Ahad, 5 Disember 2010

MB Selangor Kesal Polis Mungkir Janji


05/12/2010 Share


KUALA LUMPUR, 5 DIS - Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melahirkan rasa kesanyal dengan tindakan polis menggunakan kekerasan dan menangkap kira-kira 50 orang peserta perhimpunan membantah kenaikan harga air di Masjid Negara di ibu negara hari ini.

Beliau berkata polis tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman namun menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasihnya kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan hari ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

Khalid menyatakan kekesalannya dalam satu kenyataan sebaik sahaja selesai menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang didakwa hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi.

Menurut kenyataan berkenaan, Khalid berjaya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman kira-kira jam 2.15 petang.

Sebelum itu, cubaan pelbagai pihak termasuk polis dengan mengadakan halangan serta sekatan jalanraya gagal membendung lebih 10,000 rakyat berkumpul di Istana Negara bagi menyertai perarakan 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat' menyerah memorandum kepada Istana Negara.

Berbeza dengan halangan dan sekatan yang digunakan oleh polis menghalang perhimpunan rakyat menyertai perarakan penyerahan memorandum 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat', GAPS kelihatan diberi kerjasama sepenuhnya oleh pihak berkuasa termasuk memasuki kawasan istana tanpa sebarang sekatan untuk menyerahkan memorandum mereka.