Sabtu, 22 Mei 2010

Pemotongan Subsidi Hanya Bebankan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

22hb Mei 2010

Pemotongan Subsidi Hanya Bebankan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor bimbang pelan pemotongan subsidi oleh pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib Razak bakal mencetuskan impak negatif kepada kehidupan rakyat. Rakyat kini amat tertekan bahawa pemotongan subsidi keperluan rakyat hanya akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat tatkala keadaan pendapatan boleh guna rakyat kian merosot.

Justeru,AMK Selangor menyatakan ketegasan kepada pentadbiran Najib Razak agar jika masih mahu melaksanakan penstrukturan subsidi. Rakyat sewajibnya tidak dibebani dengan sebarang kenaikan harga keperluan dan perkhidmatan. Malahan soal pembaziran,penyelewengan dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan perlu diberi perhatian sebelum melaksanakan polisi yang akan menyusahkan kehidupan rakyat kelak.

AMK Selangor membidas kerajaan yang dilihat semakin hilang fokus dalam membawa idea-idea yang boleh meningkatkan kualiti pendapatan boleh guna rakyat. Ketika mana kerajaan mewar-warkan pertumbuhan suku pertama 2010 mencecah 10 peratus namun ia tidak mencerminkan kehidupan sebenar rakyat. Kita mahu kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kita juga menggesa penstrukturan semula subsidi ini mengambil kira kesusahan rakyat khususnya kepada perkara asas seperti subsidi bahan api, gula , tepung, makanan,pertanian dan item-item yang menjadi keperluan utama rakyat. AMK Selangor amat prihatin kepada nasib rakyat kelak jika penstrukturan semula subsidi ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat yang selama ini sudah dibebani dengan kenaikan kos sara hidup dan keperluan yang terus meningkat.

AMK Selangor akan terus memastikan jika kerajaan pimpinan Najib Razak melaksanakan penstrukturan semula subsidi kelak. Jangan sesekali mendahulukan rakyat untuk dijadikan mangsa polisi penstrukturan subsidi semula.Kita mahu kerajaan membanteras pembaziran , memerangi rasuah serta mengelakkan ketirisan perbelanjaan negara sebelum melaksanakan sebarang polisi baru.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor