Jumaat, 30 Oktober 2009

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

30hb Oktober 2009

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar ADUN Pelabuhan Klang,YB Badrul Hisham Abdullah untuk meletakkan jawatannya sebagai ADUN dengan kadar segera. Ini adalah untuk membolehkan seorang wakil rakyat baru dipilih setelah beliau gagal melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat dengan baik.

AMK Selangor amat menghargai ketegasan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam isu YB Badrul Hisham di mana ADUN Pelabuhan Klang ini telah gagal menjalankan amanah rakyat yang diberi dan pelbagai masalah dan kerenah yang ditimbulkannya. Tindakan dan ketegasan Menteri Besar Selangor ini jelas mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah amat penting dan terutama daripada kepentingan politik semata-mata.

AMK Selangor membuat desakan kuat ini agar ADUN Pelabuhan Klang yang menang dalam Pilihanraya Umum ke-12 menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat apabila mengistiharkan dirinya keluar daripada PKR perlu melepaskan jawatan ADUN tersebut segera. Tindakan beliau tidak melepaskan jawatan ADUN tersebut dan menyokong pembangkang Barisan Nasionaldi Selangor seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai harga dan maruah yang tinggi lagi.

AMK Selangor merasakan tindakan beliau semasa mengistiharkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas dengan menyerang kepimpinan tinggi PKR dan kerajaan Selangor, jelas membuktikan agenda perancangan busuk dan keji pihak tertentu untuk menjejaskan keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan tindakan beliau seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang sebelum ini memenangi jawatan ADUN Pelabuhan Klang menggunakan platform Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat keseluruhannya dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang sendiri sudah mengetahui segala-galanya berkenaan kegagalan total YB Badrul Hisham dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat sejak sekian lama. Malahan kepimpinan parti dan juga negeri sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat agar melaksanakan tugas dengan baik namun beliau sehingga kini gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharap-harapkan.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang mendatangkan terlalu banyak bermasalah,karenah dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pengundi dalam melaksanakan tugas dan amanah perlu dihumban jauh-jauh daripada menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Dengan keluarnya YB Badrul Hisham daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan dan mutu kerja yang cemerlang,bertanggungjawab dan bersih. Tindakan beliau keluar dan menyokong UMNO/BN membuktikan dan menjelaskan lagi itulah wadah politik yang amat sesuai dengan imej kini UMNO/BN yang penuh dan terpalit dengan pelbagai skandal,penyelewengan,rasuah dan jenayah politik.

AMK Selangor yakin bahawa imej positif Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat mendadak pada pandangan rakyat yang berharap pemimpin yang menerajui Selangor adalah kalangan yang bersih,bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh berhemah dan komitmen. Isu ini juga sebenarnya memberikan gambaran bahawa menjelang PRU-13 ini,Pakatan Rakyat akan diwakili oleh pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mempunyai rasa amanah dan integriti yang amat tinggi kepada rakyat untuk memimpin arus perubahan besar negara kelak.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang berhak memimpin perubahan perlu mempunyai jatidiri,integriti dan komitmen yang kuat untuk memimpin rakyat dan perubahan. Pemimpin yang lemah,rasuah,mempunyai pelbagai masalah serta kerenah, tidak mempunyai jatidiri dan perjuangan yang kuat sepatutnya tidak layak untuk bersama-sama dengan arus perjuangan rakyat semuanya.

AMK Selangor melihat pelbagai ‘kemelut politik kecil’ yang disensasikan oleh media yang melanda khususnya Parti Keadilan Rakyat akan mematangkan lagi proses pengalaman politik PKR yang baru berusia 10 tahun. Sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan langsung dalam PRU-12 tetapi membuat kejutan dan tsunami politik besar bersama-sama rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP atas semangat dan kesedaran memuncak rakyat.

AMK Selangor berharap agar rakyat terus memberikan keyakinan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan membawa perubahan. Kejayaan parti baru seperti Democratic Parti of Japan (DPJ) yang menumbangkan seteru kuat politik daripada Liberal Democratic Parti (LDP) yang memerintah selama 50 tahun di Jepun membakar semangat dan iltizam baru seluruh rakyat dan pendukung Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU-13 ini.

AMK Selangor menaruh harapan yang amat tinggi bahawa semangat dan dokongan rakyat di Selangor akan terus meningkat kerana terbukti kini bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan individu pemimpin yang mampu menjalankan tugas, amanah, mempunyai integriti dan jatidiri unggul untuk memimpin arus perubahan dan kepimpinan negeri.

Ini jelas berbeza dengan dasar pemilihan kepimpinan UMNO/BN yang akan terus mendambakan pemimpin yang rasuah, menyeleweng kuasa dan penuh dengan pelbagai skandal keji dan jijik. Memang layak YB Badrul Hisham untuk menghuni parti seperti ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk karam dan pupus daripada kamus politik negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi pendirian tegas mencabar YB Badrul Hisham jika masih mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi untuk segera melepaskan jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan bertanding semula atas tiket sendiri dalam pilihanraya kecil yang diadakan kelak.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Selasa, 20 Oktober 2009

AMK Selangor Cadang Kerajaan Negeri Terus Komited Laksanakan Dasar Meningkatkan Kualiti Hidup Orang Melayu Termiskin dan Miskin

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

20hb Oktober 2009

AMK Selangor Cadang Kerajaan Negeri Terus Komited Laksanakan Dasar Meningkatkan Kualiti Hidup Orang Melayu Termiskin dan Miskin

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyarankan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuhkan polisi meningkatkan kualiti hidup khususnya bangsa Melayu yang kadar dan statistik termiskin dan miskin masih tinggi. Kerajaan negeri disaran memperhebatkan perancangan dan gerak kerja untuk menaik taraf kualiti hidup rakyat keseluruhannya agar pembangunan pesat ekonomi Selangor mampu dirasai bersama-sama.

AMK Selangor berharap agar kerajaan negeri menyediakan pelan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi cabaran kemiskinan luar bandar dan kota. Kegawatan ekonomi global dan negara yang masih belum pulih sepenuhnya merupakan satu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh kebanyakan rakyat. Kesan tersebut amat dirasai oleh kebanyakan rakyat yang berpendapatan di bawah kadar garis kemiskinan.

Peningkatan kos sara hidup dan makanan asas yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini menyebabkan golongan rakyat termiskin terasa terhimpit. Ini belum lagi mengira soal penjagaan kesihatan dan pendidikan di mana kosnya juga semakin meningkat. Melihat realiti semakin mencabar ini maka AMK Selangor membuat cadangan kepada kerajaan negeri agar agenda pembasmian kemiskinan atau peningkatan kualiti hidup ini dijadikan agenda dan polisi kerajaan negeri yang perlu ditangani secara segera dan sistematik.

AMK Selangor mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri memastikan golongan rakyat termiskin dan miskin berupaya keluar daripada kesempitan hidup.

Pertama : Menjadikan Program Meningkatkan Kualiti Hidup Golongan Miskin Sebagai Polisi Utama Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan negeri perlu menggerakkan dan melaksanakan pelan jangka pendek dan panjang yang menyediakan perancangan tersusun dan sistematik untuk golongan miskin mampu berdikari sendiri dan akhirnya dapat membantu golongan miskin yang lain. Mereka perlu diberi pendedahan dan bimbingan untuk menyediakan minda mereka percaya bahawa kemiskinan mampu diatasi dengan berkat usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh.

Kerajaan negeri perlu meletakkan sasaran berapakah jumlah golongan miskin yang perlu dikeluarkan daripada status termiskin dan miskin. Malahan yang terpenting ialah bagaimana kerajaan negeri melaksanakan program untuk membasmi kemiskinan jiwa dan minda yang menjadi penghalang utama kepada pembasmian kemiskinan fizikal. Program khas perubahan dan anjakan minda amat perlu bagi memastikan golongan termiskin dan miskin dapat melihat potensi besar dapat dibangunkan.

Kedua : Memperkukuh Peranan Lembaga Zakat Selangor Untuk Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat Termiskin dan Miskin.

Konsep pemberian bantuan zakat kepada golongan termiskin dan miskin memerlukan perubahan daripada hanya menerima kepada menjadi penyumbang. Bantuan yang diberi perlu kepada tempoh tertentu di mana pada suatu masa nanti penerima bantuan zakat diasuh disedarkan untuk berupaya menjadi penyumbang zakat pula. Lembaga Zakat perlu memperbanyakkan program-program untuk mengkayakan golongan miskin khususnya pembentukan peribadi unggul dan cemerlang serta program-program usahawan.

Golongan miskin yang mempunyai kekuatan kudrat dan mental perlu diberi tunjuk ajar dan motivasi dan inspirasi agar mereka tidak selama-lamanya berada ditakuk lama. Adalah perlu mereka menjalani proses transformasi diri daripada sudut dalaman dan luaran agar mereka mampu mempunyai peluang untuk menaikkan taraf sosioekonomi mereka dan keluarga.

AMK Selangor juga mencadangkan Lembaga Zakat Selangor dan Baitulmal agar pendekatan yang dipraktikkan semasa pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dikaji dan dilaksanakan. Konsep kejayaan baginda dalam membawa kemakmuran negara pada ketika itu adalah inspirasi untuk LZS dan BaitulMal menerapkan konsep tersebut di negeri Selangor.

Ketiga : Program Khas Meningkatkan Kualiti Hidup Golongan Miskin Lingkungan Umur 35 Tahun Ke Bawah Semua Bangsa.

AMK Selangor mencadangkan agar satu program terancang dilaksanakan untuk golongan yang berada dalam kategori paras kemiskininan di bawah umur 35 tahun dirangka dan dilaksanakan. Kerajaan negeri perlu memastikan bahawa apabila golongan dalam kategori miskin telah berumur 35 tahun dapat keluar dalam kelompok miskin atau lebih awal lagi.

Peringkat umur bawah 35 tahun ini memerlukan pendekatan yang berbeza untuk memastikan golongan ini mempunyai kebebasan kewangan atau financial freedom. Justeru slot pendedahan aspek pengurusan kewangan dan aset yang betul dan sistematik mampu membuka potensi golongan ini untuk keluar daripada status pendapatan di bawah paras kemiskinan. Mereka yang telah berjaya dalam program ini perlu membayar kembali dengan cara mereka membantu golongan lain yang masih belum berjaya. Melalui konsep ini maka secara tidak langsung peratusan kemiskinan mampu dikurangkan dari masa ke semasa.

Keempat : Perlaksanaan Dasar Gaji Minimum Pekerja

AMK Selangor juga mencadangkan agar perlaksanaan dasar gaji minimum untuk pekerja kerajaan dan swasta dapat dilaksanakan. Melalui dasar ini kita berharap golongan yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan mampu berhadapan dengan kenaikan sara hidup dan perbelanjaan keluarga. Malahan polisi ini juga diharap dapat diterangkan dengan baik kepada pelabur-pelabur asing yang ingin melabur di Selangor agar mereka mempunyai tanggungjawab sosial dalam membantu menaikkan taraf kualiti ekonomi rakyat.

AMK Selangor berharap kepada kerajaan negeri Selangor terus menjadikan keutamaan dasar meningkatkan kualiti hidup sebagai perubahan baru di bawah kerajaan Pakatan Rakyat yang serius membantu golongan di bawah paras kemiskinan semua bangsa dan agama.

Semoga cadangan dan saranan yang dikemukan dapat diperhalusi dan teliti dengan serius oleh kerajaan negeri Selangor. AMK Selangor berharap agar Selangor menjadi negeri idaman dan madani yang memberikan keselesaan hidup kepada rakyat semua bangsa dan agama.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Naib Ketua AMK Malaysia

merangkap Ketua AMK Selangor

Isnin, 12 Oktober 2009

AMK Selangor Anggap ‘Kemenangan’ UMNO/BN di DUN Bagan Pinang Hanya Menyukarkan Agenda Membanteras Rasuah

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Selangor

12hb Oktober 2009

AMK Selangor Anggap ‘Kemenangan’ UMNO/BN di DUN Bagan Pinang Hanya Menyukarkan Agenda Membanteras Rasuah

AMK Selangor merasakan keputusan pengundi di Dun Bagan Pinang dengan memilih calon yang telah dibuktikan terlibat dengan rasuah politik hanya akan menyukarkan agenda memerangi rasuah secara konsisten. Namun, AMK Selangor amat ‘menghargai’ dan ‘menerima’ segala keputusan pengundi di Bagan Pinang yang telah membuat ‘pilihan’ mereka sendiri atas prinsip semangat demokrasi dengan sikap terbuka.

AMK Selangor melihat proses perjalanan semasa pilihanraya kecil ini amat mengecewakan. Kejadian pergaduhan,provokasi keterlaluan dan keganasan sewajarnya tidak berlaku. AMK Selangor juga menggesa agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) selepas ini mengambil pendekatan yang lebih professional dan menjadi benteng kepada semangat demokrasi sebenar.

AMK Selangor juga terus mempertikaikan proses undi pos yang sewajarnya diganti dengan sistem yang lebih relevan dan tidak mudah terdedah kepada sebarang unsur manipulasi pihak-pihak tertentu. Pelbagai pihak berterusan mempertikaikan sistem undi pos yang tidak dipercayai ketelusannya dan kebebasan para pengundi pos membuat pilihan.

AMK Selangor juga mendesak agar SPR selepas ini membuat perubahan besar kepada daftar nama para pengundi pos dengan hanya menerima daftar undi pos kepada yang layak dan sesuai sahaja. Kita berharap agar daftar undi pos diteliti dan disemak dengan mengeluarkan senarai nama para pengundi pos yang sudah tidak layak dengan segera sebelum PRU-13. Malahan adalah perlu reformasi sistem undi pos tersebut dilaksanakan dengan segera oleh SPR sebagai badan yang mengendalikan perjalanan pilihanraya yang perlu professional dan tidak perlu menunggu arahan pihak parti pemerintah semasa.

‘Kemenangan’ Tan Sri Isa Samad sebenarnya hanya akan membenarkan ramalan Tun Mahathir Mohammad yang menyatakan sebelum ini ‘kemenangan’ Isa Samad hanya akan menyebabkan Barisan Nasional tumbang dalam PRU-13 kelak. Malahan selepas ini dijangka akan berlaku kejutan besar politik kerajaan Negeri Sembilan yang mempunyai dua individu karektor selaku Menteri Besar dan bekas Menteri Besar dalam satu pentadbiran negeri. Pertembungan sengit ini pasti sukar diduga dan akan menyebabkan nasib malang terus menimpa sepertimana krisis dalaman yang teruk dalam kepimpinan tertinggi MCA dan MIC.

AMK Selangor berharap rakyat kini dapat membuka mata dan hati untuk menilai kredibiliti parti UMNO dan komponennya yang terus tenggelam dengan budaya rasuah politik,skandal moral dan penyelewengan. Jelas kini UMNO dan kompenannya seperti MIC, PPP , Gerakan dan MCA terus bergelut untuk mencari individu pemimpin yang bersih dan amanah untuk memerangi rasuah dan agenda perubahan. Apakah harapan boleh diletakkan kepada pemimpin yang terbukti dan terpalit dengan rasuah dan skandal moral untuk membawa perubahan besar dan memerangi rasuah sehingga ke akar umbi?.

Indeks Rasuah Malaysia yang terus jatuh merudum saban tahun menyebabkan pandangan dunia dan pelabur asing semakin negatif. Ianya menyebabkan pelabur asing semakin ragu-ragu untuk melabur di negara ini. AMK Selangor amat komited dan konsisten untuk memastikan agenda memerangi rasuah ini terus dipikul oleh semua pihak di negara ini tanpa mengira perbezaan pegangan politik. Justeru itu, AMK Selangor menggesa agar rakyat menilai sejarah kejatuhan tamadun-tamadun besar dunia dahulu yang disebabkan oleh jenayah rasuah yang membiak-biak,penyelewengan wang rakyat menjadi-jadi dan skandal akhlak yang menjijikkan.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak dan rakyat seluruhnya terus komited memerangi rasuah dan pengamalnya. Sudah tiba masanya agenda memerangi rasuah ini digembeling oleh semua pihak dengan lebih bersungguh-sungguh dan konsisten. AMK Selangor berharap indeks rasuah negara ini dapat diperbaiki semoga keberkatan daripada usaha ini dapat membawa negara menuju menjadi negara maju dan hebat dalam ertikata sebenarnya.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

AMK Selangor Cadangkan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor Sebagai Tahun ‘Bajet Untuk Generasi Muda’

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

09hb Oktober 2009

AMK Selangor Cadangkan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor Sebagai Tahun ‘Bajet Untuk Generasi Muda’

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutarakan cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor sempena Bajet 2010 ini untuk terus komited dan memberi fokus khas kepada generasi muda di negeri ini. AMK Selangor berharap Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor memberikan penekanan khusus dan pemerkasaan generasi muda kerana jumlah populasi generasi muda adalah dalam lingkungan 45% daripada jumlah penduduk Selangor keseluruhannya.

Penekanan perlu difokuskan kepada aspek pembangunan insan dan usaha giat menjadikan generasi muda di Selangor sebagai contoh dan role-model kecemerlangan kepada generasi muda di negara ini. AMK Selangor mohon mencadangkan kepada kerajaan Negeri Selangor menaikkan peruntukan untuk dikhususkan kepada pembangunan keseluruhan generasi muda Selangor dalam Bajet 2010.

Justeru, AMK Selangor mencadangkan 3 agenda khusus untuk memperkasakan pembangunan insan,akal budi, sukan dan ekonomi generasi muda di Selangor dalam Bajet 2010 ini .

Pertama : Agenda Memperkasakan Kepimpinan, Sahsiah Dan Ilmu Generasi Muda.

AMK Selangor mohon mencadangkan agar diberi satu peruntukan khas yang akan diguna pakai untuk program-program pembangunan sahsiah, kepimpinan dan pemerkasaan ilmu generasi muda. Justeru dengan adanya peruntukan khas ini maka segala aktiviti untuk memantapkan program kepimpinan dan sahsiah dapat dijalankan dan dirancakkan. Malahan pertubuhan belia dan NGO dapat memperhebatkan program khusus untuk melatih generasi muda Selangor dalam soal kepimpinan,professionalisme dan pemerkasaan akal dan budi.

AMK Selangor memandang dengan penuh serius dan prihatin kepada cabaran gejala sosial generasi muda yang semakin meningkat dan membimbangkan. Peningkatan kes-kes jenayah dan salah laku moral generasi muda timbul akibat faktor dalaman dan luaran yang semakin hebat. Maka, dengan adanya program-program khusus yang melibatkan generasi muda dalam satu program khas dan agenda tersusun kerajaan Negeri bersama-sama NGO dan pihak-pihak lain gejala membimbangkan ini boleh atasi.

AMK Selangor mencadangkan agar sekurang-kurangnya 100,000 orang generasi muda Selangor mengikuti sekurang-kurang satu program khas yang dijalankan dengan modul-modul yang mantap dan berkualiti untuk 2010 ini. Para peserta yang telah mengikuti program khas ini akan terus dipantau prestasinya dan tidak dibiarkan terkapai-kapai selepas mengikuti program.

Kedua : Agenda Memperhebat Pencapaian Kesukanan, Aktiviti Riadah dan Kesihatan Negeri Selangor.

Sejajar untuk melahirkan generasi muda yang sihat,cergas dan bertenaga maka aktiviti riadah dan kesukanan perlu diperhebatkan. Pencapaian sukan generasi muda Selangor perlu ke hadapan untuk menyediakan atlit sehingga ke sukan Olimpik. Pasukan bola sepak yang sinonim sebagai satu kebanggaan pencapaian hebat sukan bola sepak negeri Selangor perlu melahirkan pemain dikalangan anak tempatan untuk dicungkil dan digilap sehingga bertaraf antarabangsa.

AMK Selangor mencadangkan satu peruntukan khas kepada aktiviti riadah dan kesukanan ditingkatkan dan disampaikan dana ini untuk digunakan sehingga ke akar umbi. Program khusus untuk mencungkil bakat dan menggilap potensi perlu digerakkan dalam melahirkan generasi muda yang bersukan dan beriadah. Ini secara tidak langsung menyediakan satu barisan pelapis generasi muda yang sihat dan mengamalkan riadah. Justeru masalah kesihatan yang disebabkan oleh aktiviti kurangnya mementingkan aspek riadah dapat dikurangkan.

Dalam hal ini, AMK Selangor berharap kerajaan negeri Selangor dapat memikirkan pelan dan rancangan khasnya untuk memudahkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti riadah khususnya di kawasan pesat membangun yang semakin kurang kawasan untuk aktiviti riadah dan sukan.Kita tidak mahu melihat segelintir kecil generasi muda mengambil jalan singkat untuk terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram dan rempit sehingga mengorbankan nyawa sendiri dan orang lain. Ini satu kehilangan aset yang cukup besar untuk pembangunan negara dan ummah di masa hadapan.

Ketiga : Agenda Memantapkan Ekonomi Generasi Muda Selangor.

Menyedari cabaran peningkatan kos sara hidup dan kegawatan ekonomi global. Generasi muda turut sama menerima kesan dan tempiasnya. Justeru pelan memantapkan ekonomi generasi muda perlu dimantapkan melalui beberapa pendekatan yang boleh kerajaan negeri laksanakan. AMK Selangor mencadangkan agar program kursus keusahawanan dan bimbingan kejayaan perniagaan perlu dipertingkatkan.

AMK Selangor juga mencadangkan agar dalam Bajet 2010 ini,kerajaan negeri menyediakan geran khas perniagaan untuk memantapkan aspek perniagaan dan aktiviti ekonomi. Malahan pemberian diskaun atau potongan kepada khas kepada generasi muda yang memperbaharui lesen atau permit tapak perniagaan, menyewa premis perniagaan di bawah kerajaan negeri boleh diperhalusi dan dipertimbangkan.Ianya pasti memberikan semangat kepada generasi muda untuk memperkembangkan aktiviti ekonomi seterusnya membantu pertumbuhan pesat ekonomi negeri Selangor. AMK Selangor juga mencadangkan agar syarikat kerajaan negeri Selangor terus memberi bimbingan dan peluang perniagaan kepada generasi muda.

AMK Selangor memohon mencadangkan agar Bajet 2010 ini memberi signifikan kepada generasi muda dengan menjadikannya tahun ‘Bajet 2010 Untuk Generasi Muda. Ianya pasti memberikan pengiktirafan khas kepada generasi muda untuk terus bersama-sama memajukan Selangor menjadi negeri idaman,berkebajikan dan madani. Kita berharap cadangan dan idea ini dapat dipertimbangkan dan diperhalusi oleh semua pihak.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor