Rabu, 25 November 2009

AMK Selangor Sokong Pendirian Kerajaan Selangor Berkenaan Boikot Program Biro Tata Negara

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

26hb November 2009

AMK Selangor Sokong Pendirian Kerajaan Selangor Berkenaan Boikot Program Biro Tata Negara

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Selangor berhubung larangan penjawat awam dan penuntut universiti di Selangor daripada menyertai program anjuran Biro Tata Negara. Keputusan ini amat tepat dan bijak memandangkan program Biro Tata Negara kini dilaporkan semakin jauh terpesong daripada matlamat untuk memperkasakan jatidiri dan pembinaan insan yang unggul.

AMK Selangor merasakan bahawa program-program Biro Tata Negara sudah menjadi agen pemecah perpaduan negara dan perosak minda rakyat yang cintakan kepada perpaduan unggul dan prinsip murni keadilan sejagat. Apa yang dilaporkan berlaku ialah program Biro Tata Negara tidak ubah seperti program ‘brainwashing’ minda peserta agar membenci sesama warganegara sendiri dan memecahkan perpaduan rakyat.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN. Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

AMK Selangor menegaskan program Biro Tata Negara yang kini mulai terang-terangan menjadi alat propaganda murahan UMNO/BN agar segera diboikot oleh semua negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. AMK Selangor mahu program Biro Tata Negara yang dicemari dengan propaganda UMNO/BN yang bersifat pemikiran sempit ,jumud dan cuba mewujudkan rasa curiga antara kaum dirombak semula atau dimansuhkan serta merta.

AMK Selangor mencadangkan sudah tiba masanya program-program Biro Tata Negara dirombak bagi mewujudkan program pembinaan insan yang cemerlang dan berintegriti tinggi. Negara kita sebenarnya semakin ketinggalan dari masa ke semasa dalam semua aspek daya saing ekonomi, sosial , integriti , kepimpinan global dan memiliki insan berkeupayaan tinggi serta unggul di peringkat seranatau dan global.

Adalah dicadangkan Biro Tata Negara memfokuskan kepada modul-modul yang bertujuan memperkasakan pembangunan insan yang unggul dan cemerlang dalam semua bidang. Keberkesanan program-program yang dijalankan perlu dipertingkatkan untuk memastikan negara memiliki kalangan insan dan warganegara yang berkeupayaan tinggi dan bukan dimomokkan serta disogok dengan kepentingan dakyah politik sempit, meracun minda rakyat dan berunsur perkauman serta menghina pihak-pihak lain.

Perkara-perkara negatif di atas tidak sewajarnya wujud dalam program-program pemerkasaan jatidiri yang unggul. Pihak Biro Tata Negara didesak menyiasat individu-individu terbabit dan memberi penjelasan kepada umum berkenaan dakwaan ini pada kadar segera. AMK Selangor juga berharap pihak-pihak yang pernah terlibat dalam program ini tampil ke hadapan untuk membuat pendedahan dan pengumpulan maklumat.

AMK Selangor juga mencadangkan Biro Tata Negara segera merombak kembali keseluruhan modul-modul berkaitan bagi memastikan pembinaan karektor insan yang unggul dan holistik tercapai. Kejatuhan indeks rasuah negara yang semakin merudum perlu diambil perhatian agar ada modul yang dikhususkan untuk membanteras rasuah,salah guna kuasa dan mempertingkatkan kecekapan dalam melaksanakan amanah bagi penjawat awam dan program kesedaran anti rasuah kepada para pelajar.

Dicadangkan juga, Biro Tata Negara menjalankan modul-modul bagaimana untuk meningkatkan kualiti kecemerlangan diri dan minda yang berupaya tinggi sehingga ke peringkat global. Dengan melalui modul-modul yang terbaik sedemikian adalah diharapkan peserta yang mengikuti program ini mampu mengembalikan daya saing negara dalam semua aspek.

Akhirnya, AMK Selangor menegaskan pendirian menyokong kuat tindakan kerajaan negeri Selangor untuk menghentikan penghantaran ke program Biro Tata Negara yang kini semakin dilihat terkeluar daripada landasan untuk membina negara yang hebat dan perpaduan kaum yang unggul. Kita amat berharap pihak-pihak terbabit segera mengambil perhatian serius dan tanggungjawab berkenaan perkara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

AMK Selangor Pertahan Pendirian Tegas Kerajaan Negeri Selangor Berkenaan Pendedahan Laporan Kejadian Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

26hb November 2009

AMK Selangor Pertahan Pendirian Tegas Kerajaan Negeri Selangor Berkenaan Pendedahan Laporan Kejadian Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertahankan pendirian tegas dan berani Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim berhubung pendedahan laporan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini. AMK Selangor yakin bahawa pendedahan berani ini sebenarnya amat ditunggu rakyat khususnya penduduk kawasan tersebut yang ingin mengetahui punca kejadian dan hasil siasatan tanah runtuh tersebut yang berlaku pada 6hb Disember 2008.

AMK Selangor membidas kerajaan pusat yang cuba berdolak-dalih dan seolah-olah melindungi sesuatu daripada terus mendedahkan laporan tersebut yang dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. AMK Selangor mempersoalkan apakah rahsia yang cuba disembunyikan kerajaan pusat daripada pengetahuan rakyat ?. Apakah rakyat tidak mempunyai hak untuk mengetahui punca dan kejadian tersebut ?.

AMK Selangor juga mempersoalkan Kementerian Kerja Raya yang bersifat tidak telus dan gentar untuk mendedahkan laporan tersebut dan cuba berselindung di bawah Akta Rahsia Rasmi. Malahan kenyataan menteri kementerian tersebut juga mengundang pelbagai persepsi negatif yang kini cuba mendakwa seoolah-olah Dato’ Menteri Besar Selangor telah melakukan kesalahan di bawah Akta Rasmi Rasmi.

Dato’ Menteri Besar Selangor menggunakan kuasa Menteri Besar pada Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi, mengambil keputusan untuk mengubah semula status laporan tersebut yang diklasifikasikan sebagai “rahsia” oleh Kementerian Kerja Raya.

Persoalan kini ialah mengapa laporan tersebut tidak didedahkan umum sedangkan rakyat dan penduduk di Bukit Antarabangsa sudah lama menunggu hasil laporan kejadian tanah runtuh. Kerajaan pusat sewajarnya menunjukkan contoh sebuah kerajaan telus dan terbuka dan menggunakan Akta Rahsia Rasmi hanya kepada perkara-perkara yang melibatkan soal keselamatan negara sahaja. Dalam soal ini soal keselamatan negara langsung tidak wujud malahan keselamatan rakyat sepatutnya diutamakan dahulu.

Sehubungan dengan itu, AMK Selangor menyatakan pendirian tegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri Selangor dan mencabar Menteri Kementerian Kerja Raya berani mendedahkan laporan tersebut dengan segera. Jangan sekali-sekali menggunakan alasan Akta Rahsia Rasmi untuk melindungi sesuatu daripada pengetahuan rakyat.

Rakyat kini amat menunggu keberanian kerajaan pusat mengklasifikasikan semula dokumen serta laporan tersebut dan amat perlu ianya ditukar status untuk pendedahan kepada rakyat. Kini jelas kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat lebih mendepani isu-isu kepentingan rakyat berbanding kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional yang terus kaku dan lesu memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dalam hal ini.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Isnin, 16 November 2009

AMK Selangor Kemuka Cadangan Tarik Minat Pengundi Muda


Angkatan Muda Keadilan( AMK) Selangor mengemukakan cadangan kepada Parti Keadilan Rakyat bagi memperkasakan lagi kedudukan parti itu di Selangor.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut dalam Konvensyen PKR Selangor semalam berkata penekanan perlu diberikan kepada generasi muda sebagai golongan yang memainkan peranan penting dalam PRU12 lalu.

Ini berikutan statistik menunjukkan kuasa politik generasi muda ini menunjukkan peningkatan dengan jumlah yang sangat signifikan.

Menurutnya, mewujudkan kerajaan yang mesra rakyat,cekap, telus dan bebas rasuah serta penyelewengan dapat membantu menarik minat generasi muda ini untuk terus menyokong dan mengundi parti ini dalam pilihanraya akan datang (PRU13).

"Kerajaan perlu mengurangkan karenah biokrasi yang tidak perlu dalam pentadbiran dan keduanya pihak berkuasa tempatan perlu efektif dan pantas menyelesaikan sebarang isu dan permasalahan rakyat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Menggilap Harapan Rakyat dari Perspektif Anak Muda sempena Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Selangor di Shah Alam, petang semalam.

Selain itu, menurutnya memperkasa kualiti hidup rakyat juga perlu dengan memberi tumpuan lebih kepada isu pekerja.

Dalam pembentangan itu juga, Mohd Ezli turut menekankan beberapa faktor yang menjadi asas perubahan generasi muda menolak Barisan Nasional dan memilih Pakatan Rakyat pada PRU-12 lalu.

Faktor tersebut menurutnya ialah berkaitan isu rasuah, ketelusan, karenah birokrasi dan institusi-institusi penting kerajaan yang menjadi perkakas politik dan berat sebelah.

"Faktor keperibadian dan imej pemimpin serta politik UMNO/Barisan Nasional yang bersifat angkuh kepada rakyat, terlibat dengan pelbagai skandal salahlaku dan penyelewangan wang rakyat,tidak mendengar suara rintihan rakyat dan menganggap bahawa kerajaan UMNO /Barisan Nasional sentiasa betul dan pandangan rakyat sentiasa ditolak dan tidak didengar dengan penuh empati",katanya.

Katanya imej ini telah membentuk perspektif negatif rakyat terhadap Barisan Nasional.

Pembentangan itu turut menekankan halatuju dan gerak kerja parti ini untuk PRU-13 dan misi menawan Putrajaya.

"Strategi politik untuk PRU-13 perlu dipelbagaikan dengan menggunakan segala kekuatan maksimum yang ada dan tidak menggunakan gaya dan strategi politik PRU-12 yang mungkin mudah dipatahkan oleh pihak lawan",katanya.

Jumaat, 6 November 2009

AMK Selangor Berharap Agar Agensi dan Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Selangor Terus Komited Dan Professional Melaksanakan Tanggungjawab

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

07hb November 2009

AMK Selangor Berharap Agar Agensi dan Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Selangor Terus Komited Dan Professional Melaksanakan Tanggungjawab

Angkatan Muda Keadilan Selangor menaruh harapan yang tinggi kepada seluruh agensi dan kakitangan awam di bawah kerajaan negeri Selangor untuk terus komited dan professional melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat. AMK Selangor amat yakin dengan kemampuan dan prestasi yang amat baik dan cemerlang dalam melaksanakan agenda kerajaan negeri khususnya dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor selama ini.

AMK Selangor percaya bahawa agensi-agensi kerajaan negeri Selangor tidak sama sekali akan terlibat dengan cubaan pihak tertentu yang akan mempergunakan mereka untuk tujuan menjatuhkan dan memalukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Kita juga berharap anggota perkhidmatan awam negeri Selangor menjadi contoh kepada penjawat awam di negera ini yang melaksanakan tugas dan dedikasi kuat kepada rakyat dan kerajaan dengan menunjukkan prestasi yang tinggi.

Kita juga berharap khidmat yang diberikan kepada rakyat Selangor agar terus dipertingkatkan untuk memenuhi harapan tinggi rakyat. Perubahan corak pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang berbeza dengan corak dan amalan di bawah Barisan Nasional lebih 50 tahun lepas merupakan cabaran besar anggota perkhidmatan awam negeri menunjukkan prestasi dan keupayaan mereka sebenar.

Penubuhan SELCAT jelas membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor amat komited dan bersungguh-sungguh membela dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Dasar Pakatan Rakyat amat berbeza dengan konsep yang pernah dilaksanakan oleh Barisan Nasional dahulu yang lebih suka menghukum dan memalukan seperti memberi penyapu kepada yang tidak menunjukkan prestasi baik.

Sistem perkhidmatan awam negeri yang bermutu,mesra rakyat dan kurang karenah birokrasi merupakan harapan besar rakyat terhadap mutu kerja yang diharap-harapkan. AMK Selangor mencadangkan kepada kerajaan negeri Selangor agar menyediakan skim khas kepada perkhidmatan awam negeri untuk melanjutkan pendidikan dalam pengurusan pentadbiran awam negeri yang lebih baik. Malahan anugerah khas kecemerlangan setiap bulan dicadangkan untuk diberi kepada agensi,majlis tempatan dan anggota perkhidmatan awam negeri yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan membanggakan.

Adalah perlu juga insentif khas diberikan kepada penjawat awam yang dapat mengemukakan idea-idea bernas dan terbaik untuk memperbaiki sistem pentadbiran dan penyampaian kerajaan negeri kepada rakyat. Anggota perkhidmatan awam perlu dihargai setiap idea dan usaha agar mereka terus-menerus memberikan sumbangan yang besar kepada kemakmuran negeri Selangor.

AMK Selangor juga mencadangkan agar pelaksanaan gaji minimum kepada anggota perkhidmatan awam negeri terus dilaksanakan dan kebajikan mereka diperbaiki daripada masa ke semasa. Kita berharap anggota perkhidmatan awam mampu menjadikan negeri Selangor ini menjadi negeri yang makmur,sejahtera dan berkebajikan dalam ertikata dan falsafah sebenarnya.

Justeru, AMK Selangor memberi dan meletakkan harapan besar kepada agensi dan kakitangan awam negeri Selangor untuk bersama-sama memikirkan,merancang dan melaksanakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor membawa Selangor maju ke hadapan dan memberi kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat Selangor.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Bajet 2010 Perlu Dikaji Semula

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

06hb November 2009

Bajet 2010 Perlu Dikaji Semula

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyokong gesaan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri agar dikaji dan diperhalusi semula. Gesaan beliau amat berasas kerana Bajet 2010 memperlihatkan beberapa pendekatan yang menyusahkan rakyat khususnya percukaian, usaha memerangi rasuah dan jenayah yang tidak mantap serta tidak banyak membantu rakyat untuk menangani cabaran kenaikan sumber bahan makanan asas, tenaga dan perkhidmatan yang berterusan.

Malahan dalam Bajet 2010 ini tiada perancangan besar kerajaan untuk mengekang kejatuhan komoditi getah dan kelapa sawit yang harganya kini semakin jatuh merudum. Impak kejatuhan komoditi utama ini pastinya mengancam taraf ekonomi golongan petani kecil untuk berhadapan dengan kenaikan kos bahan makanan dan perkhidmatan yang terus naik mendadak.

AMK Selangor juga mempersoalkan kewajaran kerajaan melaksanakan belanjawan defisit untuk kali-13 berturut-turut. Kenaikan 49.7 peratus kadar hutang negara kepada RM362.5 Billion pada 2009 memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan ekonomi negara yang cekap. Apakah generasi masa hadapan dan anak-anak cucu cicit kita yang perlu menanggung beban berat untuk membayarnya kembali ?. Situasi ini sebenarnya meletakkan negara di masa hadapan dalam keadaan yang sukar untuk bersaing di peringkat global akibat hutang negara yang amat tinggi.

Dalam pada itu juga,skim penstrukturan subsidi minyak yang akan dilaksanakan pada tahun 2010 memerlukan kajian dan penjelasan yang mendalam. Kita tidak mahu apabila sistem tersebut dilaksanakan kelak ianya akan menimbulkan kekecohan rakyat yang akhirnya kebajikan rakyat yang terjejas teruk. Sehingga kini tiada penjelasan mendalam bagaimana sistem itu akan dilaksanakan sedangkan waktu untuk pelaksanaannya semakin suntuk.

AMK Selangor juga berharap kerajaan mengkaji semula struktur percukaian agar lebih adil dan progresif. Kerajaan perlu memikirkan sistem percukaian yang tidak membebankan dan mengurangkan kuasa beli rakyat disamping dapat berusaha meningkatkan jumlah pendapatan negara. Sistem percukaian yang tidak adil hanya akan menyebabkan rakyat terbeban untuk membayar sedangkan rakyat disantapkan dengan pelbagai skandal dan penyelewengan wang rakyat dalam menjalankan projek-projek mega kerajaan.

Secara umumnya Bajet 2010 tidak mencerminkan ‘belanjawan untuk rakyat’ seperti yang dicanangkan kerana rakyat hanya menerima faedah dalam bentuk pengecualian cukai sekitar RM500 juta sahaja. Rakyat secara khususnya tidak dapat menikmati kemakmuran ekonomi akibat tadbir urus ekonomi kerajaan Barisan Nasional yang sehingga kini amat lemah dan gagal mengembalikan keyakinan bahawa ekonomi negara telah pulih dan dapat bersaing di peringkat global.

AMK Selangor juga mengutarakan agar Bajet 2010 ini memfokuskan kepada usaha mengekang kenaikan mendadak harga makanan asas rakyat seperti gula, beras, tepung, minyak masak dan makanan-makanan asas lain. Kini krisis kekurangan bahan mentah tersebut berlaku saban tahun dengan skrip dan jalan ceritanya yang hampir sama. Ini akan menyebabkan rakyat menanggung kuasa beli yang semakin berkurang dan kebajikan rakyat semakin terjejas.

Adalah tidak menjadi kesalahan agar beberapa cadangan dalam Bajet 2010 dikaji dan disemak semula seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kesediaan kerajaan untuk menyemak semula Bajet 2010 membuktikan bahawa rakyat diutamakan dan didahulukan bukan sekadar gimik dan omong kosong semata-mata.

Justeru, AMK Selangor menegaskan ada perlunya Bajet 2010 Persekutuan dikaji semula agar rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi negara dalam ertikata sebenarnya.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Khamis, 5 November 2009

AMK Selangor Bidas Dakwaan Pihak Desperado Politik Bahawa PKR Dikuasai ‘3A’

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

05hb November 2009

AMK Selangor Bidas Dakwaan Pihak Desperado Politik Bahawa PKR Dikuasai ‘3A’

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas individu-individu tertentu yang membuat dakwaan terbuka bahawa Parti Keadilan Rakyat dikuasai oleh ‘3A’. Dakwaan bahawa PKR hanya dikuasai oleh ‘3A’ adalah hujah yang terlalu dangkal dan amat lemah serta ianya bermotifkan untuk sengaja mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan anggota PKR dan menghakis sokongan rakyat.

AMK Selangor menyatakan pendirian memberi sokongan dan dokongan yang amat kuat kepada kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat untuk terus melaksanakan agenda perubahan politik di negara ini. Pihak-pihak tertentu yang terus memburuk-burukkan kepimpinan PKR dengan dakwaan yang tidak masuk akal membuktikan bahawa ada desperado politik yang semakin tertekan dengan sokongan kuat rakyat kepada kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

AMK Selangor menganggap bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja individu yang mencetuskan gelombang perubahan politik di negara ini tetapi kini Dato’ Seri Anwar Ibrahim umpama sebuah ‘institusi perjuangan’ yang berjuang membela nasib rakyat, prinsip keadilan dan masyarakat madani. Idea, gerak perjuangan dan gagasan barunya membawa perubahan mencetuskan semangat baru kepada generasi muda untuk bersama-sama beliau dalam satu pakatan menegakkan keadilan untuk semua.

Dunia antarabangsa dan universiti terkemuka dunia mengakui dan memberi pengiktirafan yang tinggi kepada gagasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan syarahan dan wacana ilmiahnya. Malahan badan-badan antarabangsa juga mengambil beliau menganggotai badan tersebut kerana prinsip dan idealismenya yang jelas terbukti telah banyak memberi sumbangan besar kepada perubahan sistem kewangan global ,prinsip keadilan sejagat, good governance serta politik di peringkat antarabangsa.

Adalah amat menghairankan individu-individu tersebut melemparkan pelbagai tohmahan dan dakwaan yang mengaibkan beliau sedangkan dunia antarabangsa serta dunia Islam memberikan dan menghargai sumbangan idea dan gagasan yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Justeru serangan bertali arus pihak UMNO/BN dan sekutunya terhadap kepimpinan PKR adalah untuk menghakis keutuhan kepimpinan tertinggi PKR sepertimana serangan peribadi yang dilemparkan kepada kepimpinan tertinggi PAS dan DAP.

AMK Selangor menyeru pihak-pihak individu tersebut menghentikan membuat serangan tohmahan peribadi tetapi perlu bersama-sama kini menumpukan usaha membawa perubahan dan memulihkan daya saing ekonomi dan membina negara yang hebat. Rakyat perlu dibawa untuk membincangkan isu-isu yang lebih penting, besar dan kepentingan masa hadapan negara dan bukan soal remeh temeh yang tidak memberi impak kepada pembinaan tamadun insan.

Sudah tiba masanya segala idea dan tenaga digembeling secara bersepadu untuk memikirkan, merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang lebih holistik dan menyeluruh. Media-media massa perlu menjadi medan kepada perbicaraan isu-isu yang lebih global, berilmu dan kepentingan rakyat. Ianya dengan harapan rakyat akan terus dihidangkan dengan tradisi budaya keilmuan dan tidak disempitkan dengan perbicaraan isu yang sempit, kaku dan jumud.

Akhirnya, AMK Selangor terus meletakkan setinggi-tinggi keyakinan kepada kepimpinan parti untuk terus memimpin dan membawa harapan baru untuk Malaysia yang lebih gemilang. Gelombang perubahan yang semakin kuat didokong rakyat merupakan inspirasi untuk generasi muda menerajui perubahan zaman dan meneroka era baru siasah di negara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

PAKATAN RAKYAT SELANGOR DIGESA PERKUKUH KERJASAMA BERSEPADU

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

05hb November 2009

PAKATAN RAKYAT SELANGOR DIGESA PERKUKUH KERJASAMA BERSEPADU

Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius terhadap tulisan oleh Raja Petra Raja Kamaruddin yang dikeluarkan di laman portal Malaysia Today. Dalam tulisan tersebut beliau membuat dakwaan mengenai usaha jahat UMNO/BN yang mensasarkan Januari 2010 untuk merampas kerajaan Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Menurut beliau lagi terdapat usaha-usaha giat dan kotor pihak UMNO/BN untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat melalui agensi-agensi kerajaan negeri seterusnya memburukkan nama baik kerajaan negeri Selangor. AMK Selangor berharap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dan seluruh kepimpinan dan pendukung PKR,PAS dan DAP memandang serius isu ini dan mengambil pendekatan pantas,prokaktif dan efektif.

AMK Selangor melihat trend situasi politik di Selangor kini seolah-olah wujud satu usaha kotor terancang pihak UMNO/BN untuk terus memburuk-buruk dan mengganggu kestabilan politik dan ekonomi di Selangor. Isu panas seperti penjualan arak,rumah ibadah,tangkapan Dr Asri Zainal Abidin dan pelbagai isu panas lagi timbul dalam usaha menggugat kestabilan politik di negeri ini.

AMK Selangor mengambil pendirian tegas agar unsur-unsur sabotaj yang sengaja dilakukan dan dirancang ditangani segera dan tegas daripada terus mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian rakyat. Malahan AMK Selangor menjangkakan selepas ini akan berlaku lagi isu-isu panas yang sengaja ditimbulkan untuk ‘membakar’ hati dan perasaan rakyat di Selangor.

AMK Selangor berharap kepimpinan tertinggi mengambil serius dakwaan bahawa Januari 2010,UMNO/BN akan merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat. Kita tidak mahu tragedi politik rampasan kuasa di Perak berlaku. Justeru amat perlu dan kritikal kini agar Pakatan Rakyat Selangor memperkukuh strategi dan kerjasama untuk menghalang perancangan jahat UMNO/BN ini. Kita tidak mahu rakyat di Selangor akan terus diheret ke satu lagi konflik politik yang tidak perlu yang akan menghalang kemajuan dan perkembangan ekonomi pesat di Selangor.

AMK Selangor berharap rakyat Selangor akan terus memberikan sokongan dan dokongan padu kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin perubahan. Rakyat pasti tidak mahu segala penyelewengan dana rakyat dan rasuah yang dilakukan Barisan Nasional terus berlaku lagi di negeri ini yang menjejaskan kebajikan dan pembangunan.Isu penyelewengan PKFZ,dakwaan rasuah bekas Menteri Besar dan exco,harga banglo jutaan ringgit dan pelbagai lagi sehingga kini belum selesai.

UMNO/BN kini umpama bahtera lapuk yang semakin uzur hanya menunggu masa dan detik untuk karam akibat salah laku,penyelewengan dana rakyat,skandal dan pelbagai jenayah politik.Justeru,diharap rakyat terus menolak Barisan Nasional yang gagal secara total memerangi rasuah dan mengembalikan daya saing ekonomi di peringkat serantau dan global.

AMK Selangor juga ingin mengingatkan agar ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk terus mendekati,menyelami dan bersama-sama dengan perjuangan rakyat. Pembaharuan dan reformasi pentadbiran kerajaan negeri Selangor perlu terus berjalan dan giat dilaksanakan agar Selangor muncul menjadi negeri contoh yang ditadbir dengan good governance,ketelusan dan keadilan.

AMK Selangor juga terus yakin dengan komitmen kakitangan awam dan agensi di bawah kerajaan negeri Selangor yang terus bersemangat tinggi,komited dan fokus untuk membantu kerajaan Selangor dan rakyat keseluruhannya. Kewibawaan dan professionalisme mereka amat dihargai dan amat penting untuk merealisasikan gagasan Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Negeri Berkebajikan mencapai kejayaan.

Adalah dicadangkan mana-mana pihak individu dan agensi pentadbiran awam yang tidak selari dengan prinsip dan dasar kerajaan Negeri Selangor perlu dihadapkan ke lembaga disiplin dan Selcat. Ianya untuk memastikan gerak kerja pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan lancar dan sistematik serta mengelakkan sebarang usaha jahat pihak tertentu untuk mensabotaj pentadbiran dan nama baik kerajaan negeri Selangor.

AMK Selangor berharap semua pihak menolak segala usaha perancangan jahat dan kotor pihak UMNO/BN untuk merampas kerajaan Selangor sepertimana yang telah didedahkan kepada umum sebelum ini. Diharap pendukung dan rakyat Selangor mendoakan dan memberi sokongan padu agar kerajaan Pakatan Rakyat terus kukuh bertapak di Selangor untuk terus membela kebajikan rakyat dan membawa Selangor ke era kecemerlangan dan kegemilangan.

Kembalinya Selangor ke era pentadbiran Barisan Nasional adalah mimpi buruk yang amat ditakuti kerana jelas selama 50 tahun lepas telah banyak kerosakan dan kebejatan yang berlaku. Justeru beri peluang dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk memperbaiki segala kesilapan dan kebejatan yang telah berlaku.

Akhirnya, AMK Selangor berharap seluruh kepimpinan tertinggi, pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor agar memperkukuh kerjasama bersepadu dan kefahaman serta mengelakkan pergeseran yang tidak menguntungkan. Pakatan Rakyat Selangor perlu bertindak pantas kerana masa semakin suntuk agar tragedi hitam politik seperti di Perak dijauhkan daripada berlaku.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor