Kenyataan Media
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
09hb Oktober 2009
AMK Selangor Cadangkan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor Sebagai Tahun ‘Bajet Untuk Generasi Muda’
Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutarakan cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor sempena Bajet 2010 ini untuk terus komited dan memberi fokus khas kepada generasi muda di negeri ini. AMK Selangor berharap Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor memberikan penekanan khusus dan pemerkasaan generasi muda kerana jumlah populasi generasi muda adalah dalam lingkungan 45% daripada jumlah penduduk Selangor keseluruhannya.
Penekanan perlu difokuskan kepada aspek pembangunan insan dan usaha giat menjadikan generasi muda di Selangor sebagai contoh dan role-model kecemerlangan kepada generasi muda di negara ini. AMK Selangor mohon mencadangkan kepada kerajaan Negeri Selangor menaikkan peruntukan untuk dikhususkan kepada pembangunan keseluruhan generasi muda Selangor dalam Bajet 2010.
Justeru, AMK Selangor mencadangkan 3 agenda khusus untuk memperkasakan pembangunan insan,akal budi, sukan dan ekonomi generasi muda di Selangor dalam Bajet 2010 ini .
Pertama : Agenda Memperkasakan Kepimpinan, Sahsiah Dan Ilmu Generasi Muda.
AMK Selangor mohon mencadangkan agar diberi satu peruntukan khas yang akan diguna pakai untuk program-program pembangunan sahsiah, kepimpinan dan pemerkasaan ilmu generasi muda. Justeru dengan adanya peruntukan khas ini maka segala aktiviti untuk memantapkan program kepimpinan dan sahsiah dapat dijalankan dan dirancakkan. Malahan pertubuhan belia dan NGO dapat memperhebatkan program khusus untuk melatih generasi muda Selangor dalam soal kepimpinan,professionalisme dan pemerkasaan akal dan budi.
AMK Selangor memandang dengan penuh serius dan prihatin kepada cabaran gejala sosial generasi muda yang semakin meningkat dan membimbangkan. Peningkatan kes-kes jenayah dan salah laku moral generasi muda timbul akibat faktor dalaman dan luaran yang semakin hebat. Maka, dengan adanya program-program khusus yang melibatkan generasi muda dalam satu program khas dan agenda tersusun kerajaan Negeri bersama-sama NGO dan pihak-pihak lain gejala membimbangkan ini boleh atasi.
AMK Selangor mencadangkan agar sekurang-kurangnya 100,000 orang generasi muda Selangor mengikuti sekurang-kurang satu program khas yang dijalankan dengan modul-modul yang mantap dan berkualiti untuk 2010 ini. Para peserta yang telah mengikuti program khas ini akan terus dipantau prestasinya dan tidak dibiarkan terkapai-kapai selepas mengikuti program.
Kedua : Agenda Memperhebat Pencapaian Kesukanan, Aktiviti Riadah dan Kesihatan Negeri Selangor.
Sejajar untuk melahirkan generasi muda yang sihat,cergas dan bertenaga maka aktiviti riadah dan kesukanan perlu diperhebatkan. Pencapaian sukan generasi muda Selangor perlu ke hadapan untuk menyediakan atlit sehingga ke sukan Olimpik. Pasukan bola sepak yang sinonim sebagai satu kebanggaan pencapaian hebat sukan bola sepak negeri Selangor perlu melahirkan pemain dikalangan anak tempatan untuk dicungkil dan digilap sehingga bertaraf antarabangsa.
AMK Selangor mencadangkan satu peruntukan khas kepada aktiviti riadah dan kesukanan ditingkatkan dan disampaikan dana ini untuk digunakan sehingga ke akar umbi. Program khusus untuk mencungkil bakat dan menggilap potensi perlu digerakkan dalam melahirkan generasi muda yang bersukan dan beriadah. Ini secara tidak langsung menyediakan satu barisan pelapis generasi muda yang sihat dan mengamalkan riadah. Justeru masalah kesihatan yang disebabkan oleh aktiviti kurangnya mementingkan aspek riadah dapat dikurangkan.
Dalam hal ini, AMK Selangor berharap kerajaan negeri Selangor dapat memikirkan pelan dan rancangan khasnya untuk memudahkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti riadah khususnya di kawasan pesat membangun yang semakin kurang kawasan untuk aktiviti riadah dan sukan.Kita tidak mahu melihat segelintir kecil generasi muda mengambil jalan singkat untuk terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram dan rempit sehingga mengorbankan nyawa sendiri dan orang lain. Ini satu kehilangan aset yang cukup besar untuk pembangunan negara dan ummah di masa hadapan.
Ketiga : Agenda Memantapkan Ekonomi Generasi Muda Selangor.
Menyedari cabaran peningkatan kos sara hidup dan kegawatan ekonomi global. Generasi muda turut sama menerima kesan dan tempiasnya. Justeru pelan memantapkan ekonomi generasi muda perlu dimantapkan melalui beberapa pendekatan yang boleh kerajaan negeri laksanakan. AMK Selangor mencadangkan agar program kursus keusahawanan dan bimbingan kejayaan perniagaan perlu dipertingkatkan.
AMK Selangor juga mencadangkan agar dalam Bajet 2010 ini,kerajaan negeri menyediakan geran khas perniagaan untuk memantapkan aspek perniagaan dan aktiviti ekonomi. Malahan pemberian diskaun atau potongan kepada khas kepada generasi muda yang memperbaharui lesen atau permit tapak perniagaan, menyewa premis perniagaan di bawah kerajaan negeri boleh diperhalusi dan dipertimbangkan.Ianya pasti memberikan semangat kepada generasi muda untuk memperkembangkan aktiviti ekonomi seterusnya membantu pertumbuhan pesat ekonomi negeri Selangor. AMK Selangor juga mencadangkan agar syarikat kerajaan negeri Selangor terus memberi bimbingan dan peluang perniagaan kepada generasi muda.
AMK Selangor memohon mencadangkan agar Bajet 2010 ini memberi signifikan kepada generasi muda dengan menjadikannya tahun ‘Bajet 2010 Untuk Generasi Muda. Ianya pasti memberikan pengiktirafan khas kepada generasi muda untuk terus bersama-sama memajukan Selangor menjadi negeri idaman,berkebajikan dan madani. Kita berharap cadangan dan idea ini dapat dipertimbangkan dan diperhalusi oleh semua pihak.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
AMK Selangor