Selasa, 2 Mac 2010

Sokongan Mantap dan Padu PAS dan DAP Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim Amat Dihargai

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

02hb Mac 2010

Sokongan Mantap dan Padu PAS dan DAP Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim Amat Dihargai

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat menghargai sokongan mantap dan padu daripada seluruh kepimpinan tertinggi , Ahli Parlimen, Senator dan ADUN daripada PAS dan DAP akan kewibawaan dan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan seterusnya Bakal Perdana Menteri Malaysia. Justeru sokongan mantap dan padu tatkala PKR diserang daripada pelbagai arah jelas menunjukkan semangat kerjasama yang amat tinggi dan jitu.

AMK Selangor memberi setinggi penghargaan kepada PAS dan DAP yang bersama-sama tatkala PKR teruk diserang oleh UMNO/BN yang memasang impian untuk melihat Pakatan Rakyat berpecah. AMK Selangor ingin mengulangi ketegasan kepada UMNO/BN agar tidak mengacah-acah untuk mengadu-domba antara kalangan parti di Pakatan Rakyat. Lebih baik pemimpin UMNO/BN menumpukan kepada permasalahan dalaman UMNO/BN sendiri yang semakin parah dan meloyakan.

AMK Selangor yakin sokongan dan mantap daripada rakan-rakan PAS dan DAP ini memberikan suntikan semangat yang cukup bermakna untuk mendepani perubahan dan agenda pembelaan rakyat. Kalangan mereka yang terpesong dan melarikan diri daripada gerakan agenda perubahan ini kelak akan memakan diri mereka sendiri serta akan kehilangan harga diri.

AMK Selangor menegaskan kerjasama yang semakin erat ini akan memberikan keyakinan di kalangan rakyat untuk Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya dalam PRU-13 kelak. Walaupun hebat dan dahsyat serangan UMNO/BN kepada PKR serta PAS dan DAP namun ianya tidak menjejaskan sedikitpun semangat untuk bangkit dan mara ‘Selamatkan Malaysia’.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor