Selasa, 31 Ogos 2010

Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi


Tahun ini, ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia melangkah ke angka 53. Pastinya pada usia kemerdekaan sebegini, sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.

2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.

Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu.

Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara.

Merdeka seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal. Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.

Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.

Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia