Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
22hb Ogos 2009
AMK Selangor Mengucapkan Selamat Beramal Dibulan Ramadan Al-Mubarak.
Angkatan Muda Keadilan Selangor mengucapkan kepada semua umat Islam dan khususnya kepada generasi muda dengan ucapan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak. Sesungguhnya pada bulan Ramadan Al-Mubarak ini digesa kita semua membuat muhassabah diri dan memperbaiki amal,iman dan mempertingkatkan taqwa.
Seluruh kepimpinan AMK Selangor berharap di bulan Ramadan Al-Mubarak ini kepada generasi muda dapat menghayati falsafah ibadah puasa yang bukan hanya berlapar dan dahaga sahaja. Malahan pengertian puasa itu sendiri merupakan institusi yang mensucikan jiwa manusia daripada sifat buruk dan keji. Puasa adalah medan tarbiah jiwa untuk menjadi insan yang bertaqwa dan cemerlang.
Dibulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan ini diharap generasi muda dapat membina jatidiri dan memperkukuh penghayatan rohani dalam meneruskan agenda perjuangan ummah. Saat dan ketika ini perlu direbut pahala malam Lailatul Qadar yang mana waktunya menjadi rahsia untuk kita semua agar kita beribadah di sepanjang malam yang pahalanya menyamai ibadah selama seribu bulan.
Bulan Ramadan ini juga,adalah digesa generasi muda memenuhi masjid-masjid dan surau-surau untuk melakukan solat sunat terawih dan witir. Kemudian tadarrus Al-Quran bersama-sama untuk mempertingkatkan kefahaman pengajaran Al-Quran dan memperbaiki tajwid dan bacaan.Generasi muda perlu menjadikan bulan Ramadan adalah sebuah universiti yang bertujuan melatih dan melahirkan jiwa yang suci dan menjauhi amalan keji.
Semoga Ramadan Al-Mubarak pada tahun 2009/1430 Hijrah pada kali ini menjadi Ramadan terbaik dan lebih baik daripada sebelumnya. Generasi muda perlu menyemarakkan semangat Ramadan Al-Mubarak dalam ertikata sebenarnya. Semoga tarbiah daripada Ramadan Al-Mubarak menjadikan kita semua generasi muda insan berjiwa suci,sabar dalam perjuangan, sanggup berkorban jiwa dan raga serta memahami penderitaan rakyat yang serba kekurangan akibat kesusahan hidup dan kemiskinan.
Melalui ibadah puasa ini juga akan mengajar kita memahami penderitaan dan kesusahan yang dihadapi oleh fakir dan miskin yang makan hanya sekadar ada sahaja. Justeru,generasi muda yang memahami penderitaan dan kesusahan golongan yang susah akan membentuk generasi yang bersyukur serta ringan tulang untuk membantu penderitaan dan kesusahan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Inilah sebenarnya falsafah ibadah puasa yang bukan sekadar berlapar dan dahaga tetapi jauh lebih pengertian sebenarnya. Falsafah Ramadan ini diharap dapat diteruskan ke bulan-bulan lain agar benar-benar membuktikan Ramadan terus sebati dalam amalan dan pembentukan sikap kita.
Akhirnya, AMK Selangor mengucapkan kepada semua genarasi muda dengan ucapan ‘Selamat Menjalani Ibadah Puasa, Semarakkan Ramadan Agar Bersemarak Taqwa.’
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat.