Jumaat, 19 Mac 2010

Usul House of Commons Label Perbicaraan Anwar Langgari Piawaian Antarabangsa

KUALA LUMPUR 19 Mac - Dewan Rakyat United Kingdom (House of Commons) mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan kes fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghentikan usaha menekan dan mendakwa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Usul yang dikenali sebagai "Early Day Motion" tersebut di bawa oleh Jeremy Corbyn, Ahli Parlimen Islington North daripada Parti Buruh Isnin lalu.

Dalam usul beliau Corbyn berkata Dewan Rakyat United Kingdom mengiktiraf sumbangan besar Anwar terhadap usaha mempromosi demokrasi di Malaysia dan keamanan serta persefahaman antara dunia Islam dan Barat.

"Oleh itu kami amat risau berhubung caj dan pertuduhan yang disabitkan kepada Anwar Ibrahim dan ingin nyatakan bahawa perbicaraan beliau melanggari piawaian antarabangsa berkaitan konsep keadilan dan mendaulatkan undang-undang.

"Kami menyedari perbicaraan yang dihadapi beliau sekarang adalah hampir sama dengan perbicaraan pada 1998 di mana tindakan badan kehakiman di kutuk dan dikritik oleh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa," kata Corbyn.

Beliau juga berkata usul yang di bawanya adalah susulan kepada usaha berterusan komuniti global berhubung kes fitnah terhadap Anwar seperti mana yang telah dilakukan oleh pertubuhan antarabangsa Amnesty International, Human Rights Watch serta tokoh-tokoh terkemuka Komanwel termasuk bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, Michael Danby dan 59 Ahli Parlimen Australia.