Selasa, 31 Ogos 2010

Perutusan Kemerdekaan 2010 oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Adalah menjadi kebiasaan menjelang tarikh 31hb Ogos setiap tahun, maka diulang-ulang naratif sejarah menuntut kemerdekaan dari penjajah. Naratif itu pula tidak pernah berubah apatah lagi dicabar. Melalui media yang dikongkong, “sejarah” ini adalah versi muktamad, tiada yang benar melainkan yang terpampang dan disogok itu. Walaupun begitu siapakah mampu menahan Kebenaran?

Mutakhir ini sering pula ada golongan yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot. Hilang sudah senjata untuk berhujah, mereka memperalat sentimen perkauman sempit dan agama demi laba politik semata-mata. Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan?

Kemerdekaan pastinya mempunyai makna teristimewa dan penting buat seluruh Rakyat Malaysia. Ianya menyedarkan kita akan kewujudan sebuah negara yang menjadi tempat berteduh dan berlindung. Jarang sekali Kemerdekaan dicapai tanpa sebuah perjuangan, walau wadah perjuangan itu tidak semestinya menumpahkan darah. Perjuangan hatta dengan tinta sekalipun tetap sebuah perjuangan. Apa yang lebih penting adalah niat dan makna yang mendasari perjuangan tersebut. Kekalutan yang ditimbulkan golongan pelampau serta tidak bertanggungjawab di negara ini menuntut kita untuk kembali menyelami makna sebuah Kemerdekaan dan erti sebuah perjuangan.

Menjelang 53 tahun kita mencapai Kemerdekaan, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk:

-Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

-Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

-Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

-Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

-Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

-Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Moga usaha kita semua untuk memaknai erti sebuah Kemerdekaan diredhai dan diberkati hendaknya.
Dirgahayu Malaysia tanahairku.

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KEADILAN

Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi


Tahun ini, ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia melangkah ke angka 53. Pastinya pada usia kemerdekaan sebegini, sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.

2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.

Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu.

Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara.

Merdeka seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal. Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.

Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.

Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Isnin, 30 Ogos 2010

Isu Bukan Islam Masuk Masjid

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BIPPA)

PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA

Isu Bukan Islam Masuk Masjid

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini. Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan YB William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.

Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hokum Hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini. Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah. Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.


Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat PR demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.

Kekecohan yang digembar-gemborkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan UMNO selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu. Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala UMNO ini. Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu.

Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan. Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

28 Ogos 2010

DR MUHD NUR MANUTY

Pengerusi

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama

Parti KeADILan Rakyat

Isnin, 23 Ogos 2010

Lantik Segera Anak Peneroka dalam Pengurusan Tertinggi FELDA

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

23hb Ogos 2010

Lantik Segera Anak Peneroka dalam Pengurusan Tertinggi FELDA

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak dakwaan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor bahawa keprihatinan Pakatan Rakyat dan NGO-NGO sebagai cubaan untuk mengganggu masyarakat dan pengurusan FELDA. Kenyataan demikian begitu dangkal dan tidak menjawab persoalan utama apa yang berlaku dalam tadbir urus dan kewangan FELDA.

AMK Selangor bertegas bahawa sudah tiba ketikanya pengurusan tertinggi FELDA diisi oleh anak-anak peneroka FELDA yang lebih memahami realiti dan perkara terbaik untuk pembangunan masyarakat peneroka FELDA.

AMK Selangor mendesak agar anak-anak peneroka FELDA dilibatkan dalam pengurusan dan tadbir urus FELDA agar mereka yang mempunyai semangat kebertanggungjawaban dilibatkan bersama.

AMK Selangor yakin keprihatinan Pakatan Rakyat dan NGO dalam memperjuangkan hak dan nasib masa hadapan peneroka FELDA merupakan kegusaran mereka tatkala kewangan FELDA dipersoalkan banyak pihak mutakhir ini.

AMK Selangor berharap masyarakat FELDA di seluruh negara bangkit menyatakan hak bahawa mereka mempunyai suara untuk menentukan halatuju dan masa hadapan yang perlu diperkasakan lagi.

AMK Selangor yakin masyarakat FELDA kini sudah celik dan bijak dalam menentukan nasib mereka dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

Justeru,kita berharap agar kerajaan mengembalikan hak peneroka FELDA yang selama ini tidak di ambil perhatian dan prihatin masalah serta isu yang di bawa oleh Pakatan Rakyat dan NGO terhadap cabaran yang dihadapi peneroka di seluruh negara.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Sabtu, 21 Ogos 2010

Bidas Menteri Pertahanan Tidak Mampu Jawab Isu Pertahanan

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

21hb Ogos 2010

Bidas Menteri Pertahanan Tidak Mampu Jawab Isu Pertahanan

AMK Selangor membidas Menteri Pertahanan,Datuk Zahid Hamidi yang menuduh Ahli Parlimen Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar sebagai penderhaka berkenaan isu kapal selam.

Berikut ialah jawapan Datuk Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pada 17/3/10:Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, masalah teknikal yang dihadapi oleh KD Tunku Abdul Rahman adalah masalah yang juga pernah dialami oleh mana-mana kapal selam lain di dunia. Secara khususnya kapal berkenaan tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami sedikit masalah yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan selaman. Ini adalah langkah keselamatan biasa pengendali mana-mana kapal selam yang mengamalkan prosedur keselamatan yang sangat ketat.

Justeru,AMK Selangor menggesa Menteri Pertahanan menjawab isu utama perkara ini dan bukan membuat tuduhan melulu kepada orang lain menggunakan isu pengkhianatan.Adalah tidak wajar standart dan kualiti Menteri Pertahanan menjawab isu pertahanan dan keselamatan negara dengan sedemikan rupa.

Isu keselamatan dan pertahanan negara adalah suatu yang kritikal dan perlu diambil perhatian serius oleh Menteri Pertahanan apabila melibatkan aset pertahanan yang mencecah RM berbillion-billion. Kita mahu aset pertahanan negara ditahap terbaik dan mampu berhadapan situasi sukar dan krisis apabila memerlukan.

Warganegara Malaysia seluruhnya mempunyai hak untuk mempersoalkan keupayaan sistem pertahanan negara, kerana melalui ini maka keyakinan rakyat terhadap keupayaan sistem pertahanan dan aset keselamatan negara adalah di tahap siap-siaga dan mampu menangkis sebarang ancaman keselamatan dalam dan luar.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

AMK Selangor Sokong Sasaran Minima RM4000 Pendapatan Isu Rumah

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

21hb Ogos 2010

AMK Selangor Sokong Sasaran Minima RM4000 Pendapatan Isu Rumah

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyokong konsep yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan sasaran minima RM4000 pendapatan isu rumah dalam tempoh lima tahun apabila Pakatan Rakyat dapat memerintah.

AMK Selangor yakin idea besar ini amat penting untuk kesejahteraan rakyat terbanyak kerana masih ramai isi rumah yang berpendapatan di bawah RM 2000 ketika ini khususnya masyarakat Melayu.

Realiti kini,kita masih terkongkong dengan idea pemilikan 30% ekuiti bumiputera yang semakin kurang relevan dalam menangani persoalan asas kebajikan dan pendapatan rakyat terbanyak.

Idea isi rumah minima RM4000 merupakan langkah besar dan perlu disokong pelbagai rakyat kerana dilihat lebih realistik dan menjurus kepada rakyat kerana ianya akan meningkatkan kualiti pendapatan rakyat yang dibebani kenaikan harga barangan dan kadar inflasi yang tidak menentu.

AMK Selangor percaya idea pendapatan isi rumah akan membantu mengurangkan jurang kemiskinan antara kaum kerana pelbagai pendekatan dan mekanisma akan menyusul bagi menjayakan konsep ini.

Malahan,rakyat tidak mengira samada di bandar dan di kampung akan menerima impak terus menerus daripada pendekatan ini kerana ianya akan lebih menjurus berbanding pendekatan yang digunakan oleh kerajaan masakini yang dilihat belum mampu menyelesaikan banyak isu permasalahan berkenaan keadilan ekonomi dan kualiti bolehguna pendapatan isu rumah.

Golongan muda juga bakal mendapat manfaat jika idea ini dapat dilaksanakan kerana rata-rata golongan muda yang baru memulakan hidup berkeluarga memerlukan jaminan sumber pendapatan yang dapat memenuhi keperluan semasa.

Akhirnya,AMK Selangor sasaran ini adalah realistik dan mampu dicapai berasaskan prinsip Pakatan Rakyat yang memperjuangkan sistem ekonomi yang adil saksama, pentadbiran yang telus dan tekad memerangi rasuah.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Jumaat, 20 Ogos 2010

AMK Selangor Tolak Dalang Jejas Perpaduan Kaum

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

20 Ogos 2010

AMK Selangor Tolak Dalang Jejas Perpaduan Kaum

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha perpaduan kaum di negara ini.Merujuk kepada kenyataan berbaur perkauman oleh seorang pengetua di Johor dan beberapa individu sebelum ini ianya amat mendukacitakan.

AMK Selangor menyatakan bahawa kemerdekaan negara yang mencecah 53 tahun perlu diperkukuhkan dengan samangat iltizam seluruh warganegara untuk berganding bahu mengukuh iltizam membawa negara ini ke arah kecemerlangan.

Kita yakin rakyat negara ini sudah matang dan menolak sebarang usaha yang boleh memecahkan perpaduan kaum di negara ini. Kita mahu agar semangat kerjasama antara kaum semakin kukuh dan mantap.

AMK Selangor berasa dukacita dengan kejadian terpencil mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ini dan diharap semua pihak mengambil iktibar agar tidak berlaku lagi di masa hadapan.

AMK Selangor berharap semua pihak memahami dan menghormati kepelbagaian kaum di negara ini kerana keunikan dan keistimewaan ini adalah kekuatan yang perlu ditonjolkan kerana dalam kepelbagaian kita mampu mencipta keadilan dan kekayaan jiwa bangsanya.

Akhirnya,AMK Selangor yakin rakyat Malaysia sudah bijak menilai dan tidak mudah terjebak dengan sebarang usaha yang cuba memecahkan kekuatan perpaduan kaum yang sudah terjalin erat sejak sekian lama.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Jumaat, 13 Ogos 2010

Bidas Pihak Letak Kamera Pengintip di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat

13hb Ogos 2010

Bidas Pihak Letak Kamera Pengintip di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas dalang yang bertanggungjawab meletakkan kamera pengintip di pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor di bangunan SUK Selangor.Tindakan ini jelas berniat jahat dan dilakukan oleh desperado politik.

AMK Selangor yakin pihak berkenaan akan kecewa dan menemui kegagalan kerana jelas pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim selama ini mengamalkan prinsip ketelusan dan memerangi rasuah.

Kita juga menggesa satu siasatan rapi dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang meletakkan kamera pengintipan tersebut di bawa ke muka pengadilan.

AMK Selangor berkeyakinan bahawa selama ini prinsip pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang bersih dan telus akan terus dipertahankan malahan AMK Selangor amat menyanjungi prinsip dan ketegasan Menteri Besar Selangor dalam soal memerangi rasuah di negeri ini.

Kita juga berharap pihak-pihak yang berniat jahat dalam perkara ini melupakan hasrat mereka untuk mencari kesilapan Tan Sri Khalid untuk menggugat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana jelas keikhlasan beliau menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor dikagumi pihak rakan dan lawan.

AMK Selangor bertegas agar perkara sedemikian di ambil perhatian serius agar kejadian sedemikian rupa tidak berulang. Dan pihak-pihak bersubahat dalam perkara ini dikenakan tindakan tegas.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor