Selasa, 25 Mei 2010

PM Perlu Perjelas Isu KTMB Tanjong Pagar Di Parlimen

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

25hb Mei 2010

PM Perlu Perjelas Isu KTMB Tanjong Pagar Di Parlimen

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Perdana Menteri,Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi penjelasan di Parlimen isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands. Kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan butiran perjanjian bersama PM Singapura,Lee Hsien Loong agar rakyat dimaklumkan isu berkenaan dengan ini dengan jelas dan munasabah.

AMK Selangor melihat seolah-olah Perdana Menteri mudah ‘tunduk melutut’ kepada permintaan negara-negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara. Dalam isu KTMB ini,kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60% Malaysia dan 40% Singapura.

Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun. Menjelang hujung tahun ini satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60% milik Malaysia dan 40% milik Singapura.Apakah berbaloi Malaysia akur dengan persetujuan ini dalam masa pendek dan panjang ?.

AMK Selangor mempersoalkan penubuhan syarikat ini berkenaan pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura kelak melalui Temasek Holdings Limited.Malahan sebelum ini Malaysia yang sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands. Kali ini sekali lagi negara bakal kerugian besar terhadap potensi masa hadapan yang tidak dapat dikenalpasti dan dinilai pada masa sekarang.

AMK Selangor juga melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia sedikit demi sedikit yang kelak merugikan negara. Perkara ini ada disebut dalam kenyataan media bersama antara kedua-kedua Perdana Menteri pada 24hb Mei 2010 lepas.

“ For the convenience of commuters, the rapid transit system link will have a single co-located CIQ facility in Singapore with the exact location to be determined later. It is targeted that the proposed rapid transit system link will be operational by 2018. Thereafter Malaysia may consider to relocate the KTMB Station from Woodlands to Johor.”

AMK Selangor juga menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan di Parlimen pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura perkara-perkara yang dibincangkan yang perlu diketahui oleh rakyat. Kita tidak mahu,media-media hanya mengumumkan perkara-perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu-isu yang amat penting berkenaan hak dan kedaulatan negara.

AMK Selangor menggesa agar kerajaan bertegas dan tidak mudah tunduk kepada negara luar khususnya yang melibatkan hak dan kedaulatan negara. Rakyat tidak sanggup melihat negara kerugian besar di masa hadapan akibat kegagalan Perdana Menteri masakini melihat dan berpandangan futuristik membuat keputusan tepat dan terbaik untuk negara.

Kita menggesa agar rakyat bangkit mempersoalkan kewajaran keakuran kerajaan Malaysia berkenaan isu-isu dengan Singapura mutakhir ini. Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai dan digadai kepada negara luar dengan mudahnya. Negara ini adalah hak, amanah dan tanggungjawab kita semua bersama-sama.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Ahad, 23 Mei 2010

Hapuskan Judi Bukan Kaji

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

23hb Mei 2010

Hapuskan Judi Bukan Kaji

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar kerajaan menghapuskan terus judi bola sepak Piala Dunia 2010 bukan mengkaji apabila jelas bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa dilontarkan. Kita menggesa agar kelulusan kebenaran judi pertaruhan bola sepak dibatalkan segera.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group. Sepatutnya kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia.

Justeru,kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan ialah memastikan rakyat hidup dalam suasana yang berteraskan syariah dan menepati budaya murni universal pelbagai agama dan bangsa. Kita bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah,budaya jijik dan konflik keluarga.

AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan UMNO/BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai kepribadian mulia dan unggul. Jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda.

Justeru, rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar. Kita perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Sabtu, 22 Mei 2010

Pemotongan Subsidi Hanya Bebankan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

22hb Mei 2010

Pemotongan Subsidi Hanya Bebankan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor bimbang pelan pemotongan subsidi oleh pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib Razak bakal mencetuskan impak negatif kepada kehidupan rakyat. Rakyat kini amat tertekan bahawa pemotongan subsidi keperluan rakyat hanya akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat tatkala keadaan pendapatan boleh guna rakyat kian merosot.

Justeru,AMK Selangor menyatakan ketegasan kepada pentadbiran Najib Razak agar jika masih mahu melaksanakan penstrukturan subsidi. Rakyat sewajibnya tidak dibebani dengan sebarang kenaikan harga keperluan dan perkhidmatan. Malahan soal pembaziran,penyelewengan dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan perlu diberi perhatian sebelum melaksanakan polisi yang akan menyusahkan kehidupan rakyat kelak.

AMK Selangor membidas kerajaan yang dilihat semakin hilang fokus dalam membawa idea-idea yang boleh meningkatkan kualiti pendapatan boleh guna rakyat. Ketika mana kerajaan mewar-warkan pertumbuhan suku pertama 2010 mencecah 10 peratus namun ia tidak mencerminkan kehidupan sebenar rakyat. Kita mahu kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kita juga menggesa penstrukturan semula subsidi ini mengambil kira kesusahan rakyat khususnya kepada perkara asas seperti subsidi bahan api, gula , tepung, makanan,pertanian dan item-item yang menjadi keperluan utama rakyat. AMK Selangor amat prihatin kepada nasib rakyat kelak jika penstrukturan semula subsidi ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat yang selama ini sudah dibebani dengan kenaikan kos sara hidup dan keperluan yang terus meningkat.

AMK Selangor akan terus memastikan jika kerajaan pimpinan Najib Razak melaksanakan penstrukturan semula subsidi kelak. Jangan sesekali mendahulukan rakyat untuk dijadikan mangsa polisi penstrukturan subsidi semula.Kita mahu kerajaan membanteras pembaziran , memerangi rasuah serta mengelakkan ketirisan perbelanjaan negara sebelum melaksanakan sebarang polisi baru.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Isnin, 17 Mei 2010

AMK Selangor Desak Wee Choo Keong Letak Jawatan Ahli Parlimen Wangsa Maju

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

17hb Mei 2010

AMK Selangor Desak Wee Choo Keong Letak Jawatan Ahli Parlimen Wangsa Maju

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa maju segera. Beliau yang menang dalam PRU-12 sewajarnya melepaskan jawatannya dan bertanding semula atas kapasiti bebas kerana rakyat memilihnya atas tiket PKR pada ketika itu.

AMK Selangor yakin tindakan keluar parti Wee Chee Keong ketika saat pilihanraya kecil Parlimen Sibu sedang berlangsung adalah tindakan politik yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan sedemikan adalah tidak bermaruah dan memalukan kerana mengkhianati amanah dan perjuangan rakyat.

AMK Selangor juga menggesa wakil-wakil rakyat yang keluar daripada PKR mutakhir ini melepaskan jawatannya segera. Mereka sepatutnya malu kerana mereka menang bukan kekuatan nama sendiri tetapi rakyat memilih kerana yakin dengan perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat.

Perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat tidak akan lemah dan longlai dengan tindakan keluar parti. Sebagai bukti kemenangan Pakatan Rakyat melalui DAP di Sibu adalah petanda rakyat memberi sokongan kuat dan mantap kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Justeru kemenangan ini adalah langkah bermakna Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak dalam pilihanraya DUN Sarawak.

AMK Selangor mengucapkan tahniah atas kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Sibu. Ia menjadi pembakar semangat untuk mengorak langkah ke Putrajaya dalam PRU-13. Kita akan terus mendepani perubahan kerana hanya ini langkah terbaik dan tepat untuk membawa agenda ‘Selamatkan Malaysia’.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Khamis, 13 Mei 2010

AMK Selangor Kecewa Ketua Polis Negara dan Selangor Enggan Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa Aminulrashid

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Selangor

13hb Mei 2010

AMK Selangor Kecewa Ketua Polis Negara dan Selangor Enggan Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa Aminulrashid

Angkatan Muda Keadilan Selangor kecewa dengan keengganan Ketua Polis Negara dan Selangor memohon maaf kepada keluarga mangsa arwah Aminulrashid akibat tembakan pihak polis. Perkara sedemikian amat mendukacitakan kerana sewajarnya pihak PDRM wajar menunjukkan professionalismenya.

AMK Selangor yakin, maruah dan imej PDRM tidak akan jatuh merudum jika bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa. Malahan imej tercalar teruk mutakhir ini boleh diperbaiki dengan kesediaan permohonan maaf.

PDRM sewajarnya membersihkan nama baik arwah Aminulrashid dengan dakwaannya sebelum ini. Kita mahu pihak keluarga tidak dibebani dengan dakwaan yang dikemukakan pihak PDRM sebelum ini.

Dalam pada itu,AMK Selangor menggesa sekali lagi agar standart dan prosedur PDRM diperbaiki dan perkemaskan untuk menangani daripada kejadian sedemikian berulang kembali. Kita yakin,pasukan PDRM mampu menangani situasi sedemikian dengan baik kerana mutu dan kerja professionalisme PDRM sebagai pasukan keselamatan amat diperlukan oleh rakyat dan negara.

Kita juga menggesa agar tekanan kerja yang dihadapi oleh pasukan polis selama ini dikaji dan diperbaiki . Ia untuk memastikan mereka mampu menangani bebanan tugas dan amanah yang amat berat dan mencabar. Sehubungan dengan itu,langkat terbaik ialah memastikan kebajikan anggota PDRM terus diutamakan seperti sistem perumahan yang baik serta selesa, kebajikan keluarga anggota polis diberi perhatian dan sistem gaji yang bersesuaian dengan ekonomi semasa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Rabu, 12 Mei 2010

AMK Selangor Pelawa PERKASA Duduk Semeja

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

12hb Mei 2010

AMK Selangor Pelawa PERKASA Duduk Semeja

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempelawa PERKASA untuk duduk semeja bersama-sama bagi merangka perjuangan menuntut tanah-tanah hakmilik Melayu yang telah teraniaya dan tergadai semasa pemerintahan UMNO/BN sebelum ini. AMK Selangor mempelawa agar PERKASA menyahut seruan ini agar hak dan kepentingan Melayu yang dikatakan hilang boleh dikembalikan.

Justeru, AMK Selangor menggesa PERKASA bersama-sama membongkar dan berusaha memperjuangkan nasib tanah-tanah rizab Melayu, perumahan rakyat terbengkalai,setinggan, rumah-rumah rakyat yang dirobohkan tanpa sebab serta pelbagai isu lain. Kita amat menyedari selama ini, Selangor yang pernah ditadbir oleh UMNO/BN selama 50 tahun telah banyak rumah, tanah dan hak kepentingan Melayu yang secara rakusnya dirampas atas nama pembangunan.

Malahan,AMK Selangor mengajak PERKASA agar tampil sebagai NGO yang bertanggungjawab serta tidak menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak berkepentingan politik sempit . Kita yakin, PERKASA berani menyahut cabaran ini, jika tidak hilang wibawa yang selama ini mereka mahu tonjolkan sebagai kononnya memperjuangkan hak bumiputera.

AMK Selangor menegaskan, kita akan terus berjuang untuk semua kepentingan rakyat dan keadilan pelbagai agama dan bangsa di negara ini. Malahan,kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa di negara ini kerana kita yakin kepelbagaian antara bangsa adalah kekuatan unik untuk membawa negara ini lebih hebat dan makmur.

AMK Selangor membuka ruang yang cukup untuk mengajak PERKASA bersama-sama menuntut tanah-tanah milik Melayu, perumahan milik Melayu yang terbengkalai dan nasib setinggan yang selama 50 tahun UMNO/BN memerintah telah gadaikan. Jika PERKASA mempunyai keberanian, ruang dan medan perjuangan bersama telah disediakan.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

AMK Selangor Bidas Pehimpunan Gertak 13 Mei

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

12hb Mei 2010

AMK Selangor Bidas Pehimpunan Gertak 13 Mei

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas satu perhimpunan bersifat rasis dan menyemarak sentimen perkauman sempit yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang bertema ‘Melayu Bangkit’ pada Khamis, 13 Mei ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, Kuala Terengganu.

AMK Selangor yakin perhimpunan tersebut tidak wajar diadakan dalam suasana negara yang menuju ke arah keharmonian dan kasih sayang antara pelbagai agama dan bangsa. Sewajarnya perhimpunan seperti ini ditolak kerana menimbulkan suasana tidak senang, kerana tarikh 13 Mei adalah satu peristiwa hitam yang sepatutnya tidak lagi dimomokkan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Justeru, golongan muda perlu melihat dan berfikir positif ke arah mewujudkan negara yang lebih harmonis dan berkasih sayang dalam masyarakat pelbagai kaum. Kita menyeru rakyat tidak terjebak dan terpengaruh dengan taktik perkauman sempit yang hanya untuk kepentingan politik sempit semata-mata.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah bagaimana masyarakat pelbagai bangsa saling bekerjasama dalam suasana muhibbah untuk membawa perubahan dan kemakmuran negara. Menjadi sebuah negara yang hebat memerlukan rakyat dan pemimpin berjiwa besar dan saling lengkap-melengkapi untuk membawa sinar dan harapan baru Malaysia.

AMK Selangor mengecam penggunaan isu-isu perkauman sempit dan peristiwa 13 Mei, seolah-olah untuk memberikan gambaran ngeri keadaan dan situasi negara masakini. Isu ini merugikan negara kerana masyarakat pelabur dan luar negara merasakan situasi politik yang tidak stabil lagi. Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bangkit dan berganding bahu pelbagai bangsa mengorak langkah yang lebih bermakna untuk negara ini.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddn

Ketua AMK Selangor

Selasa, 11 Mei 2010

Belia Perlu Menjadi Penggerak Perubahan

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadikan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

11hb Mei 2010

Belia Perlu Menjadi Penggerak Perubahan

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa belia dan generasi muda menjadi penggerak perubahan di negara ini. Sempena hari belia yang diraikan setiap 15hb Mei,golongan belia wajar muhassabah peranan yang yang dimainkan ke arah perubahan dan pembangunan negara. Generasi muda disaran menjadi pemangkin perubahan di negara ini kerana tenaga dan idea inovatif serta kreatif amat diperlukan.

AMK Selangor melihat keupayaan generasi muda mendepani perubahan dalam pelbagai bidang di era globalisasi ini amat dituntut. Negara amat memerlukan generasi belia yang dinamik dan kreatif sejajar matlamat untuk membawa perubahan total negara ini. Sikap pasif dan jumud wajar dibuang kerana dunia semakin pantas berubah.

Golongan belia yang kini dianggarkan berjumlah 11.65 juta bersamaan 40.2 peratus adalah jumlah besar yang menjadi harapan baru untuk Malaysia ke arah pembangunan yang lebih hebat dan mampan. Kuasa ekonomi dan pengguna yang dimiliki golongan belia wajar dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan ekonomi Malaysia lebih kukuh dan mantap.

Mutakhir kini,negara digegarkan dengan kejadian tembakan yang dilepaskan oleh pihak PDRM yang melibatkan golongan remaja dan belia. AMK Selangor amat prihatin dengan kejadian ini dan menggesa agar kerajaan memastikan golongan belia terus dilindungi keselamatannya. Disamping itu kita berharap golongan belia terus memberi sumbangan positif dan bermakna kepada negara.

AMK Selangor menyatakan komitmen akan terus memastikan golongan belia terus mendapat pembelaan. Kita amat memahami suara orang muda dan diharap dapat akan terus menjadi jurubicara generasi muda yang menuntut perubahan dan pembelaan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Isnin, 10 Mei 2010

Bantah Keras Lesen Judi Piala Dunia 2010.

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

10hb Mei 2010

Bantah Keras Lesen Judi Piala Dunia 2010.

AMK Selangor membantah keras keputusan kerajaan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Kewangan,Datuk Awang Adek Hussein untuk membenarkan lesen perjudian sempena Piala Dunia 2010. Malahan dalam kenyataannya di Dewan Negara beliau ada menggunakan frasa ‘atas keprihatinan kerajaan’ jelas membangkitkan perasaan marah rakyat Malaysia.

Kita bertegas menolak sebarang usaha yang tidak bermoral ini yang tidak menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara Islam seperti yang dilaung-laungkan selama ini. Malahan masyarakat pelbagai agama dan bangsa juga menolak perjudian pertaruhan ini kerana menjejaskan moral dan akhlak serta membawa masyarakat terjerumus kepada masalah kebejatan yang lain.

AMK Selangor menegaskan jika kebenaran pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 ini diberi, maka akan ada pihak-pihak lain yang akan menggunakan perkara sedemikian di masa hadapan. Justeru sebelum perkara ini menjadi asas untuk merebaknya budaya baru pertaruhan dalam masyarakat Malaysia. Maka perkara ini perlu dikekang sebelum membawa negara ke kancah kerosakan moral dan akal budi yang semakin meruncing.

Sepatutnya kerajaan bertegas dalam soal ini untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang sebenar sebagai sebuah negara yang masyarakatnya berkeperibadian tinggi dan luhur . Kita yakin masyarakat Malaysia keseluruhannya tidak dapat menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut.

AMK Selangor berharap masalah kebejatan akhlak dan moral perlu di ambil perhatian. Kebenaran perjudian pertaruhan Piala Dunia 2010 pastinya menambah lagi kerosakan moral yang semakin gawat kini.Peranan kerajaan adalah mempromosikan kebaikan dan bukan perkara yang merosakkan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Malaysia Lebih Selamat Tanpa Reaktor Nuklear.

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

10hb Mei 2010

Malaysia Lebih Selamat Tanpa Reaktor Nuklear.

Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin Malaysia lebih selamat dan terjamin tanpa adanya loji reaktor nuklear. Keputusan kerajaan pusat membenarkan pembinaan loji yang dijangka beroperasi pada tahun 2021 mengundang pelbagai implikasi dan ketakutan rakyat. Justeru AMK Selangor bertegas untuk menolak keputusan ini dan akan menjalankan kempen besar-besaran kesedaran bahaya dan kesannya kepada rakyat dan alam sekitar.

AMK Selangor juga mempertikaikan kos pembinaan loji ini yang dikatakan murah tetapi pada realitinya amat mahal serta berisiko tinggi untuk menangani sisa buangan radioaktif. Malahan beberapa negara maju juga berhadapan masalah besar pengurusan reaktor nuklear dan terpaksa menutupnya.

Kita sewajarnya belajar daripada tragedi hitam kemusnahan Loji Nuklear Chernoyble yang telah mencemarkan alam sekitar. Kesannya sehingga kini masih amat dirasai oleh penduduk sekitar di sana. AMK Selangor tidak mahu loji nuklear ini menyebabkan negara dan rakyat dalam situasi cemas dan genting. Justeru, adalah lebih utama negara membangunkan teknologi tenaga hijau,mesra pengguna dan berisiko rendah.

AMK Selangor juga mempertikaikan keghairahan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahu membina projek-projek mega dan berisiko tanpa mengambilkira pandangan rakyat dan keutamaan. Sebelum ini negara digemparkan dengan pelbagai bangunan retak dan runtuh yang pastinya telah mencalar keyakinan rakyat. Loji nuklear ini kehidupan rakyat semakin bimbang dan terancam.

Pengurusan sisa radioaktif yang sukar dikendalikan. Malahan jika sisa buangan nuklear ini di hantar keluar negara, pelabuhan dan jalan laluannya berdepan risiko tinggi untuk berlakunya perkara tidak diingini. Kita tidak mahu generasi masa hadapan menerima kesannya akibat kegagalan kita membuat keputusan tepat.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Khamis, 6 Mei 2010

Pembinaan Loji Reaktor Nuklear Ancaman Kepada Keselamatan Rakyat dan Negara




Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

06hb Mei 2010

Pembinaan Loji Reaktor Nuklear Ancaman Kepada Keselamatan Rakyat dan Negara

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak keputusan kerajaan pusat untuk membina loji reaktor nuklear yang bakal beroperasi menjelang tahun 2021. Kebenaran untuk meneruskan cadangan ini dilihat oleh AMK Selangor satu ancaman amat kritikal terhadap keselamatan rakyat dan negara.

AMK Selangor menyatakan sokongan padu dan mantap keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan reaktor nuklear di Selangor. Malahan kerajaan negeri Selangor menyarankan agar digerakkan pembangunan tenaga alternatif lain yang lebih selamat, mesra alam dan produktif.

Pembinaan loji nuklear lebih memberi ancaman kepada alam sekitar kerana pengurusan sisa buangan bahan radioaktifnya sukar dikendalikan. Hujah mengatakan ia adalah berkos rendah ditolak kerana kerajaan perlu belajar daripada tragedi hitam 26hb April 1986 apabila loji nuklear Chernobyl meletup dan menyebarkan radioaktif. Impak kesannya sehingga kini terus memudaratkan kesihatan manusia dan memusnahkan alam sekitar yang memberi kerugian yang terlalu tinggi.

Kerajaan pusat sebelum memberi kebenaran ini sewajarnya mengambil pendapat rakyat dan pakar-pakar pelbagai bidang sebelum apa-apa keputusan diambil. Trek rekod mutakhir kini terhadap beberapa bangunan dan stadium yang retak dan runtuh menjadi igauan ngeri rakyat. Pembinaan reaktor nuklear ini dilihat sebagai ‘bom jangka’ yang meletakkan rakyat dan negara dalam situasi keselamatan masa hadapan yang amat kritikal dan mencemaskan.

Kita percaya pelbagai sumber tenaga alternatif lain boleh dibangunkan dan sesuai di negara ini seperti tenaga solar, tenaga angin, biomas dan teknologi baru yang lain. Permintaan mendadak terhadap sumber tenaga di masa hadapan boleh di atasi dengan memperkenalkan sistem penjimatan dan pengurusan tenaga yang efektif kini. Penyelidikan dan pembangunan berterusan perlu digiatkan bagi memastikan sumber tenaga alternatif yang lebih selamat dan sesuai dapat dibangunkan di negara ini.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Selasa, 4 Mei 2010

AMK S'gor sokong gesaan tubuh s'jaya diraja
Mei 4, 10 11:46am
Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) Selangor menyokong gesaan keluarga arwah Aminulrasyid Amzah supaya kes remaja 14 tahun itu yang mati ditembak polis minggu lalu, disiasat oleh suruhanjaya diraja dan bukan inkues.

Semalam, keluarga Aminulrasyid menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes tersebut.

Bapa saudaranya, Kamarudin Hassan dilaporkan berkata, ibu dan keluarga mangsa sudah berbincang dan sepakat mendesak suruhanjaya itu ditubuhkan secepat mungkin.

Mereka juga, katanya, membantah cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya inkues menyiasat kematian Aminulrasyid ditubuhkan.

Dalam satu kenyataan, ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, pergerakan itu juga turut menggesa ketua polis Selangor dan letua polis Negara agar mengembalikan maruah Aminulrasyid yang menurutnya tercalar ekoran dakwaan tidak berasas yang dikeluarkan sebelum ini.

Menurutnya, ia adalah untuk memastikan imej arwah tidak ditohmah dengan pelbagai dakwaan kematiannya akibat tembakan daripada pihak polis.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata: "Kita percaya PDRM (Polis Diraja Malaysia) masih berkeupayaan melaksanakan tugas dan amanah sebagai institusi keselamatan penting negara, namun imej mutakhir ini mencalar kepercayaan rakyat," tegas Khairul Anuar.

"Justeru, kita mengharapkan pihak PDRM tidak beranggapan seolah-olah rakyat memusuhi mereka tetapi keprihatinan rakyat dan pimpinan politik serta masyarakat berkenaan isu ini semakin amat meningkat.

"Suara kehendak rakyat ialah agar individu yang melepaskan tembakan dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman sewajarnya. Kita tidak mahu ada kes-kes sedemikian berulang lagi di masa hadapan," katanya.

Sewajarnya, tegas Khairul Anuar, kejadian tersebut menjadi titik tolak kepada PDRM untuk melaksanakan perubahan total terhadap standart dan prosedur PDRM serta memperbaiki kelemahan yang masih wujud.

Menurutnya lagi, PDRM perlu melaksanakan perubahan total dan memperbaiki mutu kerja kalangan anggotanya.

"Masih ada ruang untuk laksanakan pembaikan di segenap segi serta pertingkatkan prinsip profesionalismenya," tegas Khairul Anuar.

Gesa PDRM Laksanakan Perubahan Total

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

04hb Mei 2010

Gesa PDRM Laksanakan Perubahan Total

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara agar mengembalikan maruah yang tercalar arwah adik Aminulrashid atas dakwaan tidak berasas yang dikeluarkan sebelum ini. Ia adalah untuk memastikan imej arwah tidak ditohmah dengan pelbagai dakwaan kematiannya akibat tembakan daripada pihak polis.

AMK Selangor juga menyokong gesaan keluarga arwah Aminulrashid agar kes ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja dan bukan inkues. Kita percaya PDRM masih berkeupayaan melaksanakan tugas dan amanah sebagai institusi keselamatan penting negara namun imej mutakhir ini mencalar kepercayaan rakyat.

Justeru, kita mengharapkan pihak PDRM tidak beranggapan seolah-olah rakyat memusuhi mereka tetapi keprihatinan rakyat dan pimpinan politik serta masyarakat berkenaan isu ini semakin amat meningkat. Suara kehendak rakyat ialah agar individu yang melepaskan tembakan dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman sewajarnya. Kita tidak mahu ada kes-kes sedemikian berulang lagi di masa hadapan.

Kita juga yakin,rakyat memberikan kepercayaan tinggi kepada PDRM melaksanakan tugas pembanterasan jenayah. Ini dibuktikan bahawa rakyat terus mendapatkan khidmat PDRM atas apa jua kes. Sewajarnya kejadian ini menjadi titik tolak kepada PDRM untuk melaksanakan perubahan total terhadap standart dan prosedur PDRM serta memperbaiki kelemahan yang masih wujud.

PDRM perlu laksanakan perubahan total dan perbaiki mutu standart kerja kalangan anggotanya. Masih ada ruang untuk laksanakan pembaikan di segenap segi serta pertingkatkan prinsip professionalismanya.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor