Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
09hb Januari 2010
AMK Selangor Merayu Agar Jangan Gadai Keharmonian Dan Kemesraan Kepelbagaian Agama dan Kaum
Angkatan Muda Keadilan Selangor amat berharap dan merayu supaya rakyat khususnya di Selangor tidak menggadai keharmonian dan kemesraan kepelbagaian fahaman antara agama dan kaum di negara ini yang telah lama terbina dan terjalin . Suasana kemesraan yang telah lama ini tidak perlu dimusnahkan akibat tindakan segelintir pihak yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini. Justeru, AMK Selangor mengesa semua peringkat pemimpin politik, masyarakat dan NGO memainkan peranan proaktif untuk tidak terus membakar api rasa kebencian yang boleh mencetuskan kekacauan dan konflik.
AMK Selangor mengambil pendirian tegas mengutuk tindakan pihak dan dalang di sebalik tindakan keji membakar gereja oleh pihak-pihak yang tidak dikenali tujuan dan motifnya. AMK Selangor menjelaskan tindakan keji dan terkutuk itu amat bertentangan dengan ajaran Islam yang digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Kita berharap semua pihak mengambil usaha dan inisiatif bijak dan berhikmah menangani cabaran dan pertikaian ini.
AMK Selangor juga menggesa semua pihak agar tidak terbawa-bawa emosi melampau untuk cuba muncul menjadi jaguh dan hero dalam isu ini. Tindakan yang terbaik ialah melalui dialog peradaban dan antara agama yang melibatkan alim-ulama, intelektual, dan pihak gereja bagi memastikan satu pendekatan terbaik yang tidak menimbulkan konflik antara agama daripada berlaku.
AMK Selangor amat yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk tidak mudah terpengaruh untuk terlibat dengan mana-mana usaha yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini. Amat jelas rakyat mahu dan cintakan kedamaian dan keamanan yang telah lama terjalin di negara ini. Kepelbagaian dan perbezaan pandangan agama tidak menjadi tembok penghalang untuk mewujudkan suasana dan masyarakat yang berkasih-sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain.
AMK Selangor juga amat berharap selepas ini tidak berlaku lagi tindakan melampau yang cuba mencetuskan rasa tidak senang dan mengganggu ketenteraman dan kebebasan beragama yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi bahawa isu ini perlu ditangani dengan penuh bijak dan berhikmah semua pihak. Kita juga menggesa agar isu ini tidak berlarutan dan berpanjangan kerana harapan baru yang kita bina tidak wajar dimusnahkan akibat ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam isu hangat ini.
Perbuatan melampau dan keji membakar gereja dan tindakan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang antara penganut agama berlainan jelas bertentangan dengan semangat kemesraan rakyat berbilang agama di negara ini. Majoriti rakyat kini sudah matang dan mampu menilai sebarang isu yang timbul mutakhir ini adalah disebabkan berkemungkinan ada pihak yang tidak senang dengan suasana keharmonian dan kemesraan berbilang agama dan kaum.
Akhirnya, AMK Selangor mengulangi ketegasan agar semua pihak tidak terus menghangatkan dan ‘mencurah minyak’ untuk membakar isu ini. Mulakan inisiatif segera untuk mengembalikan kesefahaman dan suasana kemesraan dan hormat menghormati antara berbilang agama. Kita mengambil masa yang cukup panjang untuk membina masyarakat yang hidup aman dan damai. Jangan kerana isu ini semua rakyat terjebak dalam konflik agama seperti di negara luar yang sukar dirungkaikan dan amat rumit. Buktikan kita semua mahu dan cinta kepada keamanan dan kedamaian dan menolak sebarang usaha pihak mencetuskan keganasan.
Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin
Ketua AMK Selangor.