Blog Hina Nabi Muhammad : Satu Konspirasi?
Umat Islam, secara khususnya di Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita penghinaan kepada rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Malah kali ini, ia lebih panas dan hangat kerana ianya didakwa dilakukan oleh blogger tempatan iaitu seorang wanita melayu yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, teka-teki berkenaan siapakah penulis sebenar blog menghina Nabi Muhammad S.A.W ini masih lagi belum terjawab. Berita mengenai perkara ini pertama kali dihebahkan kepada orang ramai melalui sebuah syarikat penyiaran terkemuka negara iaitu TV3 di dalam rancangan Buletin Utama pada 26 Disember 2008.
Wanita ini mendakwa dirinya adalah seorang yang berfikiran terbuka dan moden, penyayang, dan suka untuk berdepan dengan cara pemikiran lama melalui petikan yang tertulis di dalam bahagian “About Me” di dalam blognya yang berbunyi:
I am open minded, modern thinking, fun loving individual, like to challenge all the old thoughts.
Blog tersebut dipenuhi dengan 32 post yang mana 30 daripadanya adalah berunsur penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam bentuk gambar dan tulisan-tulisan ringkas yang memperjelaskan penghinaannya.
Tindakan ini amatlah menjijikkan dan umat Islam di seluruh dunia pastinya menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat. Segala bentuk penghinaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W adalah satu tindakan yang tidak wajar dikompromikan daripada tindakan undang-undang yang keras apatah lagi Malaysia ini adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.
Jika kes pembunuhan berprofil tinggi wanita warganegara Mongolia bernama Atlantuya Sharibuu dapat diselesaikan dengan jayanya, pastilah kes-kes yang berupa penghinaan seperti ini bukanlah satu masalah yang besar. Siasatan terperinci amat perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pesalah ini dihukum dengan sewajarnya.
Namun begitu, disebalik keghairahan lebih bertumpu kepada cacian dan makian ke atas tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh penulis di blog tersebut, banyak kesangsian yang timbul. Ketika artikel ini ditulis, blog tersebut telahpun disekat daripada dilayari. Walaubagaimanapun, dengan penggunaan kod-kod tertentu, penulis telah berjaya memecah masuk blog tersebut.
Keadaannya adalah seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu, ianya mengandungi 32 post di mana 30 daripada 32 post tersebut penuh dengan post-post penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam bentuk gambar dan tulisan-tulisan ringkas.
Wanita tersebut telah menggunakan nama samaran Adibah Ahmad dan ini adalah gambar yang telah digunakan. Ramai percaya bahawa gambar ini adalah tempelan semata-mata untuk penulis sebenar blog ini melindungi dirinya:
Adibah Ahmad ini mendakwa dirinya berusia 27 tahun, berbintang Pisces dan lahir pada tahun Ayam Jantan. Dia kononnya bekerja sebagai seorang Eksekutif Akauntan dan berlokasi di Shah Alam, Selangor, Malaysia. Hobinya adalah berehat, melukis dan mengambil gambar. Maklumat lain adalah berkenaan dengan filem kegemarannya (Sin Chan), muzik kegemaran (Trans dan Country), serta buku kegemaran (malas – yang mungkin menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang malas membaca).
Apa yang mengejutkan adalah berkenaan blog yang diikuti oleh Adibah Amin ini. Menarik untuk diketahui bahawa blog yang menjadi minat serta ikutannya adalah blog YB Dr. Mohamad Khir Toyo!
Nombor telefon yang ditinggalkan di dalam profile blog wanita tersebut iaitu 03-55663800 bukanlah nombor telefon miliknya, sebaliknya ia adalah milik pejabat syarikat Auto Bavaria Glenmarie yang beroperasi di 3A, Persiaran Kerjaya, Seksyen U1, Glenmarie 40150, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Apabila diteliti waktu dan jangka masa sejak bila Adibah Ahmad mula berblog, dapat dilihat bahawa dia bermula sejak Disember 2008. Ini bermakna Adibah Ahmad bukanlah blogger sebenar. Penulis telah meneliti sendiri blog ini dan didapati bahawa semua post berunsur penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W telah dihantar ke dalam blog ini pada tarikh 24 Disember 2008 sekitar pukul 3.00 pm – 6.00 pm (penulis tidak pasti sama wanita ini menggunakan waktu Malaysia atau waktu antarabangsa di dalam blognya). Pada 25 dan 26 Disember 2008 pula ianya lebih kepada komen-komen yang ditinggalkan dengan purata kurang 1 komen untuk setiap post.
Pada pukul 3.41 am 26 Disember 2008 (sekali lagi penulis tidak dapat memastikan ketepatan masa ini), Adibah Ahmad juga memberi link untuk profile friendster miliknya, namun profile ini juga telah tidak boleh lagi di akses ketika artikel ini ditulis. Berikut adalah post di dalam blog Adibah Ahmad pada masa dan tarikh seperti yang dinyatakan di atas.
Kes berkenaan blog menghina Nabi Muhammad S.A.W ini amat menarik untuk diteliti. Dalam pada ianya membangkitkan kemarahan umat Islam secara keseluruhan, motif sebenar pihak yang melakukan perkara tersebut menjadi satu tanda tanya yang besar. Berdasarkan tarikh penulis blog ini membuka blognya iaitu Disember 2008, kita dapat menghidu sememangnya ada sesuatu yang cuba dilakukan. Menyedari kesan dan natijah yang keras akibat daripada perbuatan ini, adalah mustahil seseorang itu dengan sengaja membuka sesebuah blog apatah lagi dengan tujuan semata-mata untuk menghina Nabi Muhammad S.A.W!
Ia adalah satu tindakan yang tidak waras sekali melainkan penulis blog tersebut sememangnya mempunyai agenda yang tersendiri. Apatah lagi, kita sendiri dapat melihat bahawa pemilik blog ini dengan sengaja mahu dilihat mempunyai hubungan tidak langsung dengan YB Dr. Khir Toyo iaitu bekas Menteri Besar Selangor yang kini sedang giat berkempen untuk posisi Ketua Pemuda UMNO yang akan dipertandinginya di dalam Perhimpunan Agong UMNO ke-58 pada Mac 2009 nanti.
Keberkesanan TV3 dalam mengesan kehadiran blog yang baru sahaja berusia 2 hari ini dan seterusnya menghebahkannya ada tajuk utama di dalam rancangan berita milik mereka harus diberi kepujian.
Namun begitu, dalam masa yang sama ia juga perlu disulamkan dengan persoalan. Dalam jangka masa 2 hari, adalah agak mustahil blog ini dikesan melalui mana-mana enjin carian oleh mana-mana pihak. Ianya tidak mungkin terjadi melainkan ada pihak tertentu yang secara sengaja menyebarkan link blog ini melalui email atau dengan cara-cara tertentu yang lain kepada orang ramai termasuk pihak TV3 sendiri. Ini menguatkan lagi bahawa ada “sesuatu” yang cuba dilakukan oleh penulis asal blog ini.
Penulis juga teringat bahawa baru-baru ini, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, YB Datuk Seri Syed Hamid Albar ada mengatakan ura-ura berkenaan perlaksanaan kod etika blog di Malaysia. Hal ini telah dilaporkan oleh Bernama pada 22 November 2008. Berikut adalah sedikit petikan di dalam laporan oleh Bernama berkenaan perkara ini.
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari Sabtu mencadangkan penulis blog mewujudkan kod etika mereka sendiri bagi memastikan mereka bertanggungjawab dengan apa yang ditulis.
Beliau berkata perkara itu penting kerana kebanyakan penulis blog bukan dari kalangan wartawan yang dilatih untuk menulis sesuatu perkara secara adil dan seimbang.
Syed Hamid berkata kod etika yang dicadang itu perlu dibuat dalam bentuk peraturan dan bukannya perundangan atau akta baru.
Mungkin sekali juga blog penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W ini sengaja di ada-adakan oleh pihak-pihak tertentu bagi membolehkan kod etika blog seperti yang dicadangkan di atas dapat dilaksanakan dengan kadar yang lebih segera lagi. Apatah lagi dengan kehadiran Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang sedang menanti hari tibanya, lebih segera dan pantas perihal kod etika blog ini dapat dilaksanakan, maka ianya mungkin lebih baik kepada pihak-pihak tertentu yang tersebut. Dengan kehadiran blog ini, pastinya pihak-pihak penghujah di dalam siding parlimen nanti akan mendapat alasan yang cukup kukuh bagi membolehkan kod etika blogger ini dipercepatkan dengan secepat yang mungkin.
Walau apapun teori konspirasi yang mungkin di sebalik blog menghina Nabi Muhammad S.AW ini, secara langsungnya ia memberi kesan yang buruk kepada blogger-blogger di Malaysia. Ia berjaya memberi gambaran bahawa blogger-blogger di Malaysia ini adalah terdiri daripada mereka-mereka yang langsung tidak mempunyai buah fikiran melainkan hanya bersikap kurang ajar semata-mata. Ia juga berjaya memberi satu gambaran bahawa keadaan kebebasan suara di Malaysia melalui blog sudah sampai ke tahap yang melampau sehingga agama dan rasul junjungan boleh dipermainkan. Ia berjaya memberi satu isyarat di mana mungkin sudah sampai masanya kekangan-kekangan wajib di kenakan dalam keadaan segera kepada mereka-mereka yang digelar bloggers.
Akhirnya, siapa di sebalik pembinaan blog menghina Nabi Muhammad S.A.W ini tidaklah kita ketahui melainkan melalui spekulasi semata-mata. Walau bagaimanapun, jika blogger penyebar gambar lambang polis berkepala anjing dapat ditangkap dan dikenakan tindakan, dan jika Raja Petra Kamaruddin dapat disumbat ke dalam ISA kerana tulisan di dalam artikelnya yang di dakwa menghina Islam, umat Islam di seluruh dunia dan di seluruh Malaysia khususnya pastinya mengharapkan sesuatu yang lebih keras untuk penulis blog menghina Nabi Muhammad S.A.W ini. Apatah lagi, dapat dilihat dengan jelas dan nyata bahawa penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Junjungan Mulia ini terlalu jijik dan berniat jahat selain mempunyai kepentingan-kepentingan yang tertentu.