangor 

        Angkatan Muda Keadilan Selangor mencadangkan agar pihak Kerajaan Negeri Selangor menyediakan pelan perancangan khas untuk pemberian tanah kepada masyarakat India di negeri ini. Pemberian tanah ini adalah untuk tujuan kediaman dan aktiviti ekonomi.

        AMK Selangor merasakan masyarakat India memerlukan satu pendekatan perancangan khas untuk memperbaiki sosio ekonomi dan kehidupan yang lebih selesa. Ini adalah untuk memastikan semua kaum bersama-sama menikmati pembangunan pesat di negeri Selangor.

AMK Selangor menegaskan bahawa Pakatan Rakyat memperjuangkan hak memiliki tanah untuk semua rakyat  merentas sempadan kaum,agama dan anutan politik. Yang didahulukan adalah golongan-golongan yang kurang berkemampuan dan kelas menengah bawah yang rata-rata tidak mempunyai apa-apa selain hutang sekeliling pinggang.

        Dalam pada itu , AMK Selangor juga sedia maklum tanah di Selangor semakin terhad kini. Namun AMK Selangor di sini memberikan beberapa cadangan dan pendekatan alternatif yang dilihat mampu memperbaiki sosio ekonomi masyarakat India di negeri ini.

        Pertama, penambahbaikan dan tambah nilai pendidikan masyarakat India. Melalui pendidikan masyarakat India mampu memperbaiki kehidupan mereka. Dalam hal ini pendidikan berbentuk vokasional,teknik dan kemahiran merupakan pendekatan yang boleh menambah nilai pendidikan masyarakat India. Malahan masyarakat India yang berada di ladang-ladang perlu didedahkan kepada kemahiran-kemahiran lain untuk tidak terlalu bergantung kepada hanya satu jenis pekerjaan sahaja.

        Kedua, pengumpulan maklumat dan data masyarakat India yang sistematik dan terkini. Melalui satu sistem maklumat yang terkini, adalah diharap satu perancangan khas dapat dirangka dengan mengenalpasti cabaran sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India. Ianya juga dapat membina satu jaringan maklumat lengkap yang dapat dicapai oleh agensi-agensi bertanggungjawab untuk melaksanakan suatu tindakan khas.

        Ketiga, program pengukuhan dan pemantapan jati diri masyarakat India. Melalui program ini ianya diharap dapat membawa pendekatan baru untuk masyarakat India di negeri ini untuk memberikan sumbangan dalam pembangunan Selangor. Keterlibatan masyarakat India dalam memberikan idea dan tenaga amat diperlukan untuk mereka juga bersama-sama dalam arus perubahan di negeri ini.

        Keempat, perlaksanaan program mentor dan mentee. Bagi individu dalam masyarakat India yang telah berjaya mereka perlu membantu masyarakat India yang lain untuk juga bersama-sama berjaya. Dalam hal ini exco Kerajaan Negeri Selangor yang memegang portfolio ini boleh menjalankan peranan dan gerak kerja bagi menjayakan program ini.

        AMK Selangor merasakan semangat Pakatan Rakyat yang membela nasib semua bangsa bertepatan dengan konsep yang dilaungkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu ‘ Empat Lautan Terbentang Luas, Semua Manusia Adalah Bersaudara’. Malahan kerajaan Pakatan Rakyat juga komited untuk membela nasib semua bangsa yang berteraskan Ketuanan Rakyat.

        Konsep yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat ini juga jauh lebih ikhlas dan jelas berbanding konsep ‘One Malaysia’ yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sehingga kini rakyat Malaysia masih keliru dan tidak yakin dengan pendekatan konsep baru tersebut.

        Akhirnya, AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi agar pihak Kerajaan Negeri Selangor menilai cadangan-cadangan ini dan dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk kemakmuran Selangor semuanya.

Jafrien Muhammad

Naib Ketua AMK Selangor

012 299 20 50

AMK Selangor Membantah Peraturan Baru SPR


Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

Untuk Sebaran Segera

05hb Mei 2009

AMK Selangor Membantah Peraturan Baru SPR

        Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah peraturan baru oleh  Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) berkenaan parti politik bertanding supaya tidak membawa penyokong mengiringi calon bertanding pada hari penamaan calon melebihi 5,000 orang dan berkenaan mendirikan pondok panas pada hari pilihanraya.

        AMK Selangor menegaskan peraturan baru tersebut tidak praktikal langsung untuk dilaksanakan. Mengenai had hanya 5,000 orang yang boleh mengiringi calon. AMK Selangor ingin penjelasan SPR apakah mekanisma dalam menentukan jumlah tersebut dapat dilaksanakan. Jelas terbukti ianya langsung tidak dapat dilaksanakan.

        AMK Selangor  merasakan rakyat perlu diberi kebebasan untuk bersama-sama menyertai proses demokrasi dan menyuburkan erti semangat pilihanraya yang sebenar.Rakyat perlu diberi hak menjayakan konsep pilihanraya bukannya dengan mengenakan sebarang peraturan yang kurang professional dan kontroversi.

        AMK Selangor juga sekali lagi mendesak agar penggunaan dakwat pada jari dapat dilaksanakan secepat mungkin dan tanpa alasan. Penjelasan perlu dikemukakan apakah sebabnya sehingga kini perlaksanaanya tertangguh hanya beberapa hari sebelum PRU-12 lepas.

        AMK Selangor menegaskan SPR perlu lebih professional,bebas dan melaksanakan pembaharuan yang sejajar dengan prinsip menyuburkan semangat dan erti demokrasi yang sebenarnya di negara ini. SPR juga perlu lebih proaktif dengan mengadakan sessi dialog dan forum bersama parti-parti di negara ini sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru yang akhirnya mengundang sensasi dan kontroversi.

        AMK Selangor yakin kewibawaan SPR akan terus diyakini rakyat Malaysia  dan dunia antarabangsa jika tindakannya selepas ini menunjukkan sikap yang lebih berwibawa,professional dan membawa pembaharuan yang positif kepada sistem demokrasi di negara ini.

        Akhirnya, AMK Selangor bertegas sudah tiba masanya SPR  bersama-sama dengan denyut nadi arus perubahan dan menunjukkan kewibawaannya bertaraf antarabangsa sebelum tiba badan ini hanya dilihat sebagai agensi pelaksana pilihanraya yang bertindak atas kepentingan pihak tertentu sahaja.

 

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Sabtu, 2 Mei 2009

03 MEI : HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA


Kenyataan Akhbar

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

02hb Mei 2009

Sempena 03hb Mei – Hari Kebebasan Akhbar Sedunia

        Angkatan Muda Keadilan Selangor sempena 3hb Mei 2009 ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada semua lapisan warga kerja dalam industri yang penting ini di negara ini.

        AMK Selangor juga mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak wartawan, media massa , pengamal media kerana memberi ruang dan liputan kepada pihak AMK Selangor selama ini.

        Dalam pada itu, AMK Selangor menggesa pihak kerajaan supaya kedudukan indeks kebebasan akhbar Malaysia dapat diperbaiki kerana menurut World Press Freedom Index 2008 yang dikeluarkan, Malaysia berada di kedudukan ke-132. Perkembangan pertukaran kuasa kepada Perdana Menteri Baru,Dato Seri Mohd Najib Tun Razak amat membimbangkan kerana indeks yang dikeluarkan akan kembali jatuh merudum jika gaya dan pendekatan kepada prinsip kebebasan akhbar di negara ini terus bersikap menekan, mengancam dan mengugut.

        AMK Selangor juga menggesa kepada akhbar-akhbar di negara ini terus memainkan peranan penting dalam membina budaya intelektual yang tinggi dan professional. Malahan AMK Selangor merasakan sudah tiba masanya akhbar-akhbar arus perdana di negara ini membuat anjakan paradigma dalam laporannya yang lebih tepat,telus dan professional.

        AMK Selangor mendesak agar akta-akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan pelbagai akta-akta lain yang sudah tidak lagi relevan pada masa kini dimansuhkan. Malahan kerajaan perlu bersifat terbuka dengan tidak menggunakan akta-akta yang lapuk ini untuk terus-menerus menggertak dan menakut-nakutkan akhbar untuk membuat laporan yang telus dan berani.

        AMK Selangor berharap selepas ini tiada lagi rampasan akhbar-akhbar, ancaman penarikan permit penerbitan, penggunaan ISA kepada para wartawan dan juga laporan sebelah pihak akhbar-akhbar arus perdana yang selama ini cuba menimbulkan sentimen panas perkauman dan sempit. Malahan peranan akhbar di negara ini amat penting untuk membina daya intelektual rakyat yang tinggi dan membawa perubahan arus informasi.

        Akhirnya,sempena 3hb Mei ini AMK Selangor berharap konsep kebebasan akhbar di negara ini membawa satu harapan baru untuk membawa perubahan minda rakyat Malaysia ke arah menghayati rakyat bertamadun tinggi di peringkat global.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

017-6543974 / email :ezli007@hotmail.com

                     

Kenyataan Akhbar AMK Selangor Yang Dikeluarkan di Sinar Harian :02 Mei 2009 ( Sabtu)

Jumaat, 1 Mei 2009

UCAPAN SELAMAT HARI PEKERJA DARI KERAJAAN NEGERI SELANGOR



Sempena hari Pekerja, kerajaan negeri Selangor mengucapkan syabas dan Selamat Hari Pekerja kepada semua golongan pekerja khususnya di negeri Selangor kerana sumbangan mereka dalam pembinaan negeri selama ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan dasar baharu bagi menambah baik syarat dan faedah dalam perkhidmatan pekerja bagi memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menaikkan garis kemiskinan daripada RM800 kepada RM1500 bagi setiap keluarga bagi tujuan memastikan golongan pekerja berpendapatan rendah dapat menikmati pelbagai program kebajikan dan bantuan.

Kerajaan negeri juga telah menambah kelayakan cuti bersalin daripada 60 hari pada 90 hari manakala suami yang isterinya bersalin dapat menikmati cuti sebanyak 14 hari.

"Bagi isteri yang kematian suami dapat menikmati cuti kecemasan sehingga 30 hari dan bergaji penuh berbanding kelayakan cuti tiga hari sebelum ini," katanya.

Beliau berharap rakan-rakan majikan dalam sektor swasta bersedia memberi pertimbangan dalam hal mengubah dasar sebagaimana yang kerajaan amalkan dimana dasar kerajaan negeri sekarang selari dengan amalan di negara maju.

Menurut beliau ekoran negara dilanda kemelesetan ekonomi mungkin akan memberi kesan kepada pasaran pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, negeri Selangor mampu mengharungi keadaan ekonomi ini lantaran asas ekonomi negeri Selangor masih kuat dan pentadbiran Pakatan Rakyat cepat memberikan tindak balas terhadap pelbagai cabaran menerusi Jawatankuasa Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja.

Menurut beliau, selagi dunia menghadapi kemelesetan ekonomi kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha membina kumpulan tenaga pekerja yang berdaya saing.

"Kita mesti sama-sama bekerja untuk memperkukuhkan kekuatan ekonomi negeri kita, dalam masa yang sama meningkatkan kemahiran tenaga pekerja, daya pengeluaran dan menyeimbangi ketahanan dalaman," tegasnya.

Beliau berkata, usaha seumpama itu penting dilakukan supaya negeri Selangor bukan sahaja dapat bertahan dalam keadaan kegawatan ekonomi tetapi terus kukuh semasa peningkatan ekonomi global kelak./SH _