Jumaat, 23 Januari 2009


AMK Selangor Menyokong Penuh Perlantikan Othman Omar Sebagai Pengurus Besar PKNS Yang Baru

Tanggal 1 Februari 2009 adalah merupakan satu tarikh sejarah untuk PKNS kerana akan mendapat seorang Pengurus Besar yang dikhabarkan hebat dan mempunyai pengalaman yang luas selama 25 tahun dalam projek perumahan murah sehingga projek mega.

Itulah yang diwar-warkan oleh media tempatan sejak 23-Disember-2008 selepas Menteri Besar Selangor mengumumkan perlantikan beliau sebagai Pengurus Besar yang baru setelah 3 bulan dipangku oleh Datin Paduka Low Siew Moi. Sekalung Tahniah untuk beliau di atas perlantikan itu dan diucapkan selamat bertugas dengan sebaiknya.

Berikutan terbitnya beberapa isu yang mempersoalkan kewibawaan Othman Omar (49 tahun) di dalam akhbar The Sun yang dimulakan pada 19-Jan-2009, AMK Selangor merasakan ada konspirasi tertentu yang bertujuan untuk memintas beliau dari menerajui PKNS sebagai Pengurus Besar yang baru. Mungkin disebabkan PKNS adalah satu-satunya syarikat milikan Negeri Selangor yang terbesar, maka terdapat pihak yang tidak berpuashati dengan perlantikan beliau yang dianggap masih muda.

AMK Selangor tidak melihat sebagai satu kesalahan bagi Othman Omar terlibat dalam perniagaan sebelum ini kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana arahan perkhidmatan kerajaan. Pengakuan beliau sudah tidak terlibat lagi dengan perniagaan yang sedang ditimbulkan oleh The Sun tersebut sudah memadai dan tidak perlu dipersoalkan apatah lagi beliau sudah melalui proses pemilihan yang amat ketat dari sejumlah 58 calon yang telah disenarai pendek oleh Panel Pemilihan yang dipengerusikan sendiri oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Difahamkan juga, 3 Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS juga terlibat dalam meneliti calon-calon yang memohon atau diketengahkan dari seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa Exco Kerajaan Negeri bukanlah bertindak seperti “RUBBER STAMP” yang selalu dimomokkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Sehubungan itu, AMK Selangor memberi sepenuhnya sokongan kepada Sdra Othman Omar sebagai Pengurus Besar yang baru untuk PKNS. Pada waktu yang sama kita juga berharap PKNS diperbetulkan halatujunya dan melaksanakan pengurusan dan perbelanjaan yang berhemah dan memberi ruang seluas-seluasnya untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera yang layak untuk membantu pembangunan PKNS khasnya dan Negeri Selangor amnya.

Mengulas tentang laporan rasuah yang dibuat oleh GERAK melalui Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus yang mendakwa Menteri Besar telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu. AMK Selangor beranggapan ada unsur-unsur yang cuba untuk memerangkap Menteri Besar dalam isu ini dan ia juga berkait dengan isu perlantikan Othman Omar sebagai Pengurus Besar Baru.

Dalam aduannya kepada SPRM yang disiarkan oleh Malaysiakini semalam, Mohd Nazree mendakwa Tan Sri Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400.00 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri yang dikenali SICSB. Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lalu dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit iaitu Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd. Dimaklumkan bahawa SICSB merupakan salah satu dari enam anak syarikat PKNS yang telah menyumbang sebanyak 370 ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada semua Masjid dan Surau di seluruh Negeri Selangor.

Tan Sri Khalid juga menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban bagi Parlimen Bandar Tun Razak. Sebaliknya lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Adalah difahamkan bahawa syarikat-syarikat tersebut telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi Bandar Tun Razak atas dasar Corporate Social Responsibility (CSR) atau Tanggungjawab Sosial Korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak diperingkat kerajaan negeri. Malah, Dato’ Menteri Besar juga tidak tahu menahu syarikat mana yang terlibat. Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat Selangor.

AMK Selangor ingin menegaskan seolah-olah ada dalang di dalam pihak PKNS sendiri yang cuba memerangkap Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKNS dalam isu yang dimainkan sepanjang minggu ini. AMK Selangor akan cuba mendedahkan permainan politik jahat yang cuba dimainkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. AMK Selangor juga memandang sinis dan mencabar Pengerusi Gerak agar membuat laporan rasuah yang lebih besar dan banyak kepada isu politik wang yang melanda UMNO menjelang Pemilihan Pimpinan Tertinggi parti itu Mac 2009 nanti. AMK Selangor juga beranggapan bahawa pihak-pihak ini cuba membuat kekeliruan agar media memainkan isu rasuah lembu ini untuk menutup isu-isu rasuah yang lebih besar di dalam negara kita.

“Ke Arah Selangor Yang Lebih Cemerlang”

Mazli Saring,
Ketua Penerangan AMK Selangor
019-3682855