Kenyataan Media
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
26hb November 2009
AMK Selangor Pertahan Pendirian Tegas Kerajaan Negeri Selangor Berkenaan Pendedahan Laporan Kejadian Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa
Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertahankan pendirian tegas dan berani Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim berhubung pendedahan laporan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini. AMK Selangor yakin bahawa pendedahan berani ini sebenarnya amat ditunggu rakyat khususnya penduduk kawasan tersebut yang ingin mengetahui punca kejadian dan hasil siasatan tanah runtuh tersebut yang berlaku pada 6hb Disember 2008.
AMK Selangor membidas kerajaan pusat yang cuba berdolak-dalih dan seolah-olah melindungi sesuatu daripada terus mendedahkan laporan tersebut yang dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. AMK Selangor mempersoalkan apakah rahsia yang cuba disembunyikan kerajaan pusat daripada pengetahuan rakyat ?. Apakah rakyat tidak mempunyai hak untuk mengetahui punca dan kejadian tersebut ?.
AMK Selangor juga mempersoalkan Kementerian Kerja Raya yang bersifat tidak telus dan gentar untuk mendedahkan laporan tersebut dan cuba berselindung di bawah Akta Rahsia Rasmi. Malahan kenyataan menteri kementerian tersebut juga mengundang pelbagai persepsi negatif yang kini cuba mendakwa seoolah-olah Dato’ Menteri Besar Selangor telah melakukan kesalahan di bawah Akta Rasmi Rasmi.
Dato’ Menteri Besar Selangor menggunakan kuasa Menteri Besar pada Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi, mengambil keputusan untuk mengubah semula status laporan tersebut yang diklasifikasikan sebagai “rahsia” oleh Kementerian Kerja Raya.
Persoalan kini ialah mengapa laporan tersebut tidak didedahkan umum sedangkan rakyat dan penduduk di Bukit Antarabangsa sudah lama menunggu hasil laporan kejadian tanah runtuh. Kerajaan pusat sewajarnya menunjukkan contoh sebuah kerajaan telus dan terbuka dan menggunakan Akta Rahsia Rasmi hanya kepada perkara-perkara yang melibatkan soal keselamatan negara sahaja. Dalam soal ini soal keselamatan negara langsung tidak wujud malahan keselamatan rakyat sepatutnya diutamakan dahulu.
Sehubungan dengan itu, AMK Selangor menyatakan pendirian tegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri Selangor dan mencabar Menteri Kementerian Kerja Raya berani mendedahkan laporan tersebut dengan segera. Jangan sekali-sekali menggunakan alasan Akta Rahsia Rasmi untuk melindungi sesuatu daripada pengetahuan rakyat.
Rakyat kini amat menunggu keberanian kerajaan pusat mengklasifikasikan semula dokumen serta laporan tersebut dan amat perlu ianya ditukar status untuk pendedahan kepada rakyat. Kini jelas kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat lebih mendepani isu-isu kepentingan rakyat berbanding kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional yang terus kaku dan lesu memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dalam hal ini.
Khairul Anuar Ahmad Zainuddin
Ketua AMK Selangor