Khamis, 31 Disember 2009

Ucapan Khas Daripada AMK Selangor Sempena Tahun Baru 2010

Ucapan Khas Daripada AMK Selangor Sempena Tahun Baru 2010

Assalamualaikum,salam sejahtera, salam reformasi dan salam perjuangan kepada semua pendukung perjuangan Parti Keadilan Rakyat khususnya seluruh anggota Angkatan Muda Keadilan Selangor dan juga Malaysia.

Tahun 2009 yang telah meninggalkan kita akan menjadi satu lagi lipatan bersejarah dalam perjuangan kita menegakkan keadilan di Selangor dan Malaysia. Selepas kemenangan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baharu di Selangor. Tugas dan cabaran yang dipikul oleh Angkatan Muda Keadilan Selangor semakin berat dan mencabar. Jika dahulu kita bergerak sebagai pembangkang kini kita bergerak selaku kerajaan di peringkat negeri Selangor dan pembangkang di peringkat persekutuan.

Tahun 2010 ini bakal merupakan tahun yang mencabar dan kritikal untuk AMK Selangor. Adalah dijangkakan bahawa November 2011 diramal akan berlaku pilihanraya umum ke-13 yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya negara. Sudah tiba waktu dan ketikanya kini kita bersama memperkemas strategi dan mengukuh jentera pilihanraya dalam keadaan siap sedia daripada segi mental,ilmu,dana kewangan dan kemahiran.

Tahun 2010 ini juga perbicaraan terhadap Ketua Umum PKR akan berlangsung. Pihak UMNO/BN berusaha untuk memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua dengan harapan segala usaha perjuangan rakyat selama ini dapat dipenjarakan bersama. UMNO/BN fikir dengan terpenjaranya sekali lagi DSAI maka mudah kerja dan tugas mereka dalam PRU-13. Justeru dalam perjuangan ini bukan sekadar menuntut keberanian total tetapi kebijaksanaan dan hikmah perlu digabungkan untuk menang dalam menentang kebatilan dan kezaliman.

Tidak juga dilupakan ialah Pilihanraya DUN Sarawak yang dijangka berlaku dalam tahun 2010 ini. Apakah Pakatan Rakyat akan dapat melebarkan sayapnya ke sebelah Laut China Selatan sana akan ditentukan oleh para pengundi di Sarawak. Kita mengharapkan dan terus berdoa dan bermunajat agar terbuka pintu hati rakyat Sarawak keseluruhannya untuk menjadikan Sarawak negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kita perlu memperhebatkan usaha untuk mendekati pengundi generasi muda di bawah 35 tahun dengan lebih giat lagi.Malahan usaha pendaftaran pengundi muda yang belum mendaftarkan sebagai diri sebagai pengundi masih lagi tinggi. Usaha penyampaian info dan maklumat melalui penggunaan web 2.0 seperti facebook, twitter, friendster, sms dan blog perlu dipertingkatkan lagi.

Usaha penguasaan alam siber atau cyberspace perlu dipergiatkan lagi. Penggunaan laman interaksi sosial seperti facebook , Youtube dan Web 2.0 perlu dikemaskini sebaik mungkin dan up-to-date.Kekangan terhadap media konvensional seperti suratkhabar utama dan saluran televisyen tidak perlu menjadi penghalang utama kita untuk menguasai medan informasi dan peperangan maklumat.

Matlamat dan misi kita untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-13 ini amat penting untuk menyelamatkan Malaysia yang semakin tercicir dalam persaingan ekonomi serantau dan usaha pembanterasan rasuah dan penyelewengan. Kita tidak mempunyai masa lagi sehingga PRU-14 dan PRU-15 untuk ke Putrajaya kerana kita tidak mahu negara terus ketinggalan dalam membina kemakmuran ekonomi dan keadilan sejagat.

Justeru, sesama kita perlu elakkan pergeseran secara terbuka yang boleh membina persepsi negatif terhadap parti PKR dan Pakatan Rakyat. Kita perlu bergerak secara bersepadu terhadap memenangi dan menjuarai perjuangan rakyat. Rakyat perlu diberi kesedaran untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dan PKR bukan sekadar ikut-ikutan dan emosi. Penjelasan dan kefahaman terhadap perjuangan unggul dan utama Pakatan Rakyat perlu diwar-warkan setiap masa dan ketika.

The future is here’ dan untuk cara terbaik untuk meramal masa hadapan adalah kita merancang dan melaksana agenda dan gagasan besar kita masakini. Gagasan besar untuk menggarap impian rakyat Malaysia terletak kepada para pendukung Angkatan Muda Keadilan seluruhnya tanpa berkecuali. Kita perlu mempunyai jiwa dan semangat besar dalam parti PKR ini dan perjuangan yang amat panjang ini.

Mungkin dalam perjuangan yang panjang ini, maka kita akan lihat beberapa individu yang cepat lemah, layu dan tidak sabar dalam perjuangan. Yang tidak sabar dan mementingkan diri mungkin mengambil keputusan lompat parti atau bertindak yang boleh memusnahkan nama baik parti dan perjuangan. Dalam perjuangan yang panjang ini semua pendukung AMK perlu ada ketahanan mental dan dalaman.

Akhirnya, AMK Selangor mengucapkan selamat berjuang dalam tahun 2010 ini. Kita adalah pejuang rakyat yang akan menyelamatkan Malaysia dan membawa negara ini mendepani perubahan dan membina negara ini menjadi sebuah negara madani dan impian untuk semua.

Disediakan oleh :

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan , AMK Selangor

AMK Selangor Desak Kerajaan Kemukakan Laporan Penuh Kehilangan Enjin Pesawat Tempur F-5 E Kepada Rakyat.

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

31hb Disember 2009

AMK Selangor Desak Kerajaan Kemukakan Laporan Penuh Kehilangan Enjin Pesawat Tempur F-5 E Kepada Rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar kerajaan segera mengemukakan laporan penuh kehilangan dua buah enjin pesawat tempur F5-E kepada rakyat. AMK Selangor mempertahankan kepentingan rakyat bahawa mereka mempunyai ‘hak mutlak’ untuk mengetahui laporan penuh tersebut sebagai pembayar cukai kepada kerajaan. Kita tidak mahu laporan yang dikemukakan nanti tidak menyeluruh segala aspek dengan pelbagai alasan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan pelbagai sekatan-sekatan lain.

AMK Selangor juga menggesa kerajaan dan pihak tentera mengkaji dan memperbaiki segala aspek prosedur keselamatan berkaitan aset ketenteraan, maklumat rahsia dan pangkalan-pangkalan tentera di seluruh negara. Kini,wujud kebimbangan besar dikalangan rakyat terhadap keampuhan sistem pertahanan negara akibat beberapa insiden besar yang mencalarkan imej pertahanan negara sebelum ini.

Beberapa langkah perlu dan drastik perlu dilaksanakan untuk memperbaiki sistem pertahanan negara daripada mudah diceroboh oleh anasir-anasir dalam dan luar. Kelengkapan dan persenjataan para anggota tentera juga perlu dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa dan akan datang. Malahan aspek jatidiri dan integriti anggota keselamatan perlu dipertingkatkan khususnya kekuatan rohani sebagai benteng paling ampuh dan mantap.

Cadangan agar diwujudkan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat kes kehilangan enjin ini adalah amat baik namun sewajarnya tindakan proaktif selepas siasatan perlu diutamakan. AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi agar kes ini dipandang paling serius dan yang terakhir agar selepas ini sistem keselamatan negara tidak dipandang rendah oleh negara luar dan pihak yang ingin mengancam keselamatan negara.

Prosedur pembelian aset ketenteraan juga perlu diperbaiki dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti strategik di masa hadapan, penyelenggaraan dan peningkatan keupayaan. Kita tidak mahu para anggota tentera dibekalkan dengan aset persenjataan yang lapuk dan ‘second hand’ serta tidak memenuhi standart dan keperluan semasa untuk mempertahankan keselamatan negara.

Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi menggesa agar laporan siasatan yang dikemukakan kelak adalah menyeluruh dan mengemukakan cadangan bernas dan efektif untuk memperbaiki kelemahan sedia ada yang wujud. Kita tidak mahu para anggota tentera negara menjadi ‘mangsa’ akibat kelalaian sesetengah pihak yang sekadar mengaut keuntungan besar daripada urusan jual beli persenjataan negara.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Rabu, 30 Disember 2009

AMK Selangor Gesa Rakyat Tolak UMNO/BN Dalam PRU-13

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

30hb Disember 2009

AMK Selangor Gesa Rakyat Tolak UMNO/BN Dalam PRU-13

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat di Selangor untuk terus menerajui dan membawa kesinambungan pembaharuan dan perubahan. Kenyataan terkini beberapa pemimpin UMNO/BN untuk merampas Selangor menggunakan apa cara jua taktik kotor dilihat sebagai usaha terdesak pihak desperado politik.

Kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melaksanakan pembaharuan ekonomi dalam program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat serius dalam memakmurkan ekonomi rakyat. AMK Selangor mencabar pihak pembangkang UMNO/BN Selangor untuk tampil membawa gagasan besar untuk memajukan Selangor dan bukan membawa politik pecah-belah,fitnah dan perkauman sempit.

Semenjak UMNO/BN menjadi pembangkang di Selangor belum pernah rakyat Selangor melihat kemampuan mereka menjadi pembangkang yang bertanggungjawab seperti yang mereka laung-laungkan kepada pihak pembangkang sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa UMNO/BN Selangor tidak berkemampuan,lemah dan kaku akibat perpecahan dalaman yang teruk dan terus membusuk.

Realitinya rakyat Selangor kini mengetahui dan bertambah yakin bahawa Pakatan Rakyat sahaja yang berupaya tampil membawa gagasan besar untuk meraih kejayaan impian setiap rakyat Selangor. Semenjak 20 bulan Pakatan Rakyat mengambil alih, gelombang pembaharuan dalam pelbagai aspek yang dilaksanakan semakin mendapat sokongan rakyat. Malahan generasi muda masa kini terus meletakkan keyakinan yang tinggi kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk terus tampil dengan gagasan dan pembaharuan khususnya dalam pembangunan insan, kemakmuran ekonomi dan tahap kehidupan yang berkualiti.

Mutakhir ini ada segelintir pemimpin UMNO/BN yang takbur dan mendabik dada ingin merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. AMK Selangor ingin mengingatkan bahawa jatuhnya sekali lagi Selangor ke tangan UMNO/BN maka akan kembalinya pelbagai bentuk koropsi,skandal dan penyelewengan wang rakyat yang menjadi budaya UMNO/BN. Apakah UMNO/BN bersedia untuk terus melaksanakan pemberian air percuma 20ml/3 kepada rakyat Selangor di mana sebelum ini pihak UMNO/BN bermati-matian menentang program air percuma ini yang dianggap pembaziran. AMK Selangor ingin mencabar apakah UMNO/BN Selangor bersedia mengatakan skandal PKFZ yang mencapai berbillion Ringgit Malaysia adalah satu pembaziran besar wang rakyat ?.

AMK Selangor juga ingin menjelaskan agar rakyat Selangor berhati-hati dengan propaganda murahan UMNO/BN yang semakin tertekan kini. Mereka akan membuat apa sahaja untuk terus memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai taktik kotor,sabotaj dan politik adu-domba dan perkauman sempit. AMK Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan daya fikir rakyat Selangor yang mendapat pendedahan daripada pelbagai sumber maklumat yang tepat dan sahih.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa supaya rakyat terus memberi dokongan dan sokongan yang kuat untuk Pakatan Rakyat Selangor mendepani perubahan dan pembaharuan di negara ini. Kita sudah tiada masa yang panjang untuk terus terjerumus dengan politik murahan UMNO/BN yang semakin hari menghitung saat dan ketikanya untuk padam daripada kamus politik negara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Khamis, 24 Disember 2009

Isu Qazaf: Sheikh Yusuf Al-Qaradawi bela Anwar

Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 25 tahun yang lalu. Ketika itu Anwar adalah presiden Abim.

Apabila Anwar menyertai kerajaan, hubungan kami masih akrab. Setelah Anwar difitnah dan dipenjarakan, saya sering mendoakan agar beliau tabah dan tidak mengalah. Sekarang beliau adalah harapan kepada rakyat yang mencintai keadilan dan kemanan sejagat.

Saya minta tuan-tuan dan puan-puan agar bersama-sama Anwar Ibrahim untuk mengangkat martabat kemanusian yang meletakkan keadilan dan prinsip Islam sebagai asas perjuangan.”

- Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi , 19 Disember 2009

Dari The Malaysian Insider

PETALING JAYA, Dis 23 — Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini, dikatakan mahu membawa isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum lagi dijalankan ke peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noorin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata jaminan itu diberikan oleh Dr. Yusuf kelmarin ketika mengadakan pertemuan dengan Anwar, keluarga dan peguam-peguamnya di ibu negara.

“Dalam berbual itu, isu persoalan sistem Mahkamah Syariah di Malaysia menjadi topik perbincangan, Sheikh Yusuf menyatakan kekesalannya kerana isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar tidak dijalankan lagi.

“Lalu kami menjelaskan kepada beliau tentang dwisistem yang kita amalkan. Tetapi malang kerana Ketua Pendakwa Syarie Kuala Lumpur memilih untuk menunggu kes pertuduhan di Mahkamah Jenayah Sivil selesai sedangkan ia akan mengambil masa bertahun-tahun.

“Sedangkan persoalan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti si penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kata Sheikh Yusuf, persaksian si penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana ia termasuk golongan fasiq,” katanya.

Sehubungan itu kata Zulkifli, Ketua Pendakwa Syarie perlu menyedari keperluan tersebut dan wajib menegakkan hukum Islam, bukan sekadar menjadi “tukang na’am” kepada pihak tertentu.

“Saya dapat melihat kekesalan yang amat sangat di wajah Sheikh Yusuf, agaknya dia mula kesal menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah yang diberikan kepadanya?

“Dan, paling mengejutkan saya bila Sheikh Yusuf menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri dalam hal ini. Malah beliau berjanji akan membawa isu ini ke peringkat ulama antarabangsa, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pengerusi majlis ulama sedunia,” katanya.

Zulkifli berkata Dr. Yusuf juga menyarankan beliau supaya menemui beberapa tokoh dan ilmuan syarie peringkat dunia untuk mendapatkan pandangan dan fatwa mereka.

Anwar, 62, yang juga penasihat PKR membuat laporan di bawah kesalahan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa bekas majikan itu telah meliwatnya Jun 2008.

Kesnya kini didengar di mahkamah sivil.

Doa Syeikh Wahbah Buat Anwar Ibrahim

Beruntungnya kami sekeluarga kerana minggu ini dirahmati dengan kunjungan dua orang ulama tersohor; Syeikh Yusuf al Qaradawi dan Syeikh Wahbah al Zuhaili, ulama asal Syiria. Syeikh Wahbah, pengarang tafsir Al Munir yang terkenal itu, mendoakan saya dan pendokong keadilan lainnya untuk terus istiqamah dengan perjuangan bagi membawa kemaslahatan buat rakyat keseluruhannya.

Ujian terhadap mereka yang ingin melawan kebatilan sebenarnya dirasai malah dikongsi oleh para pendokong kebenaran baik dari timur hingga ke barat. Beliau malah menyeru agar terus bermuafakat dan bekerjasama untuk mengembalikan negara ini ke haluan asalnya; agar rakyat merdeka dari kebobrokan.

Syeikh Wahbah menukilkan pesanan Syeikh Rashid Redha buat renungan hadirin sekalian agar bekerjasama di atas apa yang kita sepakati dan meminggirkan apa yang kita perselisihkan. Saya sangat menghargai keperihatinan beliau terhadap fitnah yang menimpa. Syeikh Wahbah bertegas agar fitnah terhadap saya ditentang habis-habisan. Pesan beliau seseorang muslim itu bersaudara dengan muslim yang lain maka perteguhkan lah tekad demi membenam kebejatan yang mendatang.

Nabi Yusuf a.s dijadikan iktibar kerana baginda menjadi mangsa fitnah namun tetap beriltizam membuktikan kebenaran dan menyampaikan yang hak. Syeikh Wahbah menasihati bahawasanya ujian fitnah itu, insyaallah akan menjadi pelantar buat kita melonjak lebih jauh demi kesejahteraan negara yang dicintai. Di akhir majlis, beliau pohon hadirin bersama menunaikan solat hajat khas – membebaskan saya dari penindasan dan mengangkat ke tempat sewajarnya.

ANWAR IBRAHIM

Selasa, 15 Disember 2009

Majoriti Amat Tipis Kelulusan Bajet 2010 : Kemenangan Moral Besar Kepada Pakatan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

15hb Disember 2009

Majoriti Amat Tipis Kelulusan Bajet 2010 : Kemenangan Moral Besar Kepada Pakatan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat majoriti tipis terhadap usul Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi makna dan pengertian besar terhadap Pakatan Rakyat. Ianya memberi petunjuk aras, bahawa kehadiran Pakatan Rakyat di Parlimen kini sudah bersedia untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada masa terdekat ini dalam pilihanraya akan datang.

Undi majoriti yang terlalu tipis terhadap bajet sulong Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi imej yang buruk dan merudumnya keyakinan terhadap kepimpinannya. Malahan belum pernah ada Perdana Menteri Malaysia sebelum ini yang mengalami situasi amat getir dan gawat semasa membentangkan bajet yang memerlukan kelulusan daripada Ahli Parlimen. Mengikut amalan House of Commons, jika Bajet 2010 ditolak di Dewan Rakyat ia bermakna wujudnya undi tidak percaya terhadap kerajaan semasa.

Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib hampir-hampir sahaja ditolak ketika mana sebelum itu Dewan Rakyat dimaklumkan melalui usul oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa Bajet 2010 tidak lagi relevan. Ianya disebabkan oleh laporan unjuran Petronas terbaru yang menyatakan akan mengalami kekurangan hasil hampir RM58 Billion. Pastinya kebergantungan negara yang amat ketara kepada hasil daripada Petronas mengundang rasa cemas dan tidak menentu kepada rakyat terhadap keupayaan Bajet 2010.

AMK Selangor sebelum ini telah mendesak agar Bajet 2010 ini dikaji semula berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan terbaru negara. Maka adalah tidak menjadi satu kesalahan jika Bajet 2010 yang dibentangkan dikaji semula. Namun undi kelulusan majoriti terlalu tipis memberi gambaran bahawa keyakinan terhadap Bajet 2010 semakin jatuh merudum terhadap keupayaan ia dilaksanakan dengan jayanya.

Situasi yang berlaku di Dewan Rakyat tersebut memberikan semangat dan keyakinan besar kepada pendukung Pakatan Rakyat khususnya menjelang Konvensyen Pakatan Rakyat buat pertama kalinya yang akan berlangsung pada 19hb Disember 2009. AMK Selangor berkeyakinan sudah tiba waktu dan saatnya rakyat di seluruh negara memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan pada pilihanraya ke-13 yang mungkin diadakan pada seawal 2011.

AMK Selangor melihat peranan yang lebih besar terhadap keupayaan Pakatan Rakyat membawa perubahan, gagasan baru dan aspirasi besar terhadap mengembalikan negara dilandasan sebenar dalam semua aspek. Rakyat yang saban hari cuba dimomokkan dengan pelbagai gambaran negatif terhadap keupayaan Pakatan Rakyat kini boleh memberikan dan menyandarkan harapan besar perubahan yang boleh dilaksanakan di negara ini.

Prestasi terhadap keupayaan tadbir urus cekap, berintegriti dan telus telah berjaya dilaksanakan di semua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Malahan kenyataan ini disokong dan diakui sendiri oleh pihak-pihak dan pakar-pakar dalam negara dan antarabangsa.

Akhirnya, AMK Selangor menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan prestasi Pakatan Rakyat yang semakin meningkat baik dari masa ke semasa. Apa yang diharapkan adalah gerak usaha yang lebih gigih pendukung dan penggerak Pakatan Rakyat merealisasikan kemenangan menuju ke Putrajaya dan menggilap harapan rakyat. Dan terpenting adalah agar suara rakyat terus diperjuangkan dan nasib masa hadapan negara diselamatkan. Kita semua perlu berfikir , bertindak dan yakin bersama-sama membina negara yang lebih hebat, berkebajikan dan madani.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Rabu, 9 Disember 2009

AMK Selangor Mengalu-alukan Keputusan Kerajaan Negeri Memperkasakan Pendidikan Islam Di Selangor

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

09hb Disember 2009

AMK Selangor Mengalu-alukan Keputusan Kerajaan Negeri Memperkasakan Pendidikan Islam Di Selangor

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Selangor dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini khususnya berkenaan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama. Malahan kesediaan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat untuk memperuntukkan tanah untuk membina Sekolah Menengah Agama (SMA) membuktikan keprihatinan kerajaan negeri berkenaan pendidikan Islam di negeri ini.

Untuk rekod terdapat 480 buah sekolah rendah agama (SRA) dan 23 buah sekolah menengah agama (SMA) di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor. Justeru jumlah Sekolah Agama Menengah ini amat kecil untuk menampung jumlah permintaan yang tinggi untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

Ibubapa masakini lebih cenderung dan meletakkan kenyakinan tinggi untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang berlatarbelakangkan pendidikan agama yang juga menawarkan pelajaran seperti di sekolah menengah biasa. Ini adalah untuk memastikan masa hadapan anak-anak mereka mempunyai asas pendidikan agama yang mantap dan kukuh untuk berhadapan cabaran kegawatan moral dan akhlak masa kini dan era globalisasi yang serba mencabar.

AMK Selangor juga mohon mencadangkan dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di Selangor beberapa cadangan dikemukakan untuk dilaksanakan :

Pertama : Memperkukuh dan memantapkan modul kurikulum dan kokurikulum pendidikan sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama. Ianya untuk memastikan pelajar mempunyai kelebihan tersendiri dalam aliran ini untuk mereka berhadapan di dunia persaingan sejagat yang serba mencabar.

Kedua : Pemilihan dan pengukuhan jati diri warga pendidik yang mampu menggalas tugas dan amanah bagi memastikan kecemerlangan pendidikan Islam dan lahirnya warga pendidik berjiwa murabbi yang mendidik bukan sekadar pada soal pelajaran sahaja tetapi mengangkat potensi pelajar dan pembentukan insan hebat daripada sudut dunia dan akhirat.

Ketiga : Memperbaiki dan memastikan kebajikan warga pendidik di sekolah rendah agama dan menengah agama terus terbela. Sistem tangga gaji dan elaun, skim perjawatan dan perumahan yang lebih menarik disediakan dengan sistematik dan efektif.

Keempat : Skim pemberian biasiswa dan bantuan pelajaran yang lebih baik disediakan untuk memastikan kesinambungan pendidikan yang berterusan di mana akhirnya pelajar tersebut mampu memberi sumbangan besar kembali kepada negara dan ummah.

Kelima : Sokongan berterusan kerajaan,professional dan PIBG dalam usaha memperkasakan pendidikan agama Islam dan memastikan pelajar-pelajar di aliran ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah dan global.

Untuk memastikan pemerkasaan pendidikan Islam di Selangor direalisasikan. Kerajaan Persekutuan boleh bersama-sama menjayakan usaha ini dengan menyediakan peruntukan khusus untuk pembinaan tambahan Sekolah Menengah Agama di Selangor. Perbezaan pandangan politik tidak sewajarnya menjadi penghalang dalam usaha murni ini kerana ia adalah soal kepentingan ummah pada masakini dan masa hadapan.

AMK Selangor juga mengalu-alukan penubuhan Yayasan Pendidikan Islam Selangor dalam usaha memastikan sekolah rendah agama dan menengah agama terus mendapat dana kewangan dan sokongan yang mantap dan berterusan. Ianya diharap dapat mengelakkan kebergantungan hanya kepada sumber daripada kerajaan yang terhad.

AMK Selangor juga mencadangkan agar Yayasan Pendidikan Islam Selangor kelak dapat menilai idea pembinaan sekolah menengah agama yang berasaskan Sistem Wakaf yang akan disumbangkan oleh individu, korporat dan syarikat dalam bentuk hartanah,aset dan kewangan. Idea ini diharap mampu membudayakan jiwa rakyat yang berjiwa pemurah dan murni kerana pahala daripada sistem wakaf ini adalah berterusan.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa semua pihak bersama-sama menggembeling usaha dan tenaga memperkasakan pendidikan Islam di Selangor. Malahan usaha kerajaan Selangor yang memberikan keperihatinan kepada sekolah jenis aliran Cina dan Tamil sebelum ini amat dihargai dan disanjung tinggi. Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat membela nasib pendidikan semua kaum dan agama dalam usaha membina pembangunan sumber daya insan yang unggul dan cemerlang.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor