Selasa, 16 Disember 2008

Kenyataan Ketua Penerangan AMK Selangor


Angkatan Muda Keadilan Selangor
www.angkatanmuda.org

amkselangor@gmail.com



11 Disember 2008

Kerajaan Negeri digesa Mengkaji Semula Jawatan Datuk Bandar/Yang Dipertua PBT Yang tidak Kompeten.

AMK Selangor menggesa dan menyarankan agar jawatan sebahagian Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT Selangor dikaji semula kerana prestasi pegawai-pegawai tertinggi PBT tersebut amat tidak membanggakan dan memberansangkan rakyat negeri Selangor sepanjang tahun 2008.

Keadaan ini dikuatkan lagi dengan berbagai-bagai rungutan dan keluhan samada dari pihak ahli majlis sendiri, pihak peniaga mahupun sebahagian rakyat di negeri Selangor.

Kes terbaru adalah laporan The Star 10-Dis-2008 mengenai wujudnya “Pasar Bangladesh” setiap hari Ahad di Kampung Melayu Subang yang sudah beroperasi sekian lama tanpa dapat dikesan atau dipantau oleh pihak MBSA yang mengawalselia kawasan tersebut.

Bagaimanakah pekerja-pekerja asing ini boleh menjalankan perniagaan di negeri Selangor lebih-lebih lagi di kawasan yang ditadbir di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam ? Dimanakah kumpulan pemantau penguatkuatkuasa yang amat cekap sepertimana tindakan meroboh tapak pameran kenderaan terpakai yang dimiliki oleh penguasaha tempatan, berbangsa Melayu dan rakyat negeri Selangor pada 5-Dis-2008 lalu ?

Sebahagian ahli-ahli Majlis juga amat tidak berpuashati dalam menjalankan tugasan bersama sebahagian pegawai-pegawai tinggi ini yang masih membawa budaya kerja di zaman era pemerintahan BN-UMNO. Sedangkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor telahpun ditukar selepas PRU12 di bwah Pakatan Rakyat. Sehingga ada sebahagian ahli majlis yang telah dilantik oleh pihak kerajaan negeri telah bertindak meletakkan jawatan disebabkan tidak berpuashati dengan carakerja yang diamalkan oleh sebahagian pegawai-pegawai tetinggi PBT tersebut.

AMK Selangor juga amat kecewa dengan tindak-tanduk sebahagian pegawai-pegawai tingi PBT ini yang terang-terang telah tidak membantu peniaga tempatan malah sanggup memberi alasan tidak mengetahui pekerja asing dan ada sebahagiannya pendatang asing sudah dapat menjalankan perniagaan di kawasan pentadbiran mereka. Ini adalah amat merugikan

Tahun 2009 akan tiba dalam beberapa hari lagi. Maka oleh itu sudah lebihlah 9 bulan pegawai-pegawai tinggi ini diberi peluang untuk menunjukkan komitmen dan kerjasama yang diharapkan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat. Maka seharusnya, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan mengkaji semula kesemua pegawai-pegawai tinggi yang dikekalkan dari pemerintahan BN-UMNO dahulu agar tidak akan menjadi duri dalam daging dalam pemerintahan Pakatan Rakyat.

AMK Selangor berharap, mana-mana pegawai-pegawai tertinggi yang tidak kompeten dan tidak memberi kerjasama kepada harapan kerajaan negeri dan harapan rakyat negeri selangor yang mahukan perubahan yang terbaik, maka haruslah diganti dengan pegawai-pegawai lain yang lebih berkelayakan dan sanggup memberikan sumbangan yang cemerlang kepada rakyat. Maka pegawai-pegawai yang cemerlang dan bekerjasama baik pasti akan dikekalkan dan menyambung perkhidmatan dengan sebaiknya.

“Memimpin Harapan Rakyat”

Mazli Saring,
Ketua Penerangan AMK Selangor