Isnin, 21 Jun 2010

Slogan ‘Melayu Cemerlang’ Dongeng Terbaru UMNO

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

21hb Jun 2010

Slogan ‘Melayu Cemerlang’ Dongeng Terbaru UMNO

Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat slogan UMNO ‘Hidup Melayu’ yang dicadangkan diubah kepada ‘Melayu Cemerlang’ adalah satu lagi dongengan terbaru UMNO untuk mengaburi bangsa Melayu. Setelah 50 tahun slogan itu digunakan, hanya menyaksikan Melayu tinggal nama sahaja.Kini UMNO membuat percubaan untuk mengembalikan sokongan yang semakin ditolak rakyat.

AMK Selangor ingin mengajak rakyat agar menyorot pengkhianatan UMNO terhadap bangsa Melayu dan negara yang telah banyak menggadai kepentingan Islam dan Melayu di negara ini. Kegagalan UMNO mengangkat martabat bangsa Melayu serta Islam selama 50 tahun ini wajar membuka mata rakyat keseluruhannya.

AMK Selangor juga mempertikaikan dasar dan polisi yang dibawa oleh pimpinan UMNO mutakhir kini yang semakin menghakis identiti bangsa Melayu dan Islam.Kegagalan menangani rasuah, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat adalah menodai perjuangan tulen untuk memartabatkan bangsa Melayu dan Islam. Justeru,UMNO perlu hentikan segala gimik dan retorik politik dengan slogan-slogan yang indah khabar daripada rupa.

Jika sebelum ini, UMNO dengan slogan kononnya ‘Juara Rakyat’,namun apa yang pasti rakyat terus dibebani dengan kenaikan barang dan perkhidmatan,penarikan subsidi,liberalisasi ala penjajahan asing dan kehilangan aset penting negara kepada negara luar.

Kita yakin rakyat semakin bijak untuk menilai slogan dan retorik politik UMNO yang kini meniti reput dan luput. Rakyat tidak mudah termakan dengan slogan-slogan yang indah khabar daripada realiti semasa.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor