Khamis, 24 Disember 2009

Doa Syeikh Wahbah Buat Anwar Ibrahim

Beruntungnya kami sekeluarga kerana minggu ini dirahmati dengan kunjungan dua orang ulama tersohor; Syeikh Yusuf al Qaradawi dan Syeikh Wahbah al Zuhaili, ulama asal Syiria. Syeikh Wahbah, pengarang tafsir Al Munir yang terkenal itu, mendoakan saya dan pendokong keadilan lainnya untuk terus istiqamah dengan perjuangan bagi membawa kemaslahatan buat rakyat keseluruhannya.

Ujian terhadap mereka yang ingin melawan kebatilan sebenarnya dirasai malah dikongsi oleh para pendokong kebenaran baik dari timur hingga ke barat. Beliau malah menyeru agar terus bermuafakat dan bekerjasama untuk mengembalikan negara ini ke haluan asalnya; agar rakyat merdeka dari kebobrokan.

Syeikh Wahbah menukilkan pesanan Syeikh Rashid Redha buat renungan hadirin sekalian agar bekerjasama di atas apa yang kita sepakati dan meminggirkan apa yang kita perselisihkan. Saya sangat menghargai keperihatinan beliau terhadap fitnah yang menimpa. Syeikh Wahbah bertegas agar fitnah terhadap saya ditentang habis-habisan. Pesan beliau seseorang muslim itu bersaudara dengan muslim yang lain maka perteguhkan lah tekad demi membenam kebejatan yang mendatang.

Nabi Yusuf a.s dijadikan iktibar kerana baginda menjadi mangsa fitnah namun tetap beriltizam membuktikan kebenaran dan menyampaikan yang hak. Syeikh Wahbah menasihati bahawasanya ujian fitnah itu, insyaallah akan menjadi pelantar buat kita melonjak lebih jauh demi kesejahteraan negara yang dicintai. Di akhir majlis, beliau pohon hadirin bersama menunaikan solat hajat khas – membebaskan saya dari penindasan dan mengangkat ke tempat sewajarnya.

ANWAR IBRAHIM