Jumaat, 25 Jun 2010

Isu Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media

25 Jun 2010

Isu Menteri Besar Selangor

AMK Selangor berdiri teguh bersama kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Abdul Khalid Ibrahim. Dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan kerana itulah agenda No. 1 musuh-musuh Pakatan Rakyat(PR) iaitu untuk mengganggu kestabilan PR khususnya PKR dan seterusnya merampas kembali Negeri Selangor. Apa jua cara adalah mungkin asalkan agenda ini tercapai.

AMK Selangor mengingatkan semua pendukung-pendukung KEADILAN untuk terus berusaha mempertahankan dan menjunjung tinggi “mandat perubahan“ yang diberikan rakyat 2 tahun yang lalu.

Apakah beliau perlu digantikan kerana kekurangan dalam politik sedangkan beliau mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang cekap ?. Apakah perlu beliau digantikan kerana meletakkan kepentingan rakyat berbanding ahli-ahli parti sendiri ?. Sedangkan kita melihat sejarah 50 tahun UMNO/BN memerintah Selangor,berapa banyak harta rakyat dikaut sendiri oleh pimpinan politik sedangkan rakyat terus dibiar merana dan susah.

Sepanjang 2 tahun kepimpinan Tan Sri Khalid, beliau tidaklah mengayakan isteri, anak, menantu dan suku – sakatnya melainkan kesungguhan beliau untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor. Tiada seinci pun tanah yang diambil untuk diri dan keluarga melainkan berusaha untuk merakyatkan tanah Selangor. Tiada lawatan sambil belajar ke Disneyland tajaan GLC Selangor melainkan menyusun kembali anak-anak syarikat ini agar hasilnya dapat dinikmati rakyat berhak. Tak pernah terfikir oleh MB Selangor sebelum ini untuk beri air percuma kepada rakyat itulah sedikit rekod MB Selangor dari Pakatan Rakyat ini. Sekalipun jauh kalau nak dibandingkan dengan Khalifah Umar Abdul Aziz namun kesungguhan dan ketegasan Tan Sri Khalid dalam menjaga amanah rakyat dapat dilihat jelas. Begitulah tingginya intigriti Menteri Besar Pakatan Rakyat ini.

Walaupun beliau tidak terlepas dari melakukan kesilapan, sebagai parti yang sentiasa menyubur benih demokrasi, Kongres PKR di Kota Bharu telah mendengar dengan jelas teguran dan kritikan perwakilan terhadap Tan Sri Khalid dan kami yakin beliau menerimanya dengan penuh terbuka.

AMK Selangor dengan ini menyeru kepada semua para pendukung KEADILAN untuk kita terus menghayati semangat REFORMASI yang menjadi laungan keramat perjuangan rakyat ini. Sesungguhnya kesungguhan para pemimpin dan pendukung KEADILAN untuk menterjemahkan nilai-nilai REFORMASI akan dihargai oleh rakyat seadilnya.

Sekian.

Harapan Baru Untuk Malaysia

Khairul Anuar Ahmad Zainudin

Ketua AMK Selangor

019 - 205 74 98

HIDUP Pakatan Rakyat. Mara menuju Putrajaya

Rabu, 23 Jun 2010

Dahulukan Reformasi Pendidikan Sebelum Pemansuhan Peperiksaan

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

23hb Jun 2010

Dahulukan Reformasi Pendidikan Sebelum Pemansuhan Peperiksaan

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak kerajaan agar memberi fokus kepada reformasi pendidikan negara sebelum melaksanakan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.

AMK Selangor melihat agenda reformasi pendidikan khususnya halatuju dan pemerkasaan pendidikan negara perlu diberi perhatian agar sistem pendidikan negara mampu mengangkat potensi pelajar yang lebih berkeyakinan,berakhalak tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.

Kita mencadangkan kepada kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan negara,pembelajaran vokasional dan teknik boleh dimulakan seawal Tingkatan 1. Ianya untuk memastikan apabila pelajar tamat Tingkatan 5, mereka boleh menguasai kemahiran pada tahap yang lebih tinggi daripada sekarang. Justeru mereka lebih berdaya saing serta bersedia jika memasuki pasaran kerja.

AMK Selangor juga berharap agar para pelajar negara ini tidak dijadikan ujikaji perlaksanaan sesuatu dasar tanpa kajian mendalam daripada pakar-pakar dan pandangan rakyat. Apa yang lebih utama ialah kita mampu menyediakan pembelajaran untuk pelajar dapat bersaing di masa hadapan. Bukan sekadar memberi pengajaran yang akhirnya tidak dapat dipraktikkan dalam realiti kehidupan sebenar.

Kita juga menggesa kerajaan menumpukan kepada aspek reformasi pendidikan yang mendidik pelajar ke arah pembangunan insan yang cemerlang dalam semua aspek. Kebejatan sosial dan kemerosotan disiplin para pelajar perlu diperbaiki dan diambil perhatian dan bukan sekadar menumpukan aspek peperiksaan sahaja.

Justeru,kita yakin bahawa reformasi pendidikan itu perlu dilaksanakan segera agar Malaysia mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global ,inovatif dan berintegriti tinggi.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Isnin, 21 Jun 2010

Slogan ‘Melayu Cemerlang’ Dongeng Terbaru UMNO

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

21hb Jun 2010

Slogan ‘Melayu Cemerlang’ Dongeng Terbaru UMNO

Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat slogan UMNO ‘Hidup Melayu’ yang dicadangkan diubah kepada ‘Melayu Cemerlang’ adalah satu lagi dongengan terbaru UMNO untuk mengaburi bangsa Melayu. Setelah 50 tahun slogan itu digunakan, hanya menyaksikan Melayu tinggal nama sahaja.Kini UMNO membuat percubaan untuk mengembalikan sokongan yang semakin ditolak rakyat.

AMK Selangor ingin mengajak rakyat agar menyorot pengkhianatan UMNO terhadap bangsa Melayu dan negara yang telah banyak menggadai kepentingan Islam dan Melayu di negara ini. Kegagalan UMNO mengangkat martabat bangsa Melayu serta Islam selama 50 tahun ini wajar membuka mata rakyat keseluruhannya.

AMK Selangor juga mempertikaikan dasar dan polisi yang dibawa oleh pimpinan UMNO mutakhir kini yang semakin menghakis identiti bangsa Melayu dan Islam.Kegagalan menangani rasuah, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat adalah menodai perjuangan tulen untuk memartabatkan bangsa Melayu dan Islam. Justeru,UMNO perlu hentikan segala gimik dan retorik politik dengan slogan-slogan yang indah khabar daripada rupa.

Jika sebelum ini, UMNO dengan slogan kononnya ‘Juara Rakyat’,namun apa yang pasti rakyat terus dibebani dengan kenaikan barang dan perkhidmatan,penarikan subsidi,liberalisasi ala penjajahan asing dan kehilangan aset penting negara kepada negara luar.

Kita yakin rakyat semakin bijak untuk menilai slogan dan retorik politik UMNO yang kini meniti reput dan luput. Rakyat tidak mudah termakan dengan slogan-slogan yang indah khabar daripada realiti semasa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Ahad, 13 Jun 2010

Sekat Masuk Kapal Kargo Israel Berlabuh Di Malaysia Segera



Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

13hb Jun 2010

Sekat Masuk Kapal Kargo Israel Berlabuh Di Malaysia

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak kerajaan agar menyekat kemasukan kapal dagang Israel daripada memasuki perairan negara. Kemasukan kapal dagang Israel dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara satu tindakan yang tidak konsisten setelah Parlimen meluluskan usul mengutuk tindakan ganas komando Israel terhadap misi bantuan kemanusian kapal Mavi Marmara.

Malahan AMK Selangor mendesak kerajaan mengemukakan butiran lengkap di Parlimen sejak bila kapal-kapal dagang dan kargo Israel bebas memasuki perairan negara sejak sekian lama. Tindakan ganas komando Israel menyekat kemasukan misi talian hayat kepada rakyat Palestin wajar membuka mata kerajaan dan dunia agar satu tindakan lebih tegas dan keras dikenakan terhadap regim Zionist Israel.

AMK Selangor juga menyatakan bantahan keras jika selepas ini masih ada lagi kebenaran kapal-kapal dagang dan kargo yang ada hubungan kait dengan negara regim Zionist Israel bebas ‘menjajah’ kedaulatan perairan negara. Jika benar kerajaan tegas dan konsisten dengan prinsip menyokong perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin.

AMK Selangor juga hairan bagaimana dengan mudahnya perairan dan kedaulatan negara bebas dimasuki kapal-kapal kargo Israel di mana dikatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi samada secara rasmi atau tidak rasmi. Kejadian serangan komando Israel pada 31 Mei lepas terhadap anak kapal Mavi Marmara yang berada di perairan antarabangsa jelas mencabuli undang-undang antarabangsa. Maka tiada sebab kerajaan Malaysia masih membenarkan kapal dagang Israel dengan angkuh dan berlagaknya memasuki ruang perairan Malaysia.

AMK Selangor menegaskan tindakan kerajaan perlu lebih konsisten dalam isu keganasan regim Israel terhadap masyarakat Palestin serta dunia. Kita amat kagum dengan ketegasan negara Turki terhadap tindak-tanduk regim Zionist Israel ini. Jika Perdana Menteri serius memperjuangkan nasib rakyat Palestin,maka kita tuntut satu tindakan yang berani daripada pimpinan negara untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan yang di bawah kendalian kerajaan Malaysia. Selama ini misi bantuan kemanusiaan digerakkan oleh NGO-NGO yang mungkin banyak keterbatasannya.

Ditegaskan kita perlu lebih bertindak daripada sekadar menyatakan kutukan dan kecaman terhadap Israel. Selama ini berapa banyak usul dan resolusi telah dikemukakan di peringkat antarabangsa langsung tidak meredakan keganasan regim Israel malahan semakin ganas dari hari ke sehari. Justeru kita mahu kerajaan memainkan peranan yang lebih berani,tegas dan konsisten dalam pembebasan rakyat Palestin di bawah kekejaman regim Zionist Israel.

Maka, kita tuntut dalam tempoh 48 jam ini agar pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan notis larangan untuk menghalang mana-mana kapal Israel berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara ini serta-merta.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Jumaat, 11 Jun 2010

RMK-10 Perlu Lebih Dinamik Daripada Retorik

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

10hb Jun 2010

RMK-10 Perlu Lebih Dinamik Daripada Retorik

Angkatan Muda Keadilan Selangor menuntut agar perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 lebih telus,dinamik dan pro kepada aspirasi rakyat daripada sekadar pengumuman projek mega yang bersifat retorik. AMK Selangor melihat transformasi ekonomi yang diwar-warkan masih belum mampu melegakan rakyat tatkala negara diambang perlaksanaan sistem cukai GST, penarikbalikkan subsidi dan liberalisasi ekonomi ala penjajahan asing.

RMK-10 pada kali ini tidak memberi fokus kepada pengukuhan simpanan makanan negara yang dilihat amat merbahaya kepada masa depan rakyat dan negara. Kebergantungan negara kepada sumber makanan daripada luar menyebabkan negara mengalami defisit yang tinggi dan terpaksa berhadapan dengan kenaikan serta kekurangan bahan makanan global. Kerajaan perlu mengambil iktibar krisis harga makanan yang berlaku beberapa tahun lepas yang naik mendadak ekoran harga makanan meningkat di pasaran dunia.

RMK-10 yang diumumkan Perdana Menteri masih belum jelas dan halatuju dalam membawa keadilan ekonomi yang lebih bebas rasuah,penyelewengan dan pembaziran. Tatkala hutang negara melebihi RM400 Billion untuk 2010 ini pasti membebankan generasi masa hadapan yang perlu menanggung beban hutang negara era kerajaan masa kini. Justeru,AMK Selangor mengulangi ketegasan agar hutang negara dikurangkan dan pendapatan negara dipertingkatkan.

AMK Selangor melihat RMK-10 masih belum memberikan keyakinan kepada para pelabur dalam negara dan antarabangsa tatkala ia amat penting kepada kemakmuran ekonomi negara. Antara puncanya ialah birokrasi yang wujud,sistem kehakiman yang diragui kebebasannya serta kredibiliti kerajaan UMNO-BN yang semakin bangkrap idea dan gagasan besar dan baru memacu ekonomi negara.

AMK Selangor mencadangkan agar kerajaan bagi memastikan kemakmuran ekonomi negara agar memberi penumpuan kepada sistem ekonomi yang lebih berkat dan barakah. Ertinya dengan melaksanakan ekonomi yang yang menolak sumber-sumber pendapatan yang bertentangan syariah seperti judi dan seumpamanya.

Membangunkan sumber insan yang berkualiti tidak akan berjaya selagi mana negara masih mengimport budaya-budaya asing yang merosakkan generasi muda masa kini. Penghayatan dan perlaksanaan kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah perlu diutamakan kepada pembangunan sumber insan kerana hanya ini sahaja cara untuk memastikan indeks jenayah,salah laku moral dan kebejatan budaya dapat di atasi

Akhirnya,AMK Selangor menegaskan RMK-10 perlu penghayatan dan ruh semangat yang mampu membina generasi warganegara yang menjadi aset penting kepada negara. Nasib rancangan 5 tahun masa depan negara tidak sewajarnya sekadar retorik tetapi perlu kepada keupayaan generasi masa kini mengangkat martabat negara dan ummah.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Ahad, 6 Jun 2010

Bukan sekadar kutuk Israel, tapi bertindak

Mohd Ezli Mashut Jun 5, 10 1:03pm
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel dalam kadar segera.

Kita mahu dunia bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel.

AMK Selangor juga menggesa agar pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir dibuka terus menerus bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dihantar.

Negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.

AMK Selangor menggesa Perdana Menteri agar dapat memainkan peranan utamanya dalam OIC, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi terhadap Israel dengan segera.

Malahan segala hubungan antara entiti dan proksi Zionist Israel di rantau ini diputuskan segera.

AMK Selangor mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Gaza dalam apa jua bentuk. Ini amat penting kerana warga pelbagai negara dunia bersama-sama terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin.

Kita juga berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya.

Dalam perkembangan terkini, AMK Selangor mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis-aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara.

Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas.

Mohd Ezli Mashut ialah ketua penerangan AMK Selangor.

Sabtu, 5 Jun 2010

Dunia Perlu Kenakan Sekatan Terhadap Israel

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

05hb Jun 2010

Dunia Perlu Kenakan Sekatan Terhadap Israel

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), NAM, G8 , NATO, GCC dan negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel dalam kadar segera. Kita mahu dunia khususnya bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel.

AMK Selangor juga menggesa agar pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir dibuka terus menerus bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dihantar. Negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.

AMK Selangor menggesa Perdana Menteri agar dapat memainkan peranan utamanya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam , NAM dan Asean untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi terhadap Israel dengan segera. Malahan segala hubungan antara entiti dan proksi Zionist Israel di rantau ini diputuskan segera.

AMK Selangor mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Gaza dalam apa jua bentuk. Ini amat penting kerana warga pelbagai negara dunia bersama-sama terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin. Kita juga berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya.

Dalam perkembangan terkini, AMK Selangor mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis-aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara. Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor