Sabtu, 5 Jun 2010

Dunia Perlu Kenakan Sekatan Terhadap Israel

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

05hb Jun 2010

Dunia Perlu Kenakan Sekatan Terhadap Israel

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), NAM, G8 , NATO, GCC dan negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel dalam kadar segera. Kita mahu dunia khususnya bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel.

AMK Selangor juga menggesa agar pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir dibuka terus menerus bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dihantar. Negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.

AMK Selangor menggesa Perdana Menteri agar dapat memainkan peranan utamanya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam , NAM dan Asean untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi terhadap Israel dengan segera. Malahan segala hubungan antara entiti dan proksi Zionist Israel di rantau ini diputuskan segera.

AMK Selangor mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Gaza dalam apa jua bentuk. Ini amat penting kerana warga pelbagai negara dunia bersama-sama terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin. Kita juga berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya.

Dalam perkembangan terkini, AMK Selangor mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis-aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara. Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor