Jumaat, 26 Mac 2010

MP Hulu Selangor selamat dikebumikan


Mac 26, 10 11:36am
Jenazah ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melaka, Jalan Cheras.

Bekas timbalan menteri besar Selangor itu meninggal dunia jam 9.27 malam tadi akibat barah otak.

Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.

Dr Zainal: Pejuang Parti Yang Sukar Dicari Ganti


HULU LANGAT 25 Mac - Pimpinan KEADILAN merasakan kehilangan besar kepada perjuangan parti dengan pemergian Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia akibat barah otak malam tadi.


Pernah memegang jawatan empuk sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor ketika bersama Umno satu ketika dahulu, Dr Zainal mengambil keputusan mengharungi perjuangan KEADILAN bersama pemimpin lain tatkala KEADILAN hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim merasakan kehilangan besar bagi diri beliau yang pernah berjuang bersama-sama Dr Zainal.

"Allahyarham Dr Zainal adalah rakan seperjuangan kami walaupun beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar tetapi mengambil keputusan menyertai kami dalam keadaan parti yang tidak begitu memberangsangkan.

"Beliau sanggup mengambil risiko bersama kami dan akhirnya beliau mewakili rakyat Hulu Selangor sebagai Ahli Parlimen. Kami sangat bersedih kerana kehilangan seorang rakan, seorang akademia dan seorang yang sanggup berjuang dengan kami.

"Beliau menyertai kita semasa kita belum lagi dalam keadaan yang baik iaitu ketika PKR sebagai parti yang mempunyai kerusi yang terendah iaitu sebanyak satu kerusi tetapi beliau sanggup bersama-sama dengan kita," kata Khalid ketika ditemui media selepas menziarahi jenazah Allahyarham di rumah beliau di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Hulu Langat malam tadi.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor Syed Shahir Syed Mohamud berkata kehilangan Dr Zainal adalah signifikan bagi parti kerana beliau dianggap antara pemimpin Umno yang terawal mengambil pendirian menyokong KEADILAN.

"Allahyarham Dr zainal adalah antara pemimpin awal daripada Umno yang mengambil sikap yang tegas iaitu beliau menyertai PKR lama sebelum beliau bertanding pada 2008.

"Pada saya ini satu pendirian yang baik dikalangan pemimpin yang mahu melihat sesuatu perubahan yang berlaku dinegara kita. Ini satu kehilangan yang sukar diganti dan kita menerimanya sebagai kehendak Allah SWT," kata Syed Shahir.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong pula menyifatkan Dr Zainal sebagai insan yang baik hati sepanjang hayat beliau.

"Walaupun beliau sakit sejak beberapa bulan kebelakangan ini beliau tetap menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen. Saya berasa sedih dan terkejut apabila mendengar berita pemergian beliau. Kita masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan beliau telah meninggalkan kita," ujar Elizabeth.

Setiausaha KEADILAN Selangor, Hamidi Hassan menyanjung Dr Zainal yang banyak menyumbang pendapat dan pandangan bagi mengukuhkan kedudukan parti peringkat negeri.

"Dr Zainal menyertai PKR pada tahun 2005 dan kami ketika itu mengalu-alukan penyertaan beliau kerana pengalaman luas beliau. Pengalaman lama beliau beliau dalam politik Selangor banyak membantu kita dan beliau pernah menjadi Pengerusi PKR Selangor satu ketika sebelum diambil alih oleh Tan Sri Khalid.

"Beliau banyak memberi pandangan dan pendapat untuk kebaikan parti. Beliau juga memimpin Cabang Hulu Langat dan ia berjalan dengan lancar sehinggalah beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen," kata Hamidi.

Ditanya persediaan KEADILAN Selangor menghadapi pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi Hulu Selangor, beliau berkata parti telah membuat persediaan sejak awal apabila mengetahui Dr Zainal mengalami sakit yang serius.

"Parti memang ada buat persediaan sebab kita akur telah lama sakit. Persediaan untuk jentera pilihan raya memang telah kami sediakan dan insyaAllah kita akan terus pertahankan kerusi kita di Hulu Selangor. Calon kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk putuskan dan segala persiapan akan kita gerakkan dengan lebih lancar ini untuk memastikan kerusi itu terus berada ditangan kita," jelas beliau lagi.

Khamis, 25 Mac 2010

Mahkamah Tetap Tarikh Bicara Kes Konspirasi Kedua

KUALA LUMPUR 30 MAC: Mahkamah Tinggi Persekutuan hari ini menangguhkan perbicaraan kes konspirasi kedua terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan kes itu akan dibuat pada 10 hingga 14 Mei, 31 hingga 4 Jun, 14 hingga 23 Julai dan 2 hingga 30 Ogos.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.15 pagi bersama isteri dan anaknya, serta diiringi beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara pimpinan itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamalaluddin dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof

Jumaat, 19 Mac 2010

Parlimen Pasca PRU-13

Mahu Pilihan Raya PBT Dilaksana Segera, Khalid Tulis Surat Kepada SPR

SHAH ALAM 19 MAC - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof 11 Mac lalu berhubung pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu.


Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabat Datuk Menteri Besar hari ini Abdul Khalid meminta pandangan SPR berkenaan cadangan itu berlandaskan peruntukan Perlembagaan dankuasa kerajaan negeri sedia ada.

Berdasarkan kajian kerajaan Selangor, Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada SPR untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri terbabit.

Perkara 113 (4) itu menyatakan "Undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada pilihan raya yang dinyatakan dalam Fasal 1".

Undang-undang negeri pula memperuntukkan kuasa kepada kerajaan negeri melantik pihak berkuasa negeri mengikut Akta Pilihan Raya Tempatan 1960 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerajaan Selangor berpendapat, pilihan raya kerajaan tempatan perlu diwujudkan semula bagi memastikan rakyat boleh memilih wakil mereka meningkatkan urus tadbir dan kecekapan di samping memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan memperkukuhkan lagi sistem demokrasi.

Berdasarkan akta sedia ada dan pendirian, kerajaan Selangor meminta Abdul Aziz dan SPR menjalankan kajian dan penyelidikan rapi supaya cadangan ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Pada 10 Mac lalu kerajaan negeri Pulau Pinang menyatakan kesediaan menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung keperluan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata jika Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk mendengar penjelasan itu, beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri.

Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.

Ketiadaan pilihan raya PBT itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.

Pakatan Rakyat sebelum ini memasukkan isu pilihan raya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan perjumpaan dengan Abdul Aziz dan SPR bagi membincangkan perkara itu.

Isu Fatwa Ulama Tersohor Dunia Ditolak


KUALA LUMPUR 18 MAC – Pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkenaan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi telah ditolak dari dibincangkan di Dewan Rakyat pada hari ini dengan alasan ia bersifat subjudis.Yusmadi menyifat Perdana Menteri dan Menteri Agama Barisan Nasional (BN) perlu menjawab soalan ini bagi mengetahui pendirian yang di ambil oleh Kerajaan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama tersebut.

Beliau yang kecewa dengan penolakkan itu kerana kerajaan tidak pernah mengambil berat tentang masalah Syariah yang berlaku di dalam negara ini.

“Saya mengesa kerajaan Malaysia menjawab dan membuat pendirian tentang fatwa tersebut. Angkatan Muda KEADILAN telah menghantar salinan VCD kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga kepada Menteri Agama pada 11 Mac yang lalu tetapi sehingga sekarang kita tidak mendapat maklum balas dari tindakan tersebut,”.

“Kenapa mereka perlu takut untuk mengeluarkan pendirian mereka. Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa yang dikurniakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, kenapa kita nak sangsi dengan fatwa yang beliau keluarkan.

“Saya mencabar Perdana Menteri jika tidak mahu mengambil pendirian menarik balik gelaran tersebut dan perlu di umumkan di dalam dewan yang mulia jika alasan yang mereka berikan tindakan ulama tersebut mencampuri urusan dalam negara,” jelasnya.

Pendirian yang diambil oleh Barisan Nasional dalam membincangkan soal sedemikian dilihat ketidakseriusan kerajaan dalam memperjuangkan soal agama dalam negara ini.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

APCO Tidak Wajar Campur Tangan Urusan Negara



LONDON 18 MAC: APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang urusan politik di negara ini, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu juga menyifatkan tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya melalui Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berikutan pendedahan slogan Malaysia dan Isreal, sebagai jenaka basi.

Anwar apabila diminta menjawab penafian Apco terlibat dalam mengilhamkan Satu Malaysia semalam, mempersoalkan untuk apa Apco dibayar jika bukan untuk membantu menasihati parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada sidang media selepas berucap di London School of Economics, semalam, Anwar yang sebelum ini ditohmah kononnya ejen Yahudi, menyifatkan persamaan Satu Malaysia dan One Israel sebagai satu “kebetulan aneh”.

Ironinya, Umno yang mendabik dada sebagai juara Melayu dan memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah, melantik APCO yang dipimpin sebahagian Yahudi berfahaman Zionis.

Anwar menyifatkan beban tanggungjawab bagi menerangkan peranan sebenar Apco terletak di bahu pimpinan Umno.

Mengikut Malaysia Insider, APCO dibayar dengan nilai kontrak yang bernilai 20 juta ringgit.

APCO juga disyaki terlibat dalam pengaturan beberapa keputusan politik selain mendalangi beberapa isu politik bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

Pada 10 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif APCO, Margery Kraus mengumumkan syarikat akan membuka pejabat baru di Malaysia pada September dengan Paul Stadlen sebagai pengarah urusan

Usul House of Commons Label Perbicaraan Anwar Langgari Piawaian Antarabangsa

KUALA LUMPUR 19 Mac - Dewan Rakyat United Kingdom (House of Commons) mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan kes fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghentikan usaha menekan dan mendakwa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Usul yang dikenali sebagai "Early Day Motion" tersebut di bawa oleh Jeremy Corbyn, Ahli Parlimen Islington North daripada Parti Buruh Isnin lalu.

Dalam usul beliau Corbyn berkata Dewan Rakyat United Kingdom mengiktiraf sumbangan besar Anwar terhadap usaha mempromosi demokrasi di Malaysia dan keamanan serta persefahaman antara dunia Islam dan Barat.

"Oleh itu kami amat risau berhubung caj dan pertuduhan yang disabitkan kepada Anwar Ibrahim dan ingin nyatakan bahawa perbicaraan beliau melanggari piawaian antarabangsa berkaitan konsep keadilan dan mendaulatkan undang-undang.

"Kami menyedari perbicaraan yang dihadapi beliau sekarang adalah hampir sama dengan perbicaraan pada 1998 di mana tindakan badan kehakiman di kutuk dan dikritik oleh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa," kata Corbyn.

Beliau juga berkata usul yang di bawanya adalah susulan kepada usaha berterusan komuniti global berhubung kes fitnah terhadap Anwar seperti mana yang telah dilakukan oleh pertubuhan antarabangsa Amnesty International, Human Rights Watch serta tokoh-tokoh terkemuka Komanwel termasuk bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, Michael Danby dan 59 Ahli Parlimen Australia.

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat Sepanjang 2 Tahun

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional.

flag-selangor
Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20,753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM2.752 bilion (40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.


flag-pulaupinang

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri (ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM35 juta (belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM97 ribu per sekolah, RM60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap sekolah Tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM11.3 juta.


flag-kedah

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.


flag-kelantan

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu.

Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990.

Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor


Kenyataan Media

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor

19hb Mac 2010

Rapat Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor :

Iltizam Perkukuh Gerak Kerja dan Muafakat Mantap

Rapat Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah diadakan pada 16hb Mac 2010 bertempat di Headquarters DAP , Taman Paramount Garden,Petaling Jaya Selangor. Pertemuan bersejarah ini telah dihadiri oleh lebih 40 orang barisan kepimpinan tertinggi daripada Angkatan Muda Keadilan Selangor, DAPSY(Pemuda Sosialis DAP) Selangor dan Dewan Pemuda PAS Selangor.

Pertemuan mesra selama dua jam ini adalah kesinambungan daripada Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor Pertama yang diadakan pada Ahad lepas. Ia diadakan dalam suasana mesra dan harmonis oleh ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat yang menjadi titik tolak merangka gerak kerja masa hadapan dan agenda memperkasa parti di peringkat akar umbi bagi membela kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah dibentuk dalam usaha memperkukuh muafakat politik bersama dalam agenda membantu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan selepas ini kerjasama akan diterjemahkan kepada beberapa agenda dan program yang kelak dilaksanakan secara kolektif dan bersepadu. Kekuatan muafakat politik ini menjadi pemangkin kepada semangat generasi muda untuk terus mendepani perubahan dan pembaharuan di negara ini.

Malahan, sebelum ini pemimpin tertinggi pemuda Pakatan Rakyat Selangor telah seringkali bersama berbincang dan bertukar-tukar idea berkenaan pelbagai isu semasa secara kerap.Pertemuan bersejarah ini akan memperkukuh kerjasama yang lebih erat, mantap dan strategik. Ianya menjadi medan untuk membincangkan serta melaksanakan halatuju bersama bagi memastikan Pakatan Rakyat di Selangor semakin mantap dan fokus membela nasib kepentingan rakyat.

Himpunan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor ini juga adalah bukti bahawa kerjasama ketiga-tiga parti semakin mantap dan padu walaupun pelbagai usaha digerakkan oleh UMNO/BN untuk mencuba-cuba memecahbelahkan kekuatan Pakatan Rakyat. Malahan serangan bertali arus ini sebenarnya tidak menjejaskan keutuhan sedia ada tetapi semakin memperkasa muafakat yang wujud selama ini.

Akhirnya, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Selangor senada dan sekata untuk terus memastikan rakyat di Selangor mendapat pembelaan serta bertekad untuk berusaha menjunjung amanah rakyat. Kesepakatan padu ini akan menjadi pemangkin kepada gerakan pembaharuan generasi muda untuk menjunjung amanah rakyat dan memastikan Selangor menjadi ‘Negeri Idaman Untuk Semua’.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin

Ketua AMK Selangor

YB Jenice Lee Ying Ha

Ketua DAPSY Selangor

Ustaz Hasbullah Ridhwan

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor


Rabu, 3 Mac 2010

AMK Selangor desak Noh letak jawatan



SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar meletakkan jawatan jika terus gagal menangani isu bekalan dan harga ikan negara dengan baik.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, desakan itu dibuat berikutan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) bermula 1 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan kos meningkat dan ia menjadi faktor utama kepada kenaikan harga ikan.

“Bebanan kos yang dihadapi ini memberikan impak maksimum kepada rakyat apabila harga ikan naik mendadak.

“Ini menjejaskan kualiti pendapatan rakyat dan menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin terhadap kebajikan rakyat akibat kenaikan berterusan satu persatu bahan makanan rakyat yang semakin gagal dikawal dengan baik oleh kerajaan.

Katanya, AMK Selangor menggesa agar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri berkenaan diberi taraf rendah kerana gagal memahami masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan.

Mohd Ezli berkata, kesan terbesar ialah kepada rakyat keseluruhannya yang menerima kesan langsung apabila kualiti pendapatan boleh guna rakyat terjejas.

“AMK Selangor berharap Menteri berkenaan lebih prihatin dan empati sebelum melaksanakan apa-apa jua tindakan.

“Kebajikan dan kesan yang diterima oleh rakyat perlu diberi perhatian agar rakyat tidak didahulukan menjadi mangsa,” katanya.:

Dalam perkembangan berlainan, AMK Selangor turut mengutuk keras serbuan terbaru tentera dan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

Mohd Ezli berkata, tindakan Israel yang berhasrat memasukkan Haram Al-Ibrahimi dan Masjid Belal ke dalam senarai tapak warisan Yahudi dilihat boleh mencetuskan konflik berdarah terbaru.

Menurutnya, tindakan berkenaan jelas mempamerkan usaha terancang Israel yang ingin mengubah identiti kota suci itu.

“AMK Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan memainkan peranan proaktif membawa usul ini ke Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin dengan perkara itu dan berharap seluruh rakyat di negara ini daripada pelbagai fahaman agama serta berbilang bangsa berdiri dengan satu suara lantang menentang usaha terkutuk rejim Zionis Israel.

Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan menggerakkan usaha di peringkat antarabangsa bersama-sama dengan negara-negara lain untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis.

“Kita berharap dunia antarabangsa mengenakan tindakan tegas dan keras terhadap Israel yang berterusan menzalimi masyarakat Palestin dan mencemar tempat-tempat suci di Baitul Maqdis,” katanya.

Selasa, 2 Mac 2010

Sokongan Mantap dan Padu PAS dan DAP Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim Amat Dihargai

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

02hb Mac 2010

Sokongan Mantap dan Padu PAS dan DAP Terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim Amat Dihargai

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat menghargai sokongan mantap dan padu daripada seluruh kepimpinan tertinggi , Ahli Parlimen, Senator dan ADUN daripada PAS dan DAP akan kewibawaan dan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan seterusnya Bakal Perdana Menteri Malaysia. Justeru sokongan mantap dan padu tatkala PKR diserang daripada pelbagai arah jelas menunjukkan semangat kerjasama yang amat tinggi dan jitu.

AMK Selangor memberi setinggi penghargaan kepada PAS dan DAP yang bersama-sama tatkala PKR teruk diserang oleh UMNO/BN yang memasang impian untuk melihat Pakatan Rakyat berpecah. AMK Selangor ingin mengulangi ketegasan kepada UMNO/BN agar tidak mengacah-acah untuk mengadu-domba antara kalangan parti di Pakatan Rakyat. Lebih baik pemimpin UMNO/BN menumpukan kepada permasalahan dalaman UMNO/BN sendiri yang semakin parah dan meloyakan.

AMK Selangor yakin sokongan dan mantap daripada rakan-rakan PAS dan DAP ini memberikan suntikan semangat yang cukup bermakna untuk mendepani perubahan dan agenda pembelaan rakyat. Kalangan mereka yang terpesong dan melarikan diri daripada gerakan agenda perubahan ini kelak akan memakan diri mereka sendiri serta akan kehilangan harga diri.

AMK Selangor menegaskan kerjasama yang semakin erat ini akan memberikan keyakinan di kalangan rakyat untuk Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya dalam PRU-13 kelak. Walaupun hebat dan dahsyat serangan UMNO/BN kepada PKR serta PAS dan DAP namun ianya tidak menjejaskan sedikitpun semangat untuk bangkit dan mara ‘Selamatkan Malaysia’.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

DAP, PAS sokong Anwar terus jadi ketua pembangkang


Posted by rakyat marhaen Selasa, 2010 Mac 02


Persoalan sama ada DAP akan terus menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang tidak timbul sama sekali.

Sebaliknya menurut tokoh utama parti itu, Lim Kit Siang, DAP sentiasa memberikan sokongan padu kepada Anwar berhubung kepemimpinannya dalam Pakatan Rakyat, sebagai ketua pembangkang dan sebagai bakal perdana menteri apabila mereka menumbangkan Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Lim (kiri, berbaju cerah) lagi pada kenyataan medianya, hari ini, Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang meskipun jika ahli parlimen PKR kurang daripada 28 ahli - jumlah yang kini dimiliki oleh DAP.

Dengan pengumuman keluar parti oleh ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam, PKR kini mempunyai 28 MP. Jumlah itu menyamai dengan kerusi yang dimiliki oleh DAP.

Menurut Lim, apa yang berlaku di PKR adalah proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi amat diperlukan bagi menjamin kredibiliti dan masa depan PKR dan Pakatan Rakyat.

Menurut Lim, “perbezaan ketara antara PR dan BN ialah sampah-sarah PR adalah permata BN”.

Dalam pada itu, sekretariat PAS dalam satu kenyataan media menyatakan semua ahli parlimennya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat PAS, ahli parlimen parti itu, sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.

AS yang mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat berkata ahli parlimen mereka sedar bahawa rakyat mengundi kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.

“Oleh itu kami kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan ini.

“Kami kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha kami dikalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini,” menurut kenyataan itu lagi.

PAS juga menyeru kepada masyarakat untuk bersama menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN untuk menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.

AMK Selangor Desak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Letak Jawatan

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

02hb Mac 2010

AMK Selangor Desak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Letak Jawatan

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani meletak jawatan jika terus gagal menangani isu bekalan dan harga ikan negara dengan baik. Ia berikutan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) bermula 1 Mac 2010. Tindakan ini telah menyebabkan kos meningkat dan menjadi faktor utama kenaikan harga ikan.

Bebanan kos yang dihadapi ini memberikan impak maksimum kepada rakyat apabila harga ikan naik mendadak. Ini menjejaskan kualiti pendapatan rakyat dan menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga berterusan. AMK Selangor menyatakan rasa prihatin terhadap kebajikan rakyat akibat kenaikan berterusan satu persatu bahan makanan rakyat yang semakin gagal dikawal dengan baik oleh kerajaan.

AMK Selangor menggesa agar Key Performance Indeks (KPI) Menteri berkenaan diberi taraf rendah kerana gagal memahami masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan. Kesan terbesar ialah kepada rakyat keseluruhannya yang menerima kesan langsung apabila kualiti pendapatan boleh guna rakyat terjejas.

AMK Selangor berharap Menteri berkenaan lebih prihatin dan empati sebelum melaksanakan apa-apa jua tindakan. Kebajikan dan kesan yang diterima oleh rakyat perlu diberi perhatian agar rakyat tidak didahulukan menjadi mangsa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

AMK Selangor Kutuk Serbuan Terbaru Regim Israel Ke Atas Masjid Al-Aqsa

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

02hb Mac 2010

AMK Selangor Kutuk Serbuan Terbaru Regim Israel Ke Atas Masjid Al-Aqsa

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk keras serbuan terbaru tentera dan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa pada Ahad lepas. Malahan tindakan Israel yang berhasrat untuk memasukkan Haram Al-Ibrahimi dan Masjid Belal ke dalam senarai tapak warisan Yahudi dilihat boleh mencetuskan konflik berdarah terbaru. Tindakan ini jelas usaha terancang Israel yang ingin mengubah identiti kota suci itu.

AMK Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan memainkan peranan proaktif membawa usul ini ke Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dalam kadar segera. AMK Selangor menyatakan keprihatinan berkenaan perkara ini dan berharap seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai fahaman agama dan berbilang bangsa berdiri dengan satu suara lantang menentang usaha terkutuk rejim Zionist Israel.

AMK Selangor juga menggesa pihak kerajaan menggerakkan usaha di peringkat antarabangsa bersama-sama dengan negara-negara lain untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionist Israel. Malahan kita berharap dunia antarabangsa mengenakan tindakan tegas dan keras terhadap Israel yang berterusan menzalimi masyarakat Palestin dan mencemar tempat-tempat suci di Baitul Maqdis.

AMK Selangor juga mendesak agar seluruh rakyat di negara ini memainkan peranan aktif bagi memastikan kezaliman dan kekejaman rejim Zionist Israel dihentikan segera. Ini adalah isu sejagat kemanusiaan yang menuntut semua lapisan masyarakat memainkan peranan secara proaktif dan dinamik.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

Isnin, 1 Mac 2010

AMK Selangor Anggap Gerombolan ‘Virus Trojan’ Sedang Menyerang UMNO/BN

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

01hb Mac 2010

AMK Selangor Anggap Gerombolan ‘Virus Trojan’ Sedang Menyerang UMNO/BN

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap tindakan keluar parti beberapa individu daripada PKR merupakan gerombolan ‘Virus Trojan’ yang akan memberi kemusnahan dahsyat kepada UMNO/BN. AMK Selangor yakin ‘Virus Trojan’ jenis pemusnah ini akan mengkucar-kacirkan UMNO/BN dari dalaman yang terus akan mengakhiri pemerintahan UMNO/BN selama 50 tahun.

AMK Selangor yakin pendokong perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat tidak mudah lemah semangat dengan serangan UMNO/BN bertali arus mutakhir ini dengan pelbagai taktik kotor dan jijik. AMK Selangor mengulangi amaran bahawa ‘sumpahan keramat’ rakyat kepada wakil-wakil rakyat yang mengkhianati amanah rakyat yang mereka pilih akan menghantui sepanjang kehidupan mereka.

AMK Selangor mencabar secara terbuka kepada ADUN dan Ahli Parlimen yang keluar parti ini meletak jawatan segera. Ini kerana mandat yang diamanahkan rakyat adalah mewakili parti yang didokong ketika PRU-12. Jika mereka masih mempunyai maruah dan harga diri perjuangan yang tinggi,AMK Selangor mencabar agar mereka memasuki gelanggang pilihanraya kecil dengan mewakili parti mereka masakini.

AMK Selangor berharap UMNO/BN tidak usah mendabik dada tetapi ingatlah ‘Virus Trojan’ ini akan memusnahkan dan memecahkan bahtera UMNO/BN yang semakin bocor di sana-sini.Kita yakin rakyat semakin bijak membuat analisis dan bacaan politiknya sendiri.AMK Selangor bertekad akan terus menggerakkan rakyat untuk ‘Selamatkan Malaysia’ dan membawa agenda perubahan total walaupun ‘badai taufan politik’ semakin kuat melanda.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor