SHAH ALAM, 1 Dis – Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta rakyat supaya menyokong dan turun beramai-ramai menyatakan solidariti kepada kempen kerajaan negeri melindungi hak air rakyat Selangor.
Kempen Air Untuk Rakyat ini akan menyaksikan sasaran 100,000 rakyat menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, pada 5 Disember depan.
Bercakap di satu sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini, Tan Sri Khalid berkata, acara ini bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, tepat jam 12 tengah hari.
“Kerajaan Selangor berharap isu air ini mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, dan tempat rakyat berlindung mencari keadilan,” katanya.
Rakyat ditetapkan merentasi ibu negara dari Stesen Aliran Ringan Pasar Seni, melalui Jalan Tun Sambanthan menuju ke Stesen KTM Kuala Lumpur, dan bertemu di Masjid Negara, sebelum berarak ke Istana Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada 2006 bersetuju untuk menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan negeri.
“Barangkali Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan), jadi Kerajaan Persekutuan enggan melakukannya,” jelasnya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.