Jumaat, 26 Mac 2010

MP Hulu Selangor selamat dikebumikan


Mac 26, 10 11:36am
Jenazah ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melaka, Jalan Cheras.

Bekas timbalan menteri besar Selangor itu meninggal dunia jam 9.27 malam tadi akibat barah otak.

Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.