Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
01hb Mac 2010
AMK Selangor Anggap Gerombolan ‘Virus Trojan’ Sedang Menyerang UMNO/BN
Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap tindakan keluar parti beberapa individu daripada PKR merupakan gerombolan ‘Virus Trojan’ yang akan memberi kemusnahan dahsyat kepada UMNO/BN. AMK Selangor yakin ‘Virus Trojan’ jenis pemusnah ini akan mengkucar-kacirkan UMNO/BN dari dalaman yang terus akan mengakhiri pemerintahan UMNO/BN selama 50 tahun.
AMK Selangor yakin pendokong perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat tidak mudah lemah semangat dengan serangan UMNO/BN bertali arus mutakhir ini dengan pelbagai taktik kotor dan jijik. AMK Selangor mengulangi amaran bahawa ‘sumpahan keramat’ rakyat kepada wakil-wakil rakyat yang mengkhianati amanah rakyat yang mereka pilih akan menghantui sepanjang kehidupan mereka.
AMK Selangor mencabar secara terbuka kepada ADUN dan Ahli Parlimen yang keluar parti ini meletak jawatan segera. Ini kerana mandat yang diamanahkan rakyat adalah mewakili parti yang didokong ketika PRU-12. Jika mereka masih mempunyai maruah dan harga diri perjuangan yang tinggi,AMK Selangor mencabar agar mereka memasuki gelanggang pilihanraya kecil dengan mewakili parti mereka masakini.
AMK Selangor berharap UMNO/BN tidak usah mendabik dada tetapi ingatlah ‘Virus Trojan’ ini akan memusnahkan dan memecahkan bahtera UMNO/BN yang semakin bocor di sana-sini.Kita yakin rakyat semakin bijak membuat analisis dan bacaan politiknya sendiri.AMK Selangor bertekad akan terus menggerakkan rakyat untuk ‘Selamatkan Malaysia’ dan membawa agenda perubahan total walaupun ‘badai taufan politik’ semakin kuat melanda.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
AMK Selangor