Khamis, 7 Mei 2009

‘1 Malaysia Gelita Demokrasi’


Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

Untuk Sebaran Segera 

07hb MEI 2009

‘1 Malaysia Gelita Demokrasi’ 

        Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengatasi Keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang oleh ADUN-ADUN UMNO Perak semasa Persidangan DUN Perak. Malahan tragedi demokrasi hitam ini hanya menyerlahkan sikap sebenar gaya kepimpinan Perdana Menteri,Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dr Zambry Abdul Kadir yang semakin rakus untuk meragut hak dan demokrasi rakyat di Perak.

        AMK Selangor menganggap tindakan mengemukakan usul untuk memecat Speaker yang sah sebelum Ucapan Perasmian Sessi Pembukaan Sidang DUN merupakan tindakan tidak hormat dan biadap kepada Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Tindakan ini jelas memperlihatkan ADUN-ADUN UMNO membelakangi pihak Istana yang selama ini sibuk mengecam pihak Pakatan Rakyat atas isu ini.

        AMK Selangor menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang mengarahkan segelintir kecil pasukan PDRM untuk membuat tangkapan rambang dan tindakan tidak professional sepanjang mengendalikan kemelut politik di Perak. Malahan AMK Selangor juga mempertikaikan kehadiran segerombolan besar ‘lelaki-lelaki misteri’ yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri Perak apabila mengheret Speaker DUN yang sah YB Sivakumar dengan ganas daripada tempat duduk kerusinya.

 

        AMK Selangor juga menyatakan tindakan Dr Zambry Kadir dan ADUN-ADUN UMNO ini membawa imej yang negatif dan buruk kepada politik Malaysia di peringkat antarabangsa. Malahan tindakan beliau cuba melantik Speaker yang baru semasa Speaker yang sah masih duduk dikerusinya dan juga sebelum Sidang DUN dirasmikan oleh Raja Muda Nazrin Shah seolah-olah mempermainkan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Tindakan ini adalah tidak bertamadun dan belum pernah terjadi dalam sejarah negara ini semenjak merdeka.

        AMK Selangor  mengharapkan agar DUN Perak ini dibubarkan segera untuk memberi peluang hanya satu-satunya jalan untuk menyelesaikan kemelut politik ini daripada terus berpanjangan sehingga satu tempoh yang cukup panjang. Sehingga kini situasi politiknya seperti ‘Satu Malaysia Dua Perak’.

        AMK Selangor yakin kini rakyat ‘Satu Malaysia’ dapat membuka minda dengan tragedi hitam demokrasi di Perak. Malahan AMK Selangor dengan rasa rendah hatinya semakin kuat keyakinan bahawa Pakatan Rakyat kini semakin hampir di Putrajaya.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor