Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
10hb Jun 2010
RMK-10 Perlu Lebih Dinamik Daripada Retorik
Angkatan Muda Keadilan Selangor menuntut agar perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 lebih telus,dinamik dan pro kepada aspirasi rakyat daripada sekadar pengumuman projek mega yang bersifat retorik. AMK Selangor melihat transformasi ekonomi yang diwar-warkan masih belum mampu melegakan rakyat tatkala negara diambang perlaksanaan sistem cukai GST, penarikbalikkan subsidi dan liberalisasi ekonomi ala penjajahan asing.
RMK-10 pada kali ini tidak memberi fokus kepada pengukuhan simpanan makanan negara yang dilihat amat merbahaya kepada masa depan rakyat dan negara. Kebergantungan negara kepada sumber makanan daripada luar menyebabkan negara mengalami defisit yang tinggi dan terpaksa berhadapan dengan kenaikan serta kekurangan bahan makanan global. Kerajaan perlu mengambil iktibar krisis harga makanan yang berlaku beberapa tahun lepas yang naik mendadak ekoran harga makanan meningkat di pasaran dunia.
RMK-10 yang diumumkan Perdana Menteri masih belum jelas dan halatuju dalam membawa keadilan ekonomi yang lebih bebas rasuah,penyelewengan dan pembaziran. Tatkala hutang negara melebihi RM400 Billion untuk 2010 ini pasti membebankan generasi masa hadapan yang perlu menanggung beban hutang negara era kerajaan masa kini. Justeru,AMK Selangor mengulangi ketegasan agar hutang negara dikurangkan dan pendapatan negara dipertingkatkan.
AMK Selangor melihat RMK-10 masih belum memberikan keyakinan kepada para pelabur dalam negara dan antarabangsa tatkala ia amat penting kepada kemakmuran ekonomi negara. Antara puncanya ialah birokrasi yang wujud,sistem kehakiman yang diragui kebebasannya serta kredibiliti kerajaan UMNO-BN yang semakin bangkrap idea dan gagasan besar dan baru memacu ekonomi negara.
AMK Selangor mencadangkan agar kerajaan bagi memastikan kemakmuran ekonomi negara agar memberi penumpuan kepada sistem ekonomi yang lebih berkat dan barakah. Ertinya dengan melaksanakan ekonomi yang yang menolak sumber-sumber pendapatan yang bertentangan syariah seperti judi dan seumpamanya.
Membangunkan sumber insan yang berkualiti tidak akan berjaya selagi mana negara masih mengimport budaya-budaya asing yang merosakkan generasi muda masa kini. Penghayatan dan perlaksanaan kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah perlu diutamakan kepada pembangunan sumber insan kerana hanya ini sahaja cara untuk memastikan indeks jenayah,salah laku moral dan kebejatan budaya dapat di atasi
Akhirnya,AMK Selangor menegaskan RMK-10 perlu penghayatan dan ruh semangat yang mampu membina generasi warganegara yang menjadi aset penting kepada negara. Nasib rancangan 5 tahun masa depan negara tidak sewajarnya sekadar retorik tetapi perlu kepada keupayaan generasi masa kini mengangkat martabat negara dan ummah.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor