Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
18hb April 2010
Bangunlah Generasi Muda Felda !
Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa generasi muda Felda di Felda Sungai Tengi, Gedangsa dan Soeharto menyatakan pendirian tegas dan isyarat jelas kepada kerajaan pusat. Sudah tiba masanya anak-anak Felda yang terpaksa keluar mencari rezeki dan kehidupan baru menyatakan hak dan sikap tegas di atas kegagalan Barisan Nasional membawa gagasan masa hadapan baru yang lebih cerah.
Kini anak-anak generasi Felda yang berada di Parlimen Hulu Selangor mempunyai peluang terbuka untuk membela nasib dan kepentingan mereka dan juga di seluruh negara. Harapan menggunung daripada anak-anak generasi Felda seluruh negara diletakkan kepada suara pengundi di Hulu Selangor. Kegagalan menyatakan pembelaan tegas hanya akan menyebabkan generasi muda anak-anak Felda terkapai-kapai masa hadapannya.
Sebenarnya ramai anak-anak muda Felda yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang serta berpotensi namun tidak diambil peduli untuk bekerja dengan Felda walaupun ada peratusannya amat kecil. Justeru di mana masa hadapan generasi muda Felda untuk mendapat kehidupan yang lebih sempurna,selasa dan terjamin.
Kita melihat cabaran generasi muda Felda yang berhadapan isu pengangguran,gejala sosial dan penagihan dadah. Masalah ini kurang diambil perhatian serius yang menyebabkan ia terus berpanjangan tanpa penyelesaian menyeluruh.
Justeru dengan kehadiran calon berwibawa Datuk Zaid Ibrahim yang memahami masalah yang ada di tanah rancangan FELDA maka suara pembaharuan generasi muda Felda boleh disuarakan dengan lebih nyaring di Parlimen. Maka dengan adanya calon berwibawa seperti beliau maka nasib dan pembelaan generasi muda FELDA mempunyai wakil di Parlimen kelak.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor