Kenyataan Media
25 Jun 2010
Isu Menteri Besar Selangor
AMK Selangor berdiri teguh bersama kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Abdul Khalid Ibrahim. Dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan kerana itulah agenda No. 1 musuh-musuh Pakatan Rakyat(PR) iaitu untuk mengganggu kestabilan PR khususnya PKR dan seterusnya merampas kembali Negeri Selangor. Apa jua cara adalah mungkin asalkan agenda ini tercapai.
AMK Selangor mengingatkan semua pendukung-pendukung KEADILAN untuk terus berusaha mempertahankan dan menjunjung tinggi “mandat perubahan“ yang diberikan rakyat 2 tahun yang lalu.
Apakah beliau perlu digantikan kerana kekurangan dalam politik sedangkan beliau mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang cekap ?. Apakah perlu beliau digantikan kerana meletakkan kepentingan rakyat berbanding ahli-ahli parti sendiri ?. Sedangkan kita melihat sejarah 50 tahun UMNO/BN memerintah Selangor,berapa banyak harta rakyat dikaut sendiri oleh pimpinan politik sedangkan rakyat terus dibiar merana dan susah.
Sepanjang 2 tahun kepimpinan Tan Sri Khalid, beliau tidaklah mengayakan isteri, anak, menantu dan suku – sakatnya melainkan kesungguhan beliau untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor. Tiada seinci pun tanah yang diambil untuk diri dan keluarga melainkan berusaha untuk merakyatkan tanah Selangor. Tiada lawatan sambil belajar ke Disneyland tajaan GLC Selangor melainkan menyusun kembali anak-anak syarikat ini agar hasilnya dapat dinikmati rakyat berhak. Tak pernah terfikir oleh MB Selangor sebelum ini untuk beri air percuma kepada rakyat itulah sedikit rekod MB Selangor dari Pakatan Rakyat ini. Sekalipun jauh kalau nak dibandingkan dengan Khalifah Umar Abdul Aziz namun kesungguhan dan ketegasan Tan Sri Khalid dalam menjaga amanah rakyat dapat dilihat jelas. Begitulah tingginya intigriti Menteri Besar Pakatan Rakyat ini.
Walaupun beliau tidak terlepas dari melakukan kesilapan, sebagai parti yang sentiasa menyubur benih demokrasi, Kongres PKR di Kota Bharu telah mendengar dengan jelas teguran dan kritikan perwakilan terhadap Tan Sri Khalid dan kami yakin beliau menerimanya dengan penuh terbuka.
AMK Selangor dengan ini menyeru kepada semua para pendukung KEADILAN untuk kita terus menghayati semangat REFORMASI yang menjadi laungan keramat perjuangan rakyat ini. Sesungguhnya kesungguhan para pemimpin dan pendukung KEADILAN untuk menterjemahkan nilai-nilai REFORMASI akan dihargai oleh rakyat seadilnya.
Sekian.
Harapan Baru Untuk Malaysia
Khairul Anuar Ahmad Zainudin
Ketua AMK Selangor
019 - 205 74 98