Ahad, 5 Disember 2010

MB rayu Agong campur tangan selesai isu air Selangor-Putrajaya


December 05, 2010

Khalid Ibrahim bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri ketika hendak menyerahkan memorandum kepada Istana Negara sekitar 2.30 petang tadi.
KUALA LUMPUR, 5 Dis — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar hak air dikembalikan kepada rakyat melalui pengambilalihan oleh kerajaan Selangor.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara hari ini, Khalid berkata, kerajaan persekutuan perlu mengembalikan semula hak air kepada rakyat dengan menyerahkan semula kuasa kerajaan Selangor dalam isu berkaitan perkhidmatan air.

“Ini kerana perkhidmatan air telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan.

“Kita juga mengingatkan kerajaan persekutuan agar tidak berdolak-dalik untuk mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 menjelaskan keperluan industri perkhidmatan air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh kerajaan Selangor.

“Selain itu, kita mahu menghak upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata Khalid yang menyerahkan memorandum itu kira-kira pukul 2.15 petang tadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, Khalid juga mengingatkan kerajaan persekutuan agar segera menghapuskan kronisme yang berlaku dalam syarikat penerima konsesi.

“Ini kerana telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman kerajaan persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air. Mereka sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi sedangkan kebajikan dan kepentingan rakyat terus dilupakan,” kata Khalid.

Selain itu, Khalid turut kesal dengan tindakan polis yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman diadakan sehingga berlaku tangkapan melebihi 50 orang.

“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata beliau.

Memorandum tersebut diterima Pegawai Akhbar Istana Negara Khairi Abdul Rahman yang menerima bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Memorandum tersebut turut disokong 150,000 rakyat Selangor yang menandatangani memorandum itu.

Terlebih dahulu sebelum menyerahkan memorandum itu, Khalid turut berada di Masjid Negara untuk bersama kira-kira 1,000 penyokong yang menyertai demonstrasi dan perarakan aman itu.

Bagaimanapun hanya Khalid sahaja yang dibenarkan menuju ke Istana Negara manakala penyokong-penyokong terpaksa terus berada di Masjid Negara kerana laluan telah disekat polis.