Jumaat, 6 November 2009

AMK Selangor Berharap Agar Agensi dan Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Selangor Terus Komited Dan Professional Melaksanakan Tanggungjawab

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

07hb November 2009

AMK Selangor Berharap Agar Agensi dan Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Selangor Terus Komited Dan Professional Melaksanakan Tanggungjawab

Angkatan Muda Keadilan Selangor menaruh harapan yang tinggi kepada seluruh agensi dan kakitangan awam di bawah kerajaan negeri Selangor untuk terus komited dan professional melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat. AMK Selangor amat yakin dengan kemampuan dan prestasi yang amat baik dan cemerlang dalam melaksanakan agenda kerajaan negeri khususnya dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor selama ini.

AMK Selangor percaya bahawa agensi-agensi kerajaan negeri Selangor tidak sama sekali akan terlibat dengan cubaan pihak tertentu yang akan mempergunakan mereka untuk tujuan menjatuhkan dan memalukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Kita juga berharap anggota perkhidmatan awam negeri Selangor menjadi contoh kepada penjawat awam di negera ini yang melaksanakan tugas dan dedikasi kuat kepada rakyat dan kerajaan dengan menunjukkan prestasi yang tinggi.

Kita juga berharap khidmat yang diberikan kepada rakyat Selangor agar terus dipertingkatkan untuk memenuhi harapan tinggi rakyat. Perubahan corak pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang berbeza dengan corak dan amalan di bawah Barisan Nasional lebih 50 tahun lepas merupakan cabaran besar anggota perkhidmatan awam negeri menunjukkan prestasi dan keupayaan mereka sebenar.

Penubuhan SELCAT jelas membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor amat komited dan bersungguh-sungguh membela dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Dasar Pakatan Rakyat amat berbeza dengan konsep yang pernah dilaksanakan oleh Barisan Nasional dahulu yang lebih suka menghukum dan memalukan seperti memberi penyapu kepada yang tidak menunjukkan prestasi baik.

Sistem perkhidmatan awam negeri yang bermutu,mesra rakyat dan kurang karenah birokrasi merupakan harapan besar rakyat terhadap mutu kerja yang diharap-harapkan. AMK Selangor mencadangkan kepada kerajaan negeri Selangor agar menyediakan skim khas kepada perkhidmatan awam negeri untuk melanjutkan pendidikan dalam pengurusan pentadbiran awam negeri yang lebih baik. Malahan anugerah khas kecemerlangan setiap bulan dicadangkan untuk diberi kepada agensi,majlis tempatan dan anggota perkhidmatan awam negeri yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan membanggakan.

Adalah perlu juga insentif khas diberikan kepada penjawat awam yang dapat mengemukakan idea-idea bernas dan terbaik untuk memperbaiki sistem pentadbiran dan penyampaian kerajaan negeri kepada rakyat. Anggota perkhidmatan awam perlu dihargai setiap idea dan usaha agar mereka terus-menerus memberikan sumbangan yang besar kepada kemakmuran negeri Selangor.

AMK Selangor juga mencadangkan agar pelaksanaan gaji minimum kepada anggota perkhidmatan awam negeri terus dilaksanakan dan kebajikan mereka diperbaiki daripada masa ke semasa. Kita berharap anggota perkhidmatan awam mampu menjadikan negeri Selangor ini menjadi negeri yang makmur,sejahtera dan berkebajikan dalam ertikata dan falsafah sebenarnya.

Justeru, AMK Selangor memberi dan meletakkan harapan besar kepada agensi dan kakitangan awam negeri Selangor untuk bersama-sama memikirkan,merancang dan melaksanakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor membawa Selangor maju ke hadapan dan memberi kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat Selangor.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua

Angkatan Muda Keadilan Selangor