Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
19hb Januari 2010
AMK Selangor Pertahan MB Selangor Dalam Isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)
Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertahankan keputusan Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berhubung beberapa perkara berkenaan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). AMK Selangor menyokong tindakan Menteri Besar dan beberapa individu daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk berada dalam hierarki pengurusan dan pentadbiran Yayasan Basmi Kemiskinan.
AMK Selangor menyatakan ketegasan bahawa Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai hak dan tanggungjawab moral yang besar bagi memastikan segala urusan berkenaan YBK sentiasa telus dan berintegriti. Malahan ia adalah untuk memastikan bahawa wang rakyat yang diberi kepada YBK dibelanjakan dengan penuh berhemah dan bijaksana bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Malahan dengan adanya beberapa individu khususnya Menteri Besar dalam Yayasan Basmi Kemiskinan dapat memberikan tambah nilai dan impak positif kepada YBK. Tiada apa yang perlu ditakuti dan digeruni oleh pihak pengurusan YBK kini kerana AMK Selangor percaya bahawa Yayasan ini diurus dan ditadbir dengan baik. Kita juga yakin tiada apa yang perlu diselindungkan oleh YBK kerana AMK Selangor percaya kepada prinsip ketelusan dan professional pihak YBK.
Dalam pada itu juga, AMK Selangor menggesa pihak-pihak dalam YBK dapat mengetepikan perbezaan dan pandangan politik . Isu pembasmian kemiskinan adalah isu untuk semua pihak perjuangkan dalam usaha pembasmiannya. Malahan AMK Selangor yakin dengan keterlibatan pihak kerajaan negeri Selangor dengan lebih giat dan aktif akan memberi pulangan dan impak positif kepada pihak YBK dan juga rakyat keseluruhannya.
AMK Selangor berharap kepada pihak YBK jika mempunyai kejujuran dan keihklasan berjuang untuk membela nasib rakyat yang termiskin dan miskin, tidak menjadi kesalahan besar untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri Selangor. Sudah tiba masanya untuk kita semua berganding bahu dan membina semangat bekerjasama serta tolak ansur untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.
Akhirnya,AMK Selangor juga menaruh harapan agar pihak YBK mempunyai sikap keterbukaan dan professionalisme yang tinggi untuk membawa agenda pembasmian kemiskinan ini berjaya menjadi contoh dan role model kepada pembasmian kemiskinan di negara ini.
Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin
Ketua AMK Selangor