Isnin, 10 Ogos 2009

AMK Selangor Desak Perdana Menteri Agar Fokus Kepada Pemulihan Ekonomi Negara dan Wabak H1N1

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

10hb Ogos 2009

Untuk Edaran Segera

AMK Selangor Desak Perdana Menteri Agar Fokus Kepada Pemulihan Ekonomi Negara dan Wabak H1N1


Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan kerajaan pimpinannya agar memberikan fokus khas kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan wabak bencana H1N1 yang semakin amat membimbangkan. Justeru kenyataan beliau untuk merampas Selangor daripada kerajaan Pakatan Rakyat dengan menggunakan ‘Formula Pekan’ yang tidak demokratik dan ‘pintas’ perlu dilupakan segera oleh UMNO/BN.

AMK Selangor amat bimbang dengan perkembangan situasi serangan bertali arus pihak pembangkang Selangor oleh UMNO/BN yang menggunakan seluruh jentera kerajaan pusat untuk merampas Selangor. Ianya hanya akan mengalihkan keutamaan yang perlu dihadapi negara sekarang iaitu pemulihan ekonomi negara dan usaha bersepadu menangani wabak H1N1 yang semakin amat membimbangkan.

AMK Selangor melihat usaha UMNO/BN untuk merampas Selangor melalui jalan tidak demokratik dan ‘pintas’ sebenarnya hanya akan membawa satu lagi ‘malapetaka’ kepada rakyat Selangor dan negara. Taktik politik kotor ini akan membawa ketidakstabilan ekonomi dan membimbangkan pelabur asing dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negara kepada tahap yang diyakini dan memberangsangkan sebelum ini. Ini disebabkan Selangor adalah nadi utama ekonomi negara yang amat penting dan sangat strategik.

AMK Selangor tidak mahu melihat krisis politik rampasan kuasa yang dilakukan oleh UMNO/BN seperti di Perak kembali berulang. Kini suasana politik di Perak masih belum stabil dan ianya memakan masa yang lama untuk dipulihkan. Justeru, jika pihak UMNO/BN berangan-angan untuk merampas kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat melalui jalan kotor dan pintas ianya hanya akan membawa satu lagi bencana politik dan ekonomi kepada negara.

Apa yang perlu diutamakan saat dan ketika ini ialah agar Perdana Menteri memberikan fokus dan komitmen yang tinggi kepada pemulihan dan pemerkasaan ekonomi negara. Malahan wabak H1N1 yang semakin membimbangkan juga perlu ditangani dengan baik dan komited. Kenyataan daripada WHO bahawa dianggarkan 5,500 sehingga 28,000 rakyat Malaysia akan maut disebabkan wabak H1N1 jika unjuran 20% daripada 27.7 juta penduduk Malaysia dijangkiti wabak maut ini. Apakah Perdana Menteri hanya akan fokus jika kematian sudah mencecah angka 10,000 orang ?.

AMK Selangor melihat dua perkara genting ini sebenarnya yang perlu diberi perhatian khusus dan mendalam oleh Perdana Menteri dan seluruh jentera kerajaan. Penggunaan jentera kerajaan yang memfokuskan kepada propaganda politik sempit semata-mata setiap hari hanya akan membuatkan negara kehilangan fokus yang perlu ditangani segera pada saat yang amat genting kini.

Negara kini sudah berada dalam keadaan kritikal untuk menangani persoalan ekonomi dan keselamatan kesihatan rakyat. Justeru, jangan dibawa satu lagi bencana politik dalam usaha UMNO/BN merampas kerajaan negeri Selangor melalui jalan ‘pintas’. Usaha ‘pintas’ ini hanya akan membuat negara ini dalam keadaan suasana tidak tenteram dan aman untuk rakyat keseluruhannya.

AMK Selangor membuat gesaan ini agar fokus dan keutamaan kini adalah untuk berhadapan dua cabaran besar global ini dalam bentuk bencana ekonomi dan wabak penyakit H1N1. Negara perlu segera kembali fokus kepada keutamaan yang amat mendesak dan genting kini. Apakah nilai dan ertinya kehidupan rakyat jika korban H1N1 semakin meningkat dan ekonomi negara jatuh merudum.

Akhirnya, AMK Selangor tidak mahu satu lagi bencana politik berlaku di Selangor dan negara ini. Yang pasti semuanya hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat untuk menikmati suasana keamanan, keadilan dan ketenteraman. Marilah kita bersama-sama hadapi dua cabaran global ini yang akan menentukan jatuh dan bangunnya Malaysia pada masakini dan akan datang. Negara ini adalah amanah dan tanggungjawab semua.


Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor.