Adalah menjadi kebiasaan menjelang tarikh 31hb Ogos setiap tahun, maka diulang-ulang naratif sejarah menuntut kemerdekaan dari penjajah. Naratif itu pula tidak pernah berubah apatah lagi dicabar. Melalui media yang dikongkong, “sejarah” ini adalah versi muktamad, tiada yang benar melainkan yang terpampang dan disogok itu. Walaupun begitu siapakah mampu menahan Kebenaran?
Mutakhir ini sering pula ada golongan yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot. Hilang sudah senjata untuk berhujah, mereka memperalat sentimen perkauman sempit dan agama demi laba politik semata-mata. Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan?
Kemerdekaan pastinya mempunyai makna teristimewa dan penting buat seluruh Rakyat Malaysia. Ianya menyedarkan kita akan kewujudan sebuah negara yang menjadi tempat berteduh dan berlindung. Jarang sekali Kemerdekaan dicapai tanpa sebuah perjuangan, walau wadah perjuangan itu tidak semestinya menumpahkan darah. Perjuangan hatta dengan tinta sekalipun tetap sebuah perjuangan. Apa yang lebih penting adalah niat dan makna yang mendasari perjuangan tersebut. Kekalutan yang ditimbulkan golongan pelampau serta tidak bertanggungjawab di negara ini menuntut kita untuk kembali menyelami makna sebuah Kemerdekaan dan erti sebuah perjuangan.
Menjelang 53 tahun kita mencapai Kemerdekaan, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk:
-Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
-Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
-Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
-Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.
-Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
-Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.