Kenyataan Media
Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor
19hb Mac 2010
Rapat Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor :
Iltizam Perkukuh Gerak Kerja dan Muafakat Mantap
Rapat Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah diadakan pada 16hb Mac 2010 bertempat di Headquarters DAP , Taman Paramount Garden,Petaling Jaya Selangor. Pertemuan bersejarah ini telah dihadiri oleh lebih 40 orang barisan kepimpinan tertinggi daripada Angkatan Muda Keadilan Selangor, DAPSY(Pemuda Sosialis DAP) Selangor dan Dewan Pemuda PAS Selangor.
Pertemuan mesra selama dua jam ini adalah kesinambungan daripada Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor Pertama yang diadakan pada Ahad lepas. Ia diadakan dalam suasana mesra dan harmonis oleh ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat yang menjadi titik tolak merangka gerak kerja masa hadapan dan agenda memperkasa parti di peringkat akar umbi bagi membela kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah dibentuk dalam usaha memperkukuh muafakat politik bersama dalam agenda membantu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan selepas ini kerjasama akan diterjemahkan kepada beberapa agenda dan program yang kelak dilaksanakan secara kolektif dan bersepadu. Kekuatan muafakat politik ini menjadi pemangkin kepada semangat generasi muda untuk terus mendepani perubahan dan pembaharuan di negara ini.
Malahan, sebelum ini pemimpin tertinggi pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah seringkali bersama berbincang dan bertukar-tukar idea berkenaan pelbagai isu semasa secara kerap.Pertemuan bersejarah ini akan memperkukuh kerjasama yang lebih erat, mantap dan strategik. Ianya menjadi medan untuk membincangkan serta melaksanakan halatuju bersama bagi memastikan Pakatan Rakyat di Selangor semakin mantap dan fokus membela nasib kepentingan rakyat.
Himpunan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor ini juga adalah bukti bahawa kerjasama ketiga-tiga parti semakin mantap dan padu walaupun pelbagai usaha digerakkan oleh UMNO/BN untuk mencuba-cuba memecahbelahkan kekuatan Pakatan Rakyat. Malahan serangan bertali arus ini sebenarnya tidak menjejaskan keutuhan sedia ada tetapi semakin memperkasa muafakat yang wujud selama ini.
Akhirnya, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor senada dan sekata untuk terus memastikan rakyat di Selangor mendapat pembelaan serta bertekad untuk berusaha menjunjung amanah rakyat. Kesepakatan padu ini akan menjadi pemangkin kepada gerakan pembaharuan generasi muda untuk menjunjung amanah rakyat dan memastikan Selangor menjadi ‘Negeri Idaman Untuk Semua’.
Khairul Anuar Ahmad Zainudin
Ketua AMK Selangor
YB Jenice Lee Ying Ha
Ketua DAPSY Selangor
Ustaz Hasbullah Ridhwan
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor