Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
17hb Mei 2010
AMK Selangor Desak Wee Choo Keong Letak Jawatan Ahli Parlimen Wangsa Maju
Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa maju segera. Beliau yang menang dalam PRU-12 sewajarnya melepaskan jawatannya dan bertanding semula atas kapasiti bebas kerana rakyat memilihnya atas tiket PKR pada ketika itu.
AMK Selangor yakin tindakan keluar parti Wee Chee Keong ketika saat pilihanraya kecil Parlimen Sibu sedang berlangsung adalah tindakan politik yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan sedemikan adalah tidak bermaruah dan memalukan kerana mengkhianati amanah dan perjuangan rakyat.
AMK Selangor juga menggesa wakil-wakil rakyat yang keluar daripada PKR mutakhir ini melepaskan jawatannya segera. Mereka sepatutnya malu kerana mereka menang bukan kekuatan nama sendiri tetapi rakyat memilih kerana yakin dengan perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat.
Perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat tidak akan lemah dan longlai dengan tindakan keluar parti. Sebagai bukti kemenangan Pakatan Rakyat melalui DAP di Sibu adalah petanda rakyat memberi sokongan kuat dan mantap kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Justeru kemenangan ini adalah langkah bermakna Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak dalam pilihanraya DUN Sarawak.
AMK Selangor mengucapkan tahniah atas kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Sibu. Ia menjadi pembakar semangat untuk mengorak langkah ke Putrajaya dalam PRU-13. Kita akan terus mendepani perubahan kerana hanya ini langkah terbaik dan tepat untuk membawa agenda ‘Selamatkan Malaysia’.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor