Jumaat, 16 Julai 2010

AMK Selangor Hargai Kerajaan Selangor Bentang Akta Kebebasan Maklumat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16hb Julai 2010

AMK Selangor Hargai Kerajaan Selangor Bentang Akta Kebebasan Maklumat

Angkatan Muda Keadilan Selangor menghargai usaha kerajaan Selangor membentangkan Akta Kebebasan Maklumat yang pertama di negara ini. Ianya satu sejarah negara kerana akta seumpama ini masih belum dibentangkan di peringkat Parlimen.

Kesungguhan kerajaan Selangor ini wajar diikuti negeri-negeri lain dalam usaha mewujudkan kerajaan telus dan terbuka. Langkah besar ini menunjukkan kesungguhan dan iltizam kerajaan Selangor menghargai kebebasan rakyat mendapatkan maklumat.

AMK Selangor yakin usaha ini memberikan peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap kerajaan negeri agar ada ‘check and balance’ daripada rakyat. Justeru,Akta Kebebasan Maklumat ini diharap memberikan manfaat kepada rakyat Selangor seterusnya menjadikan negeri ini lebih baik pentadbirannya.

Dalam pada itu juga,AMK Selangor mengalu-alukan pelantikan Adun Sungai Burong,Shamsuddin Lias sebagai Pengerusi PAC Selangor yang merupakan langkah berani kerajaan Pakatan Rakyat dalam usaha mewujudkan kerajaan yang sedia diperiksa perbelanjaannya daripada parti berbeza.

Malahan perkara ini di peringkat pusat belum berlaku dan usaha langkah ini diharap mampu menjadikan Selangor contoh terbaik daripada segi ketelusan perbelanjaan kewangannya.

Kita berkeyakinan usaha-usaha kerajaan Selangor mampu menjadikannya contoh negeri yang matang dan mampu mengangkat suara dan kehendak rakyat.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor