Rabu, 5 Ogos 2009

Perlawanan Bolasepak Persahabatan Antara AMK (PJU) dan Pemuda UMNO (KJ).




Perbezaan pandangan dan fahaman politik bukan punca untuk budaya perpecahan dan permusuhan. Justeru satu perlawanan bola sepak persahabatan antara Angkatan Muda Keadilan dan Pemuda UMNO membuktikan suasana persahabatan dan keakraban semenjak kecil tidak berakhir dengan suasana perbezaan perjuangan politik.
Bertempat di Stadium Mini Shah Alam,Selangor pada 03hb Ogos lepas kedua-dua pasukan ini antara AMK dan Pemuda UMNO berentap dan beradu tenaga di atas semangat kesukanan dan ‘Harapan Baru untuk 1Malaysia’. Suasana genting politik masakini negara tidak menghalang kedua-dua pasukan tersebut menunjukkan skil dan bakat masing-masing di padang.
Kedua-dua pasukan ini yang diketuai oleh ketua masing-masing iaitu Saudara Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin selaku ketua Angkatan Muda Keadilan cabang Petaling Jaya Utara dan Mohd Razzdee Rahman selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Kelana Jaya. Bukan keputusan jaringan gol menjadi matlamat utama tetapi yang penting adalah untuk membina suasana baru semangat berkasih sayang dalam perjuangan politik. Pentas padang bolasepak ini menjadi saksi kepada titik tolak perubahan baru politik generasi muda masa kini.
Justeru semangat ini yang sewajarnya menjadi titik tolak kepada suasana di negara ini. Semangat persahabatan tidak menjadi batu penghalang untuk menikmati suasana keakraban dan setiakawan.
Kita mengharapkan suasana ini akan berterusan kepada seluruh warga masyarakat Malaysia hari ini. Berbeza pandangan politik bukan mewujudkan tembok penghalang kepada mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan berkasih-sayang. Sudah pasti jika suasana ini konsisten, maka ‘Harapan Baru untuk Satu Malaysia’ dalam ertikata sebenarnya boleh direalisasikan.
Akhirnya,kini sudah tiba masanya masyarakat mengukuhkan suasana berkasih sayang dan kesetiakawanan yang sebenarnya. Generasi muda yang akan mencorakkan suasana masa hadapan negara adalah pencetus budaya politik baru yang lebih berhemah dan penuh dengan semangat kasih sayang.
Semoga ‘Harapan Baru untuk Satu Malaysia’ adalah inspirasi anak muda dengan semangat baru untuk membawa negara ini menjadi lebih gemilang dan membina tamadun yang berkasih sayang serta hebat. Bilakah lagi kita semua untuk ‘satu hati’ jika bukan saat dan ketika ini ?.

Khairul Anuar
Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang PJU
019 205 7498