Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
31hb Disember 2009
AMK Selangor Desak Kerajaan Kemukakan Laporan Penuh Kehilangan Enjin Pesawat Tempur F-5
Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar kerajaan segera mengemukakan laporan penuh kehilangan dua buah enjin pesawat tempur F5-E kepada rakyat. AMK Selangor mempertahankan kepentingan rakyat bahawa mereka mempunyai ‘hak mutlak’ untuk mengetahui laporan penuh tersebut sebagai pembayar cukai kepada kerajaan. Kita tidak mahu laporan yang dikemukakan nanti tidak menyeluruh segala aspek dengan pelbagai alasan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan pelbagai sekatan-sekatan lain.
AMK Selangor juga menggesa kerajaan dan pihak tentera mengkaji dan memperbaiki segala aspek prosedur keselamatan berkaitan aset ketenteraan, maklumat rahsia dan pangkalan-pangkalan tentera di seluruh negara. Kini,wujud kebimbangan besar dikalangan rakyat terhadap keampuhan sistem pertahanan negara akibat beberapa insiden besar yang mencalarkan imej pertahanan negara sebelum ini.
Beberapa langkah perlu dan drastik perlu dilaksanakan untuk memperbaiki sistem pertahanan negara daripada mudah diceroboh oleh anasir-anasir dalam dan luar. Kelengkapan dan persenjataan para anggota tentera juga perlu dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa dan akan datang. Malahan aspek jatidiri dan integriti anggota keselamatan perlu dipertingkatkan khususnya kekuatan rohani sebagai benteng paling ampuh dan mantap.
Cadangan agar diwujudkan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat kes kehilangan enjin ini adalah amat baik namun sewajarnya tindakan proaktif selepas siasatan perlu diutamakan. AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi agar kes ini dipandang paling serius dan yang terakhir agar selepas ini sistem keselamatan negara tidak dipandang rendah oleh negara luar dan pihak yang ingin mengancam keselamatan negara.
Prosedur pembelian aset ketenteraan juga perlu diperbaiki dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti strategik di masa hadapan, penyelenggaraan dan peningkatan keupayaan. Kita tidak mahu para anggota tentera dibekalkan dengan aset persenjataan yang lapuk dan ‘second hand’ serta tidak memenuhi standart dan keperluan semasa untuk mempertahankan keselamatan negara.
Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi menggesa agar laporan siasatan yang dikemukakan kelak adalah menyeluruh dan mengemukakan cadangan bernas dan efektif untuk memperbaiki kelemahan sedia ada yang wujud. Kita tidak mahu para anggota tentera negara menjadi ‘mangsa’ akibat kelalaian sesetengah pihak yang sekadar mengaut keuntungan besar daripada urusan jual beli persenjataan negara.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor