Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK Selangor) menyeru seluruh rakyat Selangor kalangan generasi muda dan setiap golongan untuk turun mengiringi Menteri Besar Selangor bagi menghantar memorandum air kepada Yang DiPertuan Agong pada 5 Disember ini ke Istana Negara.
AMK Selangor mengajak semua rakyat bangkit menyatakan pendirian mengangkat ketuanan rakyat marhaen,ketuanan petani pesawah dan peladang,ketuanan pemandu teksi,ketuanan pekerja awam dan swasta dan menghumban agenda ‘Ketuanan Melayu’ yang dipergunakan segelintir elit dan korporat untuk mengaut kekayaan demi kepentingan diri sendiri.
AMK Selangor yakin inilah masanya untuk rakyat Selangor menyatakan pendirian tegas agar hak milik air dikembalikan semula kepada rakyat agar harganya stabil disamping menikmati kemudahan yang lebih baik. Dasar penswastaan air jelas hanya memberikan keuntungan kepada segelintir korporat sedangkan hak asasi rakyat untuk menikmati kemudahan air pada harga yang stabil dan munasabah terabai.
AMK Selangor menyatakan pendirian tegas bahawa isu air ini perlu diselesaikan segera tatkala kerajaan persekutuan berdolak dalik melindungi dasar penswastaan jelas merugikan rakyat.
Inilah saat penting seluruh rakyat Selangor bangkit menyatakan hak bahawa rakyat adalah tuan dan menjadi ‘hamba’ kepada segelintir pemimpin dan korporat yang berselindung disebalik agenda ‘ketuanan Melayu’. AMK gesa agar mobilasi kekuatan ini dizahirkan dengan turun bersama-sama mengiringi Menteri Besar Selangor ke Istana Negara sebagai titik tolak perjuangan memartabatkan ketuanan rakyat agar pengurusan air dikembalikan semula kepada rakyat.
Khairul Anuar Ahmad Zainuddin
Ketua AMK Selangor
Timbalan Ketua AMK Malaysia