Selasa, 12 Mei 2009

`MAHKAMAH RAKYAT’ PENENTU KERAJAAN SAH DI PERAK

Oleh : Mohd Ezli Mashut

LL.B (Hons) UIAM

Email : ezli007@hotmail.com / Blog : www.ezli007.blogspot.com

            Berita terbaru yang diperolehi jam 1.30 tengahari daripada beberapa laman sesawang berita mengenai arahan Mahkamah Rayuan yang memberikan kebenaran untuk Dr Zambry Abdul Kadir menjalankan tugas Menteri Besar Perak pastinya mengundang sekali lagi berita sensasi dan kontroversi.

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 membuat keputusan bahawa Dato’ Seri Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah disisi undang-undang dan perlembagaan. Kini sekali lagi bangunan SUK Perak dalam tempoh tidak kurang 24 jam kembali menjadi perhatian umum. Pasukan FRU untuk kali ke berapa ditugaskan berkawal di sekitar kawasan yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri Perak ini.

            Umumnya pasti tidak menjangkakan begitu pantas sekali Mahkamah Rayuan bersedia mendengar permohonan dan juga mengeluarkan arahan atau stay of execution. Ianya juga mengundang pelbagai persepsi negatif rakyat terhadap badan kehakiman dan mahkamah di mana pendengaran kes ini dijalankan dengan begitu cepat sekali. Seolah-olah bagaikan mengikut skrip yang telah dirancang oleh konspirator dalang rampasan kuasa di Perak ini.

            Di atas sebab ini mengapa saya secara peribadi tidak terlalu teruja dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Ianya pasti babak kemelut politik di Perak ini akan mengambil masa yang panjang untuk kembali stabil.

            Justeru, `Mahkamah Rakyat’ yang berhak menentukan pihak mana yang sewajarnya membuat penghakiman dalam kes menentukan kerajaan yang sah memerintah Perak dalam Kes : Pakatan Rakyat Lawan Barisan Nasional (2009). Dijangkakan selepas Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya. Kes ini akan didengar pula ke Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi dalam hierarki mahkamah di Malaysia. Di Mahkamah Persekutuan inilah segala penghakiman akan mengatasi segala keputusan hakim-hakim yang sudah dibuat oleh mahkamah yang terdahulu.

            Proses ini akan memakan masa dan kos yang panjang dan tinggi juga. Jika kes ini dibawa ke `Mahkamah Rakyat’ , kes ini akan dihakimi oleh 1 juta hakim  pengundi sah yang berhak menentukan siapa yang mendapat pilihan majoriti untuk menjadi kerajaan  di Perak. Oleh itu, pembubaran DUN adalah satu-satunya pilihan yang terbaik untuk melaksanakan keadilan kepada yang sepatutnya menjadi kerajaan selepas rampasan kuasa  oleh pihak UMNO/BN.

            Rakyat berhak menjadi ‘Hakim Negara’ dalam pertikaian legitamasi kerajaan di Perak ini. Hanya dengan mengembalikan ke pilihan rakyat sahaja dapat memberikan keputusan yang dilihat lebih adil dan saksama. Ini disebabkan rakyat itu adalah kerajaan dan kerajaan itu sendiri adalah rakyat.

            Kini timbul persoalan apakah arahan Mahkamah Rayuan itu boleh dilaksanakan atau dicabar dengan sebarang tindakan undang-undang lain seperti injuksi ? Timbul juga persoalan lain mengenai arahan Mahkamah Rayuan ini yang mengiktiraf Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak sedangkan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin adalah MB Perak yang sah terdahulu sebelum rampasan kuasa berlaku. Justeru sepatutnya memandangkan perbicaraan masih berjalan di Mahkamah Rayuan maka arahan yang tepat adalah mengiktiraf Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah.

            Oleh itu isu kini ialah apakah arahan Mahkamah Rayuan itu boleh dikuatkuasakan sekarang memandangkan penghakiman sudah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Timbul pula persoalan apakah arahan Mahkamah Rayuan boleh mengatasi Keputusan Mahkamah Tinggi sedangkan perbicaraan belum lagi bermula di Mahkamah Rayuan ?.

            Apa dia stay of execution ?. Merujuk Wikipedia ia bermaksud :

A stay of execution is a court order to temporarily suspend the execution of a court judgment or other court order. The word "execution" does not mean the death penalty in this context; it refers to the imposition of whatever judgment is being stayed.

A stay can be granted automatically by law or can be conventional, when the parties in a civil or criminal case agree that no execution shall occur for a certain period.[1] If a party appeals a decision, any judgment issued by the original court may be stayed until the appeal is resolved.

            Justeru kini penangguhan perlaksanaan penghakiman yang diperolehi Zambry hanya membuktikan beliau sebenarnya pada persepsi rakyat bukan lagi sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Ianya kelihatan sebegitu rupa kerana propaganda media arus lapuk seperti televisyen dan surat khabar milik pemerintah berusaha keras memutar belitkan situasi dan keadaan.

            Penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi merupakan petanda bahawa rakyat dapat mengetahui kini siapa sebenarnya MB Perak yang sah. Kini di media Zambry Kadir bukan menjawat MB Perak tetapi sudah bertukar kepada MB BN pula.

            Mengikut kenyataan SUHAKAM yang dikeluarkan pengerusinya berpendapat :

“Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.

            Jelas kini, hak rakyat Perak untuk menjadi ‘Hakim’ dalam kemelut ini merupakan satu keperluan dalam menyantuni Hak Asasi Manusia. Justeru hanya dengan membawa kes ini ke ‘Mahkamah Rakyat’ merupakan jalan terbaik untuk merungkaikan kemelut politik Perak yang kini umpama cerita kartun.


Mohd Ezli Mashut

www.ezli007.blogspot.com