Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
15hb Disember 2009
Majoriti Amat Tipis Kelulusan Bajet 2010 : Kemenangan Moral Besar Kepada Pakatan Rakyat
Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat majoriti tipis terhadap usul Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi makna dan pengertian besar terhadap Pakatan Rakyat. Ianya memberi petunjuk aras, bahawa kehadiran Pakatan Rakyat di Parlimen kini sudah bersedia untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada masa terdekat ini dalam pilihanraya akan datang.
Undi majoriti yang terlalu tipis terhadap bajet sulong Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi imej yang buruk dan merudumnya keyakinan terhadap kepimpinannya. Malahan belum pernah ada Perdana Menteri Malaysia sebelum ini yang mengalami situasi amat getir dan gawat semasa membentangkan bajet yang memerlukan kelulusan daripada Ahli Parlimen.
Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib hampir-hampir sahaja ditolak ketika mana sebelum itu Dewan Rakyat dimaklumkan melalui usul oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa Bajet 2010 tidak lagi relevan. Ianya disebabkan oleh laporan unjuran Petronas terbaru yang menyatakan akan mengalami kekurangan hasil hampir RM58 Billion. Pastinya kebergantungan negara yang amat ketara kepada hasil daripada Petronas mengundang rasa cemas dan tidak menentu kepada rakyat terhadap keupayaan Bajet 2010.
AMK Selangor sebelum ini telah mendesak agar Bajet 2010 ini dikaji semula berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan terbaru negara. Maka adalah tidak menjadi satu kesalahan jika Bajet 2010 yang dibentangkan dikaji semula. Namun undi kelulusan majoriti terlalu tipis memberi gambaran bahawa keyakinan terhadap Bajet 2010 semakin jatuh merudum terhadap keupayaan ia dilaksanakan dengan jayanya.
Situasi yang berlaku di Dewan Rakyat tersebut memberikan semangat dan keyakinan besar kepada pendukung Pakatan Rakyat khususnya menjelang Konvensyen Pakatan Rakyat buat pertama kalinya yang akan berlangsung pada 19hb Disember 2009. AMK Selangor berkeyakinan sudah tiba waktu dan saatnya rakyat di seluruh negara memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan pada pilihanraya ke-13 yang mungkin diadakan pada seawal 2011.
AMK Selangor melihat peranan yang lebih besar terhadap keupayaan Pakatan Rakyat membawa perubahan, gagasan baru dan aspirasi besar terhadap mengembalikan negara dilandasan sebenar dalam semua aspek. Rakyat yang saban hari
Prestasi terhadap keupayaan tadbir urus cekap, berintegriti dan telus telah berjaya dilaksanakan di semua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Malahan kenyataan ini disokong dan diakui sendiri oleh pihak-pihak dan pakar-pakar dalam negara dan antarabangsa.
Akhirnya, AMK Selangor menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan prestasi Pakatan Rakyat yang semakin meningkat baik dari masa ke semasa. Apa yang diharapkan adalah gerak usaha yang lebih gigih pendukung dan penggerak Pakatan Rakyat merealisasikan kemenangan menuju ke Putrajaya dan menggilap harapan rakyat. Dan terpenting adalah agar suara rakyat terus diperjuangkan dan nasib masa hadapan negara diselamatkan. Kita semua perlu berfikir , bertindak dan yakin bersama-sama membina negara yang lebih hebat, berkebajikan dan madani.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor