Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
06hb November 2009
Bajet 2010 Perlu Dikaji Semula
Angkatan Muda Keadilan Selangor menyokong gesaan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri agar dikaji dan diperhalusi semula. Gesaan beliau amat berasas kerana Bajet 2010 memperlihatkan beberapa pendekatan yang menyusahkan rakyat khususnya percukaian, usaha memerangi rasuah dan jenayah yang tidak mantap serta tidak banyak membantu rakyat untuk menangani cabaran kenaikan sumber bahan makanan asas, tenaga dan perkhidmatan yang berterusan.
Malahan dalam Bajet 2010 ini tiada perancangan besar kerajaan untuk mengekang kejatuhan komoditi getah dan kelapa sawit yang harganya kini semakin jatuh merudum. Impak kejatuhan komoditi utama ini pastinya mengancam taraf ekonomi golongan petani kecil untuk berhadapan dengan kenaikan kos bahan makanan dan perkhidmatan yang terus naik mendadak.
AMK Selangor juga mempersoalkan kewajaran kerajaan melaksanakan belanjawan defisit untuk kali-13 berturut-turut. Kenaikan 49.7 peratus kadar hutang negara kepada RM362.5 Billion pada 2009 memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan ekonomi negara yang cekap. Apakah generasi masa hadapan dan anak-anak cucu cicit kita yang perlu menanggung beban berat untuk membayarnya kembali ?. Situasi ini sebenarnya meletakkan negara di masa hadapan dalam keadaan yang sukar untuk bersaing di peringkat global akibat hutang negara yang amat tinggi.
Dalam pada itu juga,skim penstrukturan subsidi minyak yang akan dilaksanakan pada tahun 2010 memerlukan kajian dan penjelasan yang mendalam. Kita tidak mahu apabila sistem tersebut dilaksanakan kelak ianya akan menimbulkan kekecohan rakyat yang akhirnya kebajikan rakyat yang terjejas teruk. Sehingga kini tiada penjelasan mendalam bagaimana sistem itu akan dilaksanakan sedangkan waktu untuk pelaksanaannya semakin suntuk.
AMK Selangor juga berharap kerajaan mengkaji semula struktur percukaian agar lebih adil dan progresif. Kerajaan perlu memikirkan sistem percukaian yang tidak membebankan dan mengurangkan kuasa beli rakyat disamping dapat berusaha meningkatkan jumlah pendapatan negara. Sistem percukaian yang tidak adil hanya akan menyebabkan rakyat terbeban untuk membayar sedangkan rakyat disantapkan dengan pelbagai skandal dan penyelewengan wang rakyat dalam menjalankan projek-projek mega kerajaan.
Secara umumnya Bajet 2010 tidak mencerminkan ‘belanjawan untuk rakyat’ seperti yang dicanangkan kerana rakyat hanya menerima faedah dalam bentuk pengecualian cukai sekitar RM500 juta sahaja. Rakyat secara khususnya tidak dapat menikmati kemakmuran ekonomi akibat tadbir urus ekonomi kerajaan Barisan Nasional yang sehingga kini amat lemah dan gagal mengembalikan keyakinan bahawa ekonomi negara telah pulih dan dapat bersaing di peringkat global.
AMK Selangor juga mengutarakan agar Bajet 2010 ini memfokuskan kepada usaha mengekang kenaikan mendadak harga makanan asas rakyat seperti gula, beras, tepung, minyak masak dan makanan-makanan asas lain. Kini krisis kekurangan bahan mentah tersebut berlaku saban tahun dengan skrip dan jalan ceritanya yang hampir sama. Ini akan menyebabkan rakyat menanggung kuasa beli yang semakin berkurang dan kebajikan rakyat semakin terjejas.
Adalah tidak menjadi kesalahan agar beberapa cadangan dalam Bajet 2010 dikaji dan disemak semula seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kesediaan kerajaan untuk menyemak semula Bajet 2010 membuktikan bahawa rakyat diutamakan dan didahulukan bukan sekadar gimik dan omong kosong semata-mata.
Justeru, AMK Selangor menegaskan ada perlunya Bajet 2010 Persekutuan dikaji semula agar rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi negara dalam ertikata sebenarnya.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor