Ahad, 31 Januari 2010

AMK Selangor Desak Kerajaan Persekutuan Agar Mandat Rakyat Selangor Dihormati

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

1hb Februari 2010

AMK Selangor Desak Kerajaan Persekutuan Agar Mandat Rakyat Selangor Dihormati

Angkatan Muda Keadilan Selangor menuntut agar kerajaan UMNO/BN di peringkat persekutuan menghormati mandat rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU-12 lepas. Justeru, AMK Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan menghormati konsep federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. AMK Selangor mengulangi desakan agar kerajaan persekutuan bersikap professional berkenaan soal peruntukan dan geran pembangunan yang telah termaktub.

AMK Selangor juga berharap kerajaan persekutuan tidak mensabotaj sebarang usaha untuk membawa pelaburan asing atau FDI ke Selangor. Kita berharap usaha giat membawa pelaburan asing ke Selangor dapat memperbaiki kedudukan ekonomi negara yang kini masih memerlukan pemulihan dan suatu usaha bersepadu kerajaan persekutuan dan negeri.

Suara pilihan rakyat dalam PRU-12 perlu dihormati. Justeru kerajaan persekutuan di bawah UMNO/BN tidak menganaktirikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jika pimpinan persekutuan mempunyai jiwa besar memajukan negara. Kita tidak mahu ada usaha-usaha mana-mana menteri persekutuan menghalang mana-mana agensi kerajaan persekutuan untuk berbincang dan bertukar-tukar kepakaran bersama agensi di bawak kerajaan negeri Selangor.

AMK Selangor juga menggesa agar tiada kekangan dan sekatan peruntukan geran pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Selangor dilencongkan menggunakan apa jua alasan yang tidak professional dan terkongkong dalam persepsi politik sempit. Kita menggesa agar kerajaan persekutuan menghentikan sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat kerajaan Selangor disebabkan perbezaan dan pandangan politik.

Kita tidak mahu apa yang berlaku akibat rampasan kuasa di Perak. Kemelut tersebut berpanjangan sehingga kini yang menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara. AMK Selangor bertekad mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor daripada sebarang usaha untuk merampas kembali Selangor melalui taktik kotor dan tidak melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Usaha-usaha untuk mencetuskan suasana tegang antara agama dan kaum di negara ini oleh pihak-pihak yang ingin menghancurkan keharmonian dan kasih sayang antara rakyat perlu ditolak habis-habisan.

AMK Selangor berharap kekuatan ekonomi negara perlu dipulihkan segera. Maka tiada jalan lain melainkan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha memakmurkan ekonomi perlu digerakkan secara bersepadu bersama. Perbezaan politik tidak wajar menjadi tembok besi penghalang ke arah untuk membawa kemajuan dan kemakmuran ekonomi bersama.

Kerajaan persekutuan perlu menyedari, Malaysia semakin hilang tarikan para pelabur asing jika tiada usaha-usaha drastik memperkukuh kerjasama membawa pelabur asing tulen. Malahan usaha menaiktaraf industri tempatan sedia ada perlu ditingkatkan agar industri tempatan mampu menyediakan peluang pekerjaan di negara ini serta mampu ke peringkat global.

Justeru, AMK Selangor menyakini kerajaan persekutuan perlu akur untuk terus bersama-sama kerajaan Selangor memacu ekonomi negara ini. Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai kekuatan dan kepakaran tersendiri adalah aset besar negara yang mampu memberi impak besar kepada perubahan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

Kita mengharapkan agar kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO/BN bersedia dan berlapang dada untuk tidak menghalang usaha mana-mana agensi peringkat persekutuan untuk bersama-sama agensi di peringkat negeri bersama-sama duduk menyelesaikan isu secara kolektif dan tuntas. Kita amat berharap agar tiada menteri-menteri di peringkat persekutuan akibat perbezaan pandangan politik menghalang penjawat awam dan kakitangan kerajaan melaksanakan tugas dengan penuh professional untuk negara dan rakyat.

Akhirnya,diulangi ketegasan oleh AMK Selangor agar mandat rakyat di Selangor ini terus dihormati . Suara rakyat Selangor adalah suara keramat.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Kerajaan Digesa Agar Menghormati Hak Kebebasan Mahasiswa

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

31hb Januari 2010

Kerajaan Digesa Agar Menghormati Hak Kebebasan Mahasiswa

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa pihak kerajaan agar menghormati dan akur akan hak mahasiswa untuk bersuara dan memperjuangkan idelisme mereka berkenaan isu-isu yang diperjuangkannya. AMK Selangor melihat gerakan mahasiswa cukup penting untuk sesebuah negara kerana medan ini adalah pentas terbaik untuk mereka mencungkil dan mengembangkan bakat kepimpinan dan membawa idea-idea inovatif dan dinamik.

AMK Selangor menyatakan pendirian tegas agar kebebasan mahasiswa tidak dipenjara dengan pelbagai sekatan,peraturan dan akta yang menjadi penghalang kepada suara-suara mahasiswa. Indeks kualiti universiti di Malaysia yang semakin merosot amat membimbangkan serta dilihat amat getir kepada masa hadapan Malaysia. AMK Selangor melihat, kerajaan perlu menghargai suara-suara mahasiswa yang prihatin kepada soal-soal mahasiswa dan isu-isu masyarakat yang diketengahkan.

Sudah tiba masanya,kerajaan mengambil kira pandangan golongan mahasiswa sebelum melaksanakan sesuatu dasar penting negara kerana keterlibatan awal mahasiswa dalam sesuatu keputusan besar negara merupakan pendedahan awal sebelum mereka menjadi pemimpin masa hadapan di Malaysia. AMK Selangor juga risau dan amat prihatin kepada gerakan mahasiswa negara ini yang terus menerima pelbagai tekanan jika pandangan dan pendapat mereka bertentangan dengan idea pihak pemerintah.

AMK Selangor mahu melihat lebih ramai lagi golongan mahasiswa yang prihatin dengan permasalahan negara dalam soal ekonomi, sosial , kebajikan rakyat dan dasar-dasar negara. Kita tidak mahu potensi besar mahasiswa yang mempunyai bakat dan jiwa besar terkubur dan terjebak dengan sindrom kelesuan dan kejumudan mahasiswa yang amat membimbangkan.

AMK Selangor juga menyuarakan kebimbangan yang besar cabaran masa kini dan masa hadapan golongan mahasiswa untuk berhadapan dengan era globalisasi dan persaingan sejagat. Kerajaan perlu menyediakan ruang yang kondusif kepada mahasiswa untuk lebih berketrampilan sehingga peringkat antarabangsa. Golongan mahasiswa kelak ini akan mengisi ruang-ruang yang ditinggalkan oleh kepimpinan masa kini di semua peringkat. Justeru, tidak lain dan tidak bukan mahasiswa perlu diperkasakan dalam sudut idealisme dan dalaman serta mampu bertindak dan membuat keputusan dalam dunia realiti sebenar.

AMK Selangor mahu melihat mahasiswa-mahasiswa berperanan menjadi jurubicara rakyat dan ummah kerana prinsip mereka tidak terikat dengan agenda politik tetapi idealisme mereka lahir di atas nama prinsip perjuangan yang mutlak serta tidak berkepentingan. Mahasiswa perlu tampil menjadi pencetus kebangkitan suara pembaharuan tatkala negara kaku dan lesu dalam membawa sebarang gagasan yang dinamik dan futuristik.

Akhirnya, AMK Selangor menggesa agar lebih ramai lagi mahasiswa sedar dan prihatin dengan nasib masa hadapan negara ini. Keterlibatan secara aktif mahasiswa memperjuangkan isu-isu keadilan, keamanan dan pembelaan rakyat mampu merubah persepsi masyarakat bahawa mahasiswa era masa kini kaku, lesu dan jumud. Diharap mahasiswa terus komited dan sensitif isu-isu masa kini dan bersedia ke hadapan dengan garapan idea-idea penyelesai untuk kesejahteraan semua.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

AMK Selangor Gesa Semua Pimpinan Dan Anggota PKR Fokus Untuk Menawan Putrajaya Dalam PRU-13

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

31hb Januari 2010

AMK Selangor Gesa Semua Pimpinan Dan Anggota PKR Fokus Untuk Menawan Putrajaya Dalam PRU-13

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak pimpinan dan anggota PKR di seluruh negara agar fokus dan mempunyai ‘mind setting’ untuk membentuk kerajaan baharu persekutuan dalam PRU-13 ini. Justeru seluruh kerangka kepimpinan dan anggota PKR agar menumpukan usaha memperkasa parti di peringkat akar umbi serta dapat mengelakkan pergeseran dan perbezaan pendapat secara terbuka.

AMK Selangor menaruh harapan yang cukup tinggi akan kebijaksanaan seluruh pimpinan, ADUN dan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat untuk fokus dan menggiatkan usaha ke arah pembentukan kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Rakyat dalam PRU-13. Hentikan segera percakaran sesama sendiri dan mulakan segera lembaran baru memperhebat gerak kerja menuju kemenangan membentuk kerajaan persekutuan dan menawan semua negeri.

AMK Selangor berharap segala usaha dan gerak kerja membela rakyat dipertingkatkan bagi memastikan agenda perubahan dan pembaharuan yang diperjuangkan selama ini menjadi realiti. Kita perlu sedaya upaya mencari titik persefahaman antara ahli dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan dan provokasi pihak UMNO/BN yang bercita-cita untuk menghancurkan kekuatan PKR dan Pakatan Rakyat melalui senyap dan dalam.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah kebijaksanaan politik apabila berhadapan dengan serangan bertali arus pihak UMNO/BN yang kini kian terdesak menggunakan apa jua strategi dan taktik untuk ‘divide and rule’ di kalangan kelompok pendukung PKR dan menghancurkan gagasan baru membela rakyat yang di bawa oleh PKR dan Pakatan Rakyat.

AMK Selangor yang mewakili suara generasi muda melihat suasana ekonomi, pendidikan, sosial, sistem keadilan dan keselamatan negara kian parah. Lantaran itu,AMK Selangor amat mengharapkan agar untuk Selamatkan Malaysia tidak lain dan tidak bukan ialah kemenangan bergaya Pakatan Rakyat dalam PRU-13 ini. AMK Selangor melihat sokongan rakyat akan meningkat jika kita semua berlapang dada menyelesaikan perbezaan pendapat dan menghormati prinsip ‘Adabul Ikhtilaf’.

Yakinlah, usaha membentuk kerajaan persekutuan oleh Pakatan Rakyat semakin hampir kini namun rintangan yang menghalang gagasan perubahan ini juga amat besar. Generasi muda melihat negara perlu diselamatkan kerana jelas kegagalan UMNO/BN mutakhir ini dalam pelbagai isu yang timbul menjadi penghalang untuk Malaysia kembali bangkit menjadi kuasa ekonomi baru dan menjadi pemangkin tamadun baru dengan nilai sosial murni yang tinggi.

Seluruh pimpinan dan anggota PKR perlu menyedari, harapan dan ‘expectation’ yang diberi rakyat terlalu tinggi kerana kebejatan dan kerosakkan yang dibawa oleh UMNO/BN dalam sistem negara ini kian dan amat parah. Maka,kita semua tidak jalan lain melainkan mempertingkatkan ilmu dan skil kemahiran mengurus negara dengan gaya baru dan berbeza. Apabila kita sudah berjaya membentuk kerajaan persekutuan kelak, kita mampu tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan dinamik untuk mengurus Malaysia tampil menjadi negara hebat dan disegani dunia.

AMK Selangor mengingatkan, usaha-usaha untuk memecahbelahkan kekuatan PKR dan gabungan mantap Pakatan Rakyat akan semakin hebat dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak suka melihat perubahan dan gagasan baru diterima rakyat Malaysia. Mereka yang sayang kepada perjuangan parti dan kuasa rakyat tidak akan sekali-kali melakukan tindakan tergopoh-gapah yang boleh menjejaskan imej parti dan menimbulkan suasana haru-biru.

AMK Selangor melihat,rakyat akan terus menyokong usaha dan harapan pembaharuan yang diperjuangkan PKR dan Pakatan Rakyat jika terus bercakap berkenaan soal-soal agenda pembaharuan ekonomi, sosial, sistem kehakiman, keselamatan negara dan hubungan harmoni masyarakat negara ini. Kita sebenarnya mempunyai formula ampuh bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat untuk membina masa hadapan negara yang lebih cemerlang. Jangan kerana tidak dan kurang berpuas hati dengan keputusan sesetengah pimpinan, kita menggadai harapan perubahan yang digalaskan rakyat kepada kita semua.

AMK Selangor sekali lagi mengingatkan, pihak UMNO/BN amat gembira jika kepimpinan dalam PKR dan Pakatan Rakyat saling berkonflik walaupun atas isu yang kecil dan boleh diselesaikan. Media lapuk UMNO/BN akan mencanang ke seluruh negara seolah-olah menggambarkan apa yang berlaku satu krisis hebat dan besar. Matlamat UMNO/BN ini ialah agar sokongan dan dokongan hebat rakyat akan terhakis.

AMK Selangor juga menganjurkan agar seluruh kepimpinan PKR dan anggotanya sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah dengan mempertingkatkan taqwa dan amal-amal soleh. Doa dan munajat perlu diperhebatkan tatkala serangan hebat bertali arus dari seluruh arah menghentam. Manakala hubungan mesra dan kasih sayang sesama ahli perlu diperkasakan agar suasana kasih sayang antara sesama ahli dan rakyat menjadi kekuatan ampuh untuk kita menerajui kerajaan persekutuan. Kita amat kesuntukkan masa untuk saling tuding-menuding jari sesama sendiri, tetapi dalam masa yang singkat ini fokus dan keutamaan ialah bagaimana gerak kerja adalah denyut nadi menjana kemenangan mutlak.

Malaysia mengharapkan kemunculan pemimpin berjiwa dan mempunyai gagasan besar. Maka, sudah tiba masanya gaya kepimpinan dan gerak kerja anggota PKR mencetuskan inspirasi dan motivasi baru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa menyelamatkan Malaysia sedaya upaya kini yang semakin parah. Kita tiada masa untuk berbicara soal remeh temeh dan picisan kerana masa yang terlalu suntuk untuk kita semua untuk membangkitkan kuasa rakyat sebagai kuasa keramat.

AMK Selangor amat mengharapkan, fokus dan komitmen tinggi di kalangan kepimpinan dan anggota agar ‘mind setting’ tidak lagi tersasar. Bangkitlah sebagai pemimpin berjiwa dan mempunyai gagasan besar dan anggota yang menjadi obor perjuangan rakyat untuk membawa kembali Malaysia menjadi negara hebat di peringkat serantau dan global.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Sabtu, 30 Januari 2010

AMK Selangor Kutuk Serangan Terhadap 2 Buah Masjid Dan Pihak Polis Yang Merobohkan Pentas Kerajaan Negeri Selangor di Batu Caves,Selangor

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

30hb Januari 2010

AMK Selangor Kutuk Serangan Terhadap 2 Buah Masjid Dan Pihak Polis Yang Merobohkan Pentas Kerajaan Negeri Selangor di Batu Caves,Selangor

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk serangan tidak bertamadun dengan menggunakan kepala khinzir di dua buah masjid di Masjid Imam At-Tarmizi Taman Seri Sentosa dan Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun,Petaling Jaya. Jelas tindakan biadap ini adalah provokasi untuk mewujudkan suasana tegang dan konflik di kalangan penduduk berbilang agama dan kaum di negara ini.

AMK Selangor juga menyelar Ketua Polis Selangor yang sehingga kini gagal membawa dalang dalam kejadian tersebut ke muka pengadilan. Malahan beliau juga gagal melaksanakan tugas pencegahan dengan baik kerana kejadian serangan ke atas rumah ibadah semakin menjadi-jadi mutakhir kini.

Dalam pada itu juga, AMK Selangor meragui professionalisme Ketua Polis Selangor dalam isu kejadian merobohkan pentas yang dibina untuk tujuan program kerajaan negeri Selango di Batu Caves,Selangor dengan alasan yang tidak boleh diterima. Malahan tindakan beliau seolah-olah tidak hormat kepada kerajaan Selangor yang mempunyai hak untuk menganjurkan programnya sendiri.

Justeru,AMK Selangor ingin menegaskan jika beliau bertindak sedemikian dan terus bertindak tidak adil kepada kerajaan Selangor. Maka, AMK Selangor mendesak beliau meletak jawatan selaku Ketua Polis Selangor dengan segera dan bertanding dalam mana-mana cawangan parti politik seperti UMNO. Kita percaya tindakan beliau dipengaruhi tindakan politik dan bermotif politik serta langsung tidak hormat kepada kerajaan Negeri Selangor yang mendapat mandat kukuh daripada rakyat.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Khamis, 28 Januari 2010

AMK Selangor Gesa Perdana Menteri Panggil Sidang Tergempar Parlimen Bahas Isu Serangan Ke Atas Rumah Ibadah

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

28hb Januari 2010

AMK Selangor Gesa Perdana Menteri Panggil Sidang Tergempar Parlimen Bahas Isu Serangan Ke Atas Rumah Ibadah

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa rakyat agar tidak mudah terjebak dengan provokasi berikutan beberapa serangan sejak 3 minggu lepas ke atas gereja,surau dan masjid. Kita mahu agar perkara ini disiasat oleh Suruhanjaya bebas kalangan pakar antarabangsa kerana perkara ini agak rumit dan sukar dirungkaikan.

AMK Selangor mengulangi kutukan keras terhadap serangan ke atas rumah-rumah ibadah sejak mutakhir ini yang dipercayai cubaan mewujudkan suasana tegang dan tidak tenteram di kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa. Kita berharap agar perkara ini tidak berterusan dan suatu tindakan konkrit dan pantas perlu untuk memastikan keharmonian dan semangat kasih sayang antara berbilang bangsa dan agama di negara ini terjamin.

AMK Selangor bersama-sama dan menyokong penuh kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin muda gerakan belia Asean dari perikatan parti-parti utama Malaysia dan Indonesia yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan keatas masjid di Petaling Jaya semalam.


Dalam apa yang dipanggil ‘Konsensus Manila’, sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia, Golkar, Gerindra dan Partai Bulan Bintang berkata serangan ini adalah keganasan yang dilakukan oleh pihak yang mahu mencetuskan ketegangan agama.


AMK Selangor juga berharap tindakan proaktif Perdana Menteri khususnya untuk segera menyelesaikan perkara ini daripada berlanjutan dan berpanjangan. Kita mahu Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen untuk membahaskan isu tergempar ini kerana perkara ini cukup sensitif dan panas serta amat mendesak kerana melibatkan keselamatan dan keharmonian pelbagai bangsa di Malaysia.


Kita mahu hasil daripada sidang khas tergempar ini mampu membawa tindakan yang tepat dan pantas untuk menghentikan terus kejadian yang semakin menjadi-jadi ini. Rakyat menilai kepimpinan Perdana Menteri kini sama ada berupaya menyelesaikan isu panas ini atau sekadar membiarkan perkara ini berlanjutan yang menyebabkan imej dan nama negara kini semakin tercemar akibat kejadian serangan ke atas tempat ibadah ini.


Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

AMK Selangor Bidas Badrul Hisham Pertikai Kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

28hb Januari 2010

AMK Selangor Bidas Badrul Hisham Pertikai Kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas kenyataan Badrul Hisham ADUN ‘lompat’ yang mempertikaikan kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor. AMK Selangor ingin menegaskan bahawa Badrul Hisham langsung tidak layak mengulas dan mempertikaikan kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang jelas prestasi dan kredibiliti mantap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mempunyai pengalaman dan idea hebat untuk membangunkan ekonomi negara.

AMK Selangor ingin menarik perhatian rakyat khususnya penduduk di DUN Pelabuhan Klang menolak kepimpinan Badrul Hisham yang jelas gagal melaksanakan tugasnya sebagai ADUN yang efektif dan bertanggungjawab sebelum ini. Beliau perlu sedar kemenangan yang membolehkannya menjadi ADUN adalah menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat. Rakyat keseluruhannya tidak boleh menerima seorang YB yang bersikap hipokrit dan tidak mempunyai integriti.

AMK Selangor mengulangi desakan jika Badrul Hisham masih mempunyai harga diri sebagai ahli politik yang bermaruah dan integriti perlu segera melepaskan jawatannya sebagai ADUN Pelabuhan Klang dan bertandiang semula menggunakan kapasiti Bebas. Beliau yang semakin mengkritik kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan kredibiliti Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai erti dan makna sedangkan beliau mempunyai masalah integriti dan jatidiri.

AMK Selangor menegaskan agar rakyat dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang tidak menghiraukan kenyataan Badrul Hisham yang semakin melalut dan merepek. AMK Selangor amat yakin dengan keupayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor untuk mendepani perubahan ekonomi Selangor dan membawa masuk pelaburan asing ke Selangor dengan lebih mantap dan berterusan.

Siva Shankar A/L Ganesan

Timbalan,Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor

AMK Selangor Sokong Kuat MB Selangor Dedah Maklumat Yayasan Basmi Kemiskinan

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

28hb Januari 2010

AMK Selangor Sokong Kuat MB Selangor Dedah Maklumat Yayasan Basmi Kemiskinan

Angkatan Muda Keadilan Selangor memberi sokongan kuat dan padu kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendedahkan laporan berkenaan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada umum. Tindakan ini amat penting dan perlu kerana rakyat Selangor mempunyai hak untuk mengetahui ke mana wang dibelanjakan dalam program pembasmian kemiskinan ini.

AMK Selangor ingin menegaskan bahawa Dato’ Menteri Besar Selangor mempunyai kuasa bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan hak beliau sebagai Menteri Besar di bawah Seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.Kita mahu agar Yayasan Basmi Kemiskinan agar menyediakan laporan audit kewangannya agar ketelusan Yayasan tersebut selama ini tidak diragui.

AMK Selangor juga berharap pihak YBK bersifat professional dalam isu ini dan tidak berfikiran politik sempit yang mana hanya akan merugikan rakyat sahaja. Jika benar YBK berjuang untuk membasmi kemiskinan maka soal kecil dan remeh temeh perlu dilontarkan jauh dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk membawa agenda pembasmian kemiskinan dengan lebih dinamik dan bersungguh-sungguh.

AMK Selangor ingin menegaskan bahawa kemiskinan di bandar-bandar dan pekan-pekan perlu diberi perhatian. Ini adalah disebabkan perubahan sosioekonomi negara ini di mana kos sara hidup yang tinggi telah menyebabkan warga pekan dan bandar juga semakin terasa kesan dan impak ekonomi. Justeru agenda pembasmian kemiskinan adalah isu semua pihak yang perlu diperjuangkan tanpa rasa sebarang perbezaan fahaman politik.

Sudah tiba masannya agar YBK terus bersama-sama fokus dalam agenda pembasmian kemiskinan ini. Kita juga mahu agar segala usaha baik dapat dijalankan bersama agar dapat membina masa hadapan rakyat dan negara yang lebih bahagia dan makmur sejahtera.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

ASEAN MUST BE FREE FROM EXTREMISM

PRESS RELEASE

27TH JANUARY 2010

ASEAN MUST BE FREE FROM EXTREMISM

We, as the young leaders of ASEAN and Youth Leaders of major political parties and alliances of Malaysia and Indonesia, Golkar, Partai Bulan Bintang, and Pakatan Rakyat Youth Wing; strongly condemn the recent incident of throwing wild-boar heads into two mosques in Malaysia; (Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun in Petaling Jaya and Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama). It is truly an irresponsible act of crime committed by certain factions of the society in Malaysia; those who resorted to racial and dirty politics in order to ignite religious and racial tension.

Over the last three weeks, Malaysia reputation has been tarnished with series of irresponsible attacks towards places of worship throughout the country. Malaysia as part of ASEAN community, is known for its cultural and religious diversity. We are saddened with incidents depicting increasing intolerance. There is a clear and urgent need to address instances of extremism. Seditious statements and provocative actions are counter-productive and would unnecessarily disrupt peace in the region.

We believe as what has been pointed out by H.E Dato’ Seri Anwar Ibrahim in the recent article of Asia Wall Street Journal, there is a pressing need in the Muslim world for a leadership that demonstrates consistency and credibility in our call for justice, fairness and pluralism. This is the moment for us to reject fanaticism and remain calm.

MAKATI CITY, MANILA

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN

Youth Chief, People’s Justice Party (Malaysia)

DAVE AKBARSHAH FIKARNO LAKSONO

Youth Chief of AMPI,GOLKAR Party ( Indonesia)

AHMAD TOHA ALMANSUR

General Leader, Indonesian Moslem Youth Movement (Indonesia)

MOHD YUSMADI MOHD YUSOFF

Member of Parliament, Balik Pulau (Malaysia)

SJUKRIANTO Y

Chief of Central Committee GERINDRA Party (Indonesia)

SIM TZE TZIN

State Assemblyman, Pulau Pinang (Malaysia)

FATHURRAHMAN MAHFUDZ

Head of International Affairs, Crescent Star Party (Indonesia)

KAMARULZAMAN MOHD

Secretary of PAS Youth Chief (Malaysia)

ANDI SYAFRANI

Lawyer, Political Consultant and Lecturer State Islamic University Jakarta (Indonesia)

Jumaat, 22 Januari 2010

Mohd Faizal Baharuddin Adalah Ketua AMK Cabang Kuala Selangor Yang Sebenar

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

22hb Januari 2010

Mohd Faizal Baharuddin Adalah Ketua AMK Cabang Kuala Selangor Yang Sebenar

Angkatan Muda Keadilan Selangor menjelaskan bahawa Saudara Mohd Faizal Baharuddin adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kuala Selangor yang sebenar dan bukan Nizaruddin Darmawan seperti yang dilaporkan oleh media. Justeru Ketua AMK Cabang Kuala Selangor yang sebenar dan sah iaitu Mohd Faizal Baharuddin tidak pernah sama sekali terlibat dalam komplot cubaan membubarkan Cabang PKR Kuala Selangor.

Oleh itu, dakwaan Ketua AMK Cabang Kuala Selangor meletak jawatan adalah tidak benar sama sekali. Mohd Faizal Baharuddin telah mengambil alih kepimpinan AMK Cabang Kuala Selangor melalui pemilihan semula mengikut perlembagaan yang ditetapkan selepas Nizaruddin Darmawan tidak aktif menggerakkan AMK Cabang Kuala Selangor sebelum dan selepas PRU-12. Malahan segala butir-butir maklumat pemilihan ini sudah dihantar laporannya malahan semasa Mesyuarat Agung AMK Cabang Kuala Selangor pada 2008,Mohd Faizal adalah ketua AMK Cabang Kuala Selangor yang sebenar yang dihadiri oleh semua AJK AMK Cabang Kuala Selangor bersama pemerhati daripada AMK Selangor dan Pusat.

Malahan mesyuarat Exco AMK Selangor , Mohd Faizal Baharuddin yang hadir untuk mesyuarat tersebut sejak daripada pemilihannya. Oleh itu, AMK Selangor menolak sama sekali dakwaan bahawa Nizaruddin Darmawan adalah ketua AMK Cabang Kuala Selangor yang sebenar.

Adalah dengan penjelasan media ini, maka sewajarnya semua pihak tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa ketua AMK Cabang Kuala Selangor telah meletak jawatan. Malahan keyakinan AMK Cabang Kuala Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim adalah mantap dan memberi sepenuh kepercayaan untuk beliau terus memimpin Cabang PKR Kuala Selangor.

AMK Selangor membidas pihak UMNO yang cuba menangguk di air keruh dalam situasi dalaman PKR Cabang Kuala Selangor. Pihak AMK Selangor memberi amaran keras kepada UMNO agar tidak sekali-kali cuba mencampuri urusan dalaman PKR khususnya apa yang berlaku di Cabang PKR Kuala Selangor.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Rabu, 20 Januari 2010

Mencari Kesepakatan Dan Memperkukuh Dakwah


Sememangnya majlis seperti ini pastinya tidak sunyi dari hujah dan dalil. Apatah lagi ianya menyangkuti isu yang menjadi perhatian segenap lapisan rakyat, baik muslim atau bukan muslim. Kehangatan perdebatan dan ketajaman hujah yang dihunus menjadikan wacana semalam seumpama kolam yang melimpah airnya.

Ilmu yang dikongsi pastinya membuahkan manfaat manakala diakui kegusaran umat Islam terhadap kegagalan pimpinan umno meninggikan syiar serta memperhebat usaha dakwah.

Apa tidaknya demi kelansungan kekuasaan, pimpinan umno membaluti isu ini dengan sentimen politik perkauman sempit di samping gagal membenihkan kefahaman jitu. Jika yang dibahas umno itu isu prinsip asas keyakinan umat Islam, budaya Melayu dan undang-undang negara; mengapa – Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang mahu pula dibenarkan.

Tatkala negara berada di persimpangan sebegini, jalan yang dipilih adalah di atas pertimbangan politik semata. Mengapa tidak disiarkan pandangan ulama seperti Syeikh Yusuf al Qaradawi dan Syeikh Wahbah yang bertentangan dengan aliran propaganda murahan pimpinan umno? Kerana mereka menuntut keadilan buat saya? Kerana pandangan mereka tidak menguntungkan kerajaan?

Yang pasti, hadirin bersetuju usaha gigih menegakkan Keadilan dan melawan kezaliman merupakan sebahagian dari usaha memperhebat syiar Islam.

ANWAR IBRAHIM

Selasa, 19 Januari 2010

AMK Selangor Anggap ‘UMNO Adalah Juara Rasuah’

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

20hb Januari 2010

AMK Selangor Anggap ‘UMNO Adalah Juara Rasuah’

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap kempen terdesak pihak UMNO untuk memenangi hati rakyat dengan slogan ‘UMNO Juara Rakyat’ adalah omongan kosong dan gimik politik murahan semata-mata. Jelas setelah rakyat menolak politik perkauman sempit yang diamalkan UMNO/BN dalam PRU-12, mereka semakin terdesak untuk mengemis sokongan rakyat. Sebelum ini pemimpin-pemimpin politik UMNO/BN angkuh dan sombong untuk mendengar suara dan rintihan rakyat malahan suara rakyat sering diperlecehkan dan diinjak-injak.Malahan suara daripada golongan muda langsung tidak dipandang.

Kini setelah rakyat sedar dan mengetahui akan kebobrokkan politik UMNO/BN yang sekadar berjuang untuk wang dan kepentingan diri yang sempit. Di tambah dengan kekalahan teruk UMNO/BN dalam sejarah pilihanraya umum di Malaysia. UMNO mula terhegeh-hegeh untuk mendampingi rakyat. AMK Selangor ingin menyatakan bahawa rakyat tidak semudah dan selunak itu untuk terus ditipu dan dibohongi oleh politik UMNO/BN yang sarat dengan budaya rasuah ,penyelewengan wang rakyat dan skandal menjijikkan.

AMK Selangor juga ingin menegaskan jika UMNO sahaja juara rakyat bagaimanapula parti komponen dalam Barisan Nasional yang lain. Ini membuktikan bahawa UMNO tidak pernah menganggap bahawa parti-parti dalam Barisan Nasional ini adalah juara rakyat juga selama ini. Justeru, apa lagi yang ditunggu untuk bersama-sama UMNO dalam Barisan Nasional kerana UMNO hanya mempergunakan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional hanya dalam pilihanraya sahaja. Kemudian jasa dan pengorbanan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional terus dilupakan.

Maka ini adalah masa yang amat sesuai komponen dalam Barisan Nasional menilai semula hubungan politik dengan UMNO. Politik UMNO umpama bahtera yang sedang karam sedikit demi sedikit. Oleh itu keluar segera daripada bahtera usang UMNO yang semakin hari mulai tenggelam akibat arus perubahan besar yang melanda dunia dan iklim politik negara.

Jika benar UMNO adalah juara rakyat mengapa dan kenapa beberapa tindakan dan dasar selama ini dan akan datang tidak selaras dengan slogan tersebut. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,cukai GST, dasar liberalisasi ala penjajahan asing, dasar PPSMI, Akta drakonian seperti OSA,ISA dan hasutan dan pelbagai lagi jelas bertentangan dengan suara dan kehendak rakyat. Apa lagi yang ingin dibuktikan bahawa UMNO adalah jaguh dan juara sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO terus membuat dasar yang menyusahkan rakyat.

AMK Selangor ingin menegaskan politik masa hadapan Malaysia adalah politik perubahan dan keadilan sejagat. 50 tahun sudah diberi peluang kepada UMNO/BN memerintah negara. Maka sudah tiba masanya Pakatan Rakyat menjadi pentadbir baru negara untuk membawa gagasan baru selepas ini. Ibn Khaldun dalam karya agungnya ‘Mukaddimah’ menyatakan perihal kejatuhan tamadun besar akibat pemimpin yang berfoya-foya,rasuah dan salah guna kuasa. Maka benar bahawa UMNO/BN sudah berada dihujung kuasa. Oleh itu, apalagi harapan dan gagasan besar yang mampu dibawa dan diperjuangkan oleh UMNO untuk rakyat ?. UMNO kini semakin hari meniti detik dan masa era kejatuhan yang berpunca akibat rasuah politik wang yang berleluasa dan salah guna kuasa.

Jika benar UMNO juara rakyat, mengapa suara dan kehendak rakyat selama ini diinjak-injak dan dipandang rendah.Ke mana perginya pembelaan terhadap nasib golongan setinggan,rakyat marhaen dan pekerja. Mana pembelaannya membela rakyat ketika mana tanah rakyat dirampas dan rumah dirobohkan. Ke mana juga rakyat diangkat martabatnya ketika suara kecil rakyat langsung tidak dipandang dan dikesahkan.

AMK Selangor ingin mengingatkan UMNO memang juara rakyat dalam hal merampas tanah rakyat, rasuah dan penyelewengan, skandal akhlak dan moral,membawa kebobrokkan kepada sistem kehakiman,merampas kuasa di Perak dan pelbagai lagi persepsi negatif. Oleh itu,rakyat perlu menyedari UMNO akan berbuat apa sahaja untuk mengemis simpati rakyat dan menggunakan pelbagai isu sensitif untuk talian hayat politik sempit mereka.

Akhirnya, AMK Selangor yakin bahawa rakyat tidak mudah termakan dengan slogan UMNO Juara Rakyat kerana jelas bahawa trek rekod UMNO dulu,kini dan selama ini memang UMNO adalah juara rasuah politik dan banyak dasarnya menyusahkan dan membawa beban kepada rakyat dan negara.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

AMK Selangor Pertahan MB Selangor Dalam Isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

19hb Januari 2010

AMK Selangor Pertahan MB Selangor Dalam Isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertahankan keputusan Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berhubung beberapa perkara berkenaan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). AMK Selangor menyokong tindakan Menteri Besar dan beberapa individu daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk berada dalam hierarki pengurusan dan pentadbiran Yayasan Basmi Kemiskinan.

AMK Selangor menyatakan ketegasan bahawa Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai hak dan tanggungjawab moral yang besar bagi memastikan segala urusan berkenaan YBK sentiasa telus dan berintegriti. Malahan ia adalah untuk memastikan bahawa wang rakyat yang diberi kepada YBK dibelanjakan dengan penuh berhemah dan bijaksana bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Malahan dengan adanya beberapa individu khususnya Menteri Besar dalam Yayasan Basmi Kemiskinan dapat memberikan tambah nilai dan impak positif kepada YBK. Tiada apa yang perlu ditakuti dan digeruni oleh pihak pengurusan YBK kini kerana AMK Selangor percaya bahawa Yayasan ini diurus dan ditadbir dengan baik. Kita juga yakin tiada apa yang perlu diselindungkan oleh YBK kerana AMK Selangor percaya kepada prinsip ketelusan dan professional pihak YBK.

Dalam pada itu juga, AMK Selangor menggesa pihak-pihak dalam YBK dapat mengetepikan perbezaan dan pandangan politik . Isu pembasmian kemiskinan adalah isu untuk semua pihak perjuangkan dalam usaha pembasmiannya. Malahan AMK Selangor yakin dengan keterlibatan pihak kerajaan negeri Selangor dengan lebih giat dan aktif akan memberi pulangan dan impak positif kepada pihak YBK dan juga rakyat keseluruhannya.

AMK Selangor berharap kepada pihak YBK jika mempunyai kejujuran dan keihklasan berjuang untuk membela nasib rakyat yang termiskin dan miskin, tidak menjadi kesalahan besar untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri Selangor. Sudah tiba masanya untuk kita semua berganding bahu dan membina semangat bekerjasama serta tolak ansur untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

Akhirnya,AMK Selangor juga menaruh harapan agar pihak YBK mempunyai sikap keterbukaan dan professionalisme yang tinggi untuk membawa agenda pembasmian kemiskinan ini berjaya menjadi contoh dan role model kepada pembasmian kemiskinan di negara ini.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Jumaat, 15 Januari 2010

AMK Selangor Pertikai Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Berkenaan Hebah Aduan Rasuah Kena Penjara

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

15hb Januari 2010

AMK Selangor Pertikai Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Berkenaan Hebah Aduan Rasuah Kena Penjara

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertikaikan kenyataan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu,Datuk Abu Kassim Mohammad yang mendakwa tindakan mengikut Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009 akan diambil mulai sekarang terhadap pihak yang menghebahkan aduan rasuah yang dibuat kepada SPRM dikenakan tindakan sehingga boleh dipenjara. Peringatan ini diberi kepada pihak pengadu,media dan ahli-ahli politik.

Tindakan SPRM sedemikian mengikut pengamatan AMK Selangor tidak banyak membantu dalam usaha memerangi rasuah di negara ini malahan akan lebih banyak mengundang pelbagai spekulasi negatif kepada SPRM. Berkemungkinan tindakan tersebut bakal menyebabkan lebih banyak para pengadu takut untuk untuk membuat laporan kes rasuah kerana mungkin ada pihak yang mendedahkan aduan tersebut kepada umum yang menyebabkan para pengadu teraniaya.

AMK Selangor juga menggesa agar Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini membawa satu imej yang lebih professional,dinamik dan bebas untuk membawa SPRM menjadi institusi negara yang memerangi rasuah disegani sehingga peringkat antarabangsa. AMK Selangor tidak mahu melihat ada pihak yang akan menerima akibat dipenjara jika membuat hebahan kerana yang perlu diberi keutamaan ialah siasatan aduan kes rasuah yang dikemukakan.

Adalah perlu juga bagi memastikan pihak saksi tampil membantu siasatan. Perlindungan kepada saksi diberi keutamaan khususnya untuk tampil memberi keterangan di mahkamah tanpa sebarang ugutan dan tekanan daripada mana-mana pihak. Bagi memastikan perlindungan saksi ini diberi perhatian serius maka sewajarnya sistem perlindungan saksi seperti negara-negara yang sudah melaksanakan dikaji dan diterapkan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, AMK Selangor memohon penjelasan lengkap dan menyeluruh kepada pihak umum berkenaan Sekyen 29(4) Akta SPRM 2009 . Ini kerana ramai masih keliru dan tidak sedar akan perkara ini serta untuk memastikan tiada mana-mana pihak seperti pengadu, pihak media dan mana-mana pihak teraniaya akibat tidak memahami dengan jelas peruntukan tersebut. AMK Selangor tidak melihat peruntukan Sekyen 29 (4) Akta SPRM 2009 ini satu keperluan mendesak untuk dilaksanakan kerana banyak lagi usaha untuk memerangi rasuah di negara ini perlu dilaksanakan.

AMK Selangor melihat keadilan yang perlu dilaksanakan dalam konteks yang lebih meluas. Amat jelas dalam peruntukan undang-undang bahawa seseorang itu tidak lagi disabitkan bersalah sehinggalah benar-benar terbukti bersalah atau ‘One is innocent until proven guilty’. Konsep ini sudah menjelaskan segala-galanya bahawa jika hebahan berkenaan aduan rasuah dibuat ianya tidak akan mempengaruhi perjalanan kes tersebut kerana kes akan akan dibicarakan. Malahan pendedahan kepada umum hanya menjurus kepada maklumat-maklumat asas yang mana tidak akan menjejaskan keseluruhan perjalanan kes tersebut.

Justeru, AMK Selangor berharap pihak SPRM mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkenaan perkara ini. AMK Selangor berkeyakinan SPRM mampu menjadi institusi yang hebat dan dipandang tinggi jika menampilkan imej baru yang berani, bebas, professional dan berintegriti tinggi. Persepsi rakyat dan antarabangsa terhadap SPRM masih ditahap yang jatuh merudum akibat kegagalannya melaksanakan siasatan yang telus dan bebas khususnya kes yang berprofil tinggi yang pada persepsi rakyat seolah ada tangan-tangan ghaib yang mempengaruhinya.

AKhirnya, AMK Selangor berharap kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini mampu memperbaiki kedudukan indeks rasuah negara yang semakin jatuh merudum sejak akhir-akhir ini. AMK Selangor bertekad akan terus memerangi rasuah kerana ia adalah ‘kanser pemusnah senyap’ dalam sistem negara yang mampu menghancurkan dan membinasakan negara dan tamadun.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Jumaat, 8 Januari 2010

AMK Selangor Merayu Agar Jangan Gadai Keharmonian Dan Kemesraan Kepelbagaian Agama dan Kaum

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

09hb Januari 2010

AMK Selangor Merayu Agar Jangan Gadai Keharmonian Dan Kemesraan Kepelbagaian Agama dan Kaum

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat berharap dan merayu supaya rakyat khususnya di Selangor tidak menggadai keharmonian dan kemesraan kepelbagaian fahaman antara agama dan kaum di negara ini yang telah lama terbina dan terjalin . Suasana kemesraan yang telah lama ini tidak perlu dimusnahkan akibat tindakan segelintir pihak yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini. Justeru, AMK Selangor mengesa semua peringkat pemimpin politik, masyarakat dan NGO memainkan peranan proaktif untuk tidak terus membakar api rasa kebencian yang boleh mencetuskan kekacauan dan konflik.

AMK Selangor mengambil pendirian tegas mengutuk tindakan pihak dan dalang di sebalik tindakan keji membakar gereja oleh pihak-pihak yang tidak dikenali tujuan dan motifnya. AMK Selangor menjelaskan tindakan keji dan terkutuk itu amat bertentangan dengan ajaran Islam yang digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Kita berharap semua pihak mengambil usaha dan inisiatif bijak dan berhikmah menangani cabaran dan pertikaian ini.

AMK Selangor juga menggesa semua pihak agar tidak terbawa-bawa emosi melampau untuk cuba muncul menjadi jaguh dan hero dalam isu ini. Tindakan yang terbaik ialah melalui dialog peradaban dan antara agama yang melibatkan alim-ulama, intelektual, dan pihak gereja bagi memastikan satu pendekatan terbaik yang tidak menimbulkan konflik antara agama daripada berlaku.

AMK Selangor amat yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk tidak mudah terpengaruh untuk terlibat dengan mana-mana usaha yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini. Amat jelas rakyat mahu dan cintakan kedamaian dan keamanan yang telah lama terjalin di negara ini. Kepelbagaian dan perbezaan pandangan agama tidak menjadi tembok penghalang untuk mewujudkan suasana dan masyarakat yang berkasih-sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain.

AMK Selangor juga amat berharap selepas ini tidak berlaku lagi tindakan melampau yang cuba mencetuskan rasa tidak senang dan mengganggu ketenteraman dan kebebasan beragama yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi bahawa isu ini perlu ditangani dengan penuh bijak dan berhikmah semua pihak. Kita juga menggesa agar isu ini tidak berlarutan dan berpanjangan kerana harapan baru yang kita bina tidak wajar dimusnahkan akibat ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam isu hangat ini.

Perbuatan melampau dan keji membakar gereja dan tindakan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang antara penganut agama berlainan jelas bertentangan dengan semangat kemesraan rakyat berbilang agama di negara ini. Majoriti rakyat kini sudah matang dan mampu menilai sebarang isu yang timbul mutakhir ini adalah disebabkan berkemungkinan ada pihak yang tidak senang dengan suasana keharmonian dan kemesraan berbilang agama dan kaum.

Akhirnya, AMK Selangor mengulangi ketegasan agar semua pihak tidak terus menghangatkan dan ‘mencurah minyak’ untuk membakar isu ini. Mulakan inisiatif segera untuk mengembalikan kesefahaman dan suasana kemesraan dan hormat menghormati antara berbilang agama. Kita mengambil masa yang cukup panjang untuk membina masyarakat yang hidup aman dan damai. Jangan kerana isu ini semua rakyat terjebak dalam konflik agama seperti di negara luar yang sukar dirungkaikan dan amat rumit. Buktikan kita semua mahu dan cinta kepada keamanan dan kedamaian dan menolak sebarang usaha pihak mencetuskan keganasan.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor.

Jumaat, 1 Januari 2010

AMK Selangor Membantah Kenaikan Harga Gula Dan Roti

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

01hb Januari 2010

AMK Selangor Membantah Kenaikan Harga Gula Dan Roti

Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah tindakan kerajaan membuat keputusan menaikkan harga gula dan roti yang jelas akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat. AMK Selangor merasakan tidak wajar tindakan tersebut kerana ia menjadi faktor penyebab kepada kenaikan produk dan barangan yang menggunakan gula di pasaran.

Kenaikan ini menjadi beban berat yang perlu digalas oleh semua lapisan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. AMK Selangor bimbang ‘teori domino’ rantaian kenaikan harga akan menjadi-jadi selepas kenaikan harga gula dan roti ini. Alasan yang dikemukakan kerajaan juga disangkal kerana walaupun dilihat gula boleh menjadi penyebab kepada masalah kesihatan tetapi ianya memberi impak besar kepada kenaikan harga barangan lain. Adalah mustahak agar kerajaan berfikir kesan-kesan lain yang akan menjejaskan kualiti pendapatan boleh guna rakyat.

Kerajaan perlu juga memikirkan kesan kenaikan harga ini kepada industri kecil sederhana dan industri yang menggunakan gula. Kenaikan ini pastinya menjadi penyebab pihak industri menaikkan harga keluaran produk mereka di pasaran. Kelembapan ekonomi negara yang masih samar-samar pemulihannya boleh menjejaskan usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan industri.

AMK Selangor juga merasakan kebimbangan besar bahawa belum lagi sistem cukai GST dengan 4% dilaksanakan sudah berlaku trend kenaikan barang. Adalah dijangkakan tahun 2010 ini jika fenomena kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berterusan dan tiada pelan yang proaktif mengatasinya,rakyat akan terus merana dan terseksa.

Justeru,apa pilihan yang ada pada rakyat kebanyakkan yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana. Kita tidak mahu melihat indeks jenayah dan pengangguran meningkat akibat kegagalan kerajaan mengekang kenaikan harga barangan dan makanan yang mendadak dan drastik.

AMK Selangor juga mempertikaikan keupayaan model baharu ekonomi yang akan dibentangkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib kelak. Apakah ia berkemampuan menangani cabaran besar kenaikan barangan makanan dan perkhidmatan. Apalah ertinya model ekonomi baharu ini jika kelak rakyat terus didahulukan untuk menjadi mangsa kerakusan sesetengah pihak dan kegopohan pihak kerajaan membuat keputusan.

AMK Selangor yakin yang menjadi keperluan mendesak pihak kerajaan masakini ialah memastikan harga barangan makanan dan perkhidmatan dapat dinikmati dengan selesa oleh semua golongan. AMK Selangor tidak menolak keperluan untuk merancakkan pelan pemulihan ekonomi negara ketika mana saat ini ekonomi global masih merangkah ke arah pemulihan. Namun kebajikan dan kualiti pendapatan dan kehidupan rakyat keseluruhannya perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan besar diambil.

Akhirnya, AMK Selangor menyatakan pendirian tegas agar kerajaan dalam tempoh yang singkat ini mencari jalan terbaik dan efektif untuk mengatasi kenaikan harga gula dan roti di pasaran. AMK Selangor mencabar apa erti dilaung dan diulang-ulang slogan ‘rakyat didahulukan’ sedangkan pada hakikat dan realitinya rakyat didahulukan untuk dijadikan ‘mangsa’ kepada keadaan dan tindakan kerajaan semasa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor