Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
31hb Januari 2010
Kerajaan Digesa Agar Menghormati Hak Kebebasan Mahasiswa
Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa pihak kerajaan agar menghormati dan akur akan hak mahasiswa untuk bersuara dan memperjuangkan idelisme mereka berkenaan isu-isu yang diperjuangkannya. AMK Selangor melihat gerakan mahasiswa cukup penting untuk sesebuah negara kerana medan ini adalah pentas terbaik untuk mereka mencungkil dan mengembangkan bakat kepimpinan dan membawa idea-idea inovatif dan dinamik.
AMK Selangor menyatakan pendirian tegas agar kebebasan mahasiswa tidak dipenjara dengan pelbagai sekatan,peraturan dan akta yang menjadi penghalang kepada suara-suara mahasiswa. Indeks kualiti universiti di Malaysia yang semakin merosot amat membimbangkan serta dilihat amat getir kepada masa hadapan Malaysia. AMK Selangor melihat, kerajaan perlu menghargai suara-suara mahasiswa yang prihatin kepada soal-soal mahasiswa dan isu-isu masyarakat yang diketengahkan.
Sudah tiba masanya,kerajaan mengambil kira pandangan golongan mahasiswa sebelum melaksanakan sesuatu dasar penting negara kerana keterlibatan awal mahasiswa dalam sesuatu keputusan besar negara merupakan pendedahan awal sebelum mereka menjadi pemimpin masa hadapan di Malaysia. AMK Selangor juga risau dan amat prihatin kepada gerakan mahasiswa negara ini yang terus menerima pelbagai tekanan jika pandangan dan pendapat mereka bertentangan dengan idea pihak pemerintah.
AMK Selangor mahu melihat lebih ramai lagi golongan mahasiswa yang prihatin dengan permasalahan negara dalam soal ekonomi, sosial , kebajikan rakyat dan dasar-dasar negara. Kita tidak mahu potensi besar mahasiswa yang mempunyai bakat dan jiwa besar terkubur dan terjebak dengan sindrom kelesuan dan kejumudan mahasiswa yang amat membimbangkan.
AMK Selangor juga menyuarakan kebimbangan yang besar cabaran masa kini dan masa hadapan golongan mahasiswa untuk berhadapan dengan era globalisasi dan persaingan sejagat. Kerajaan perlu menyediakan ruang yang kondusif kepada mahasiswa untuk lebih berketrampilan sehingga peringkat antarabangsa. Golongan mahasiswa kelak ini akan mengisi ruang-ruang yang ditinggalkan oleh kepimpinan masa kini di semua peringkat. Justeru, tidak lain dan tidak bukan mahasiswa perlu diperkasakan dalam sudut idealisme dan dalaman serta mampu bertindak dan membuat keputusan dalam dunia realiti sebenar.
AMK Selangor mahu melihat mahasiswa-mahasiswa berperanan menjadi jurubicara rakyat dan ummah kerana prinsip mereka tidak terikat dengan agenda politik tetapi idealisme mereka lahir di atas nama prinsip perjuangan yang mutlak serta tidak berkepentingan. Mahasiswa perlu tampil menjadi pencetus kebangkitan suara pembaharuan tatkala negara kaku dan lesu dalam membawa sebarang gagasan yang dinamik dan futuristik.
Akhirnya, AMK Selangor menggesa agar lebih ramai lagi mahasiswa sedar dan prihatin dengan nasib masa hadapan negara ini. Keterlibatan secara aktif mahasiswa memperjuangkan isu-isu keadilan, keamanan dan pembelaan rakyat mampu merubah persepsi masyarakat bahawa mahasiswa era masa kini kaku, lesu dan jumud. Diharap mahasiswa terus komited dan sensitif isu-isu masa kini dan bersedia ke hadapan dengan garapan idea-idea penyelesai untuk kesejahteraan semua.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
AMK Selangor